Pihak berkuasa China rancang haramkan pemegang pintu jenis masuk ke dalam atas risiko keselamatan

Pihak berkuasa China rancang haramkan pemegang pintu jenis masuk ke dalam atas risiko keselamatan

Pihak berkuasa China dilaporkan sedang mempertimbangkan larangan terhadap penggunaan pemegang pintu yang boleh masuk ke dalam sepenuhnya, atas faktor keselamatan dan masalah fungsi, lapor Car News China.

Menurut sumber industri automotif yang bercakap kepada portal berita Mingjing Pro, perbincangan sedang dijalankan untuk menggubal peraturan baru yang akan mengharamkan rekaan pemegang pintu jenis ini. Namun, pemegang pintu tradisional dan jenis boleh tarik separuh masih dibenarkan selagi ia dilengkapi dengan sistem sokongan mekanikal untuk memastikan kebolehpercayaan.

Draf peraturan berkaitan piawaian wajib untuk pemegang pintu dijangka dimuktamadkan dalam bulan ini. Cadangan tersebut menyarankan larangan terhadap pemegang pintu boleh tenggelam sepenuhnya, dengan tempoh peralihan selama setahun sebelum dikuatkuasakan sepenuhnya bermula Julai 2027.

Selepas tarikh itu, semua model kenderaan baru yang dijual di China tidak lagi dibenarkan menggunakan rekaan pemegang pintu seperti itu. Perbincangan turut merangkumi keperluan sistem pembukaan automatik dalam situasi kecemasan seperti kemalangan.

Pihak berkuasa China rancang haramkan pemegang pintu jenis masuk ke dalam atas risiko keselamatan

Walaupun pemegang pintu tersembunyi yang boleh ditarik sepenuhnya sering dikaitkan dengan kelebihan aerodinamik dan penjimatan tenaga, laporan tersebut mempersoalkan sama ada manfaatnya benar-benar berbaloi berbanding risiko keselamatan yang timbul.

Menurut Car News China, jurutera menganggarkan bahawa rekaan ini hanya menyumbang kepada pengurangan seretan udara sebanyak 0.01 Cd, yang diterjemahkan kepada penjimatan tenaga sekitar 0.6 kWh bagi setiap 100 km — satu jumlah yang dianggap terlalu kecil untuk memberi kesan ketara terhadap pengecasan kenderaan di rumah.

Selain itu, penggunaan motor dan mekanisme yang diperlukan untuk menggerakkan pemegang pintu jenis ini juga menambah berat kenderaan sebanyak 7 hingga 8 kg, sekaligus mengurangkan kesan positif dari aspek aerodinamik.

Pihak berkuasa China rancang haramkan pemegang pintu jenis masuk ke dalam atas risiko keselamatan

Dari sudut keselamatan, kebimbangan utama timbul apabila berlaku kegagalan kuasa atau kebakaran, yang menyebabkan pemegang pintu tersembunyi ini tidak boleh digunakan dan menyukarkan pintu untuk dibuka. Ujian pelanggaran yang dijalankan oleh China Insurance Automotive Safety Index (C-IASI) menunjukkan bahawa pemegang pintu elektrik hanya mencatat kadar kejayaan 67% untuk terbuka dalam pelanggaran sisi, berbanding 98% bagi pemegang pintu mekanikal biasa.

Dalam laporan lain oleh National Accident In-depth Investigation System (NAIS), terdapat peningkatan sebanyak 47% dalam kemalangan yang berpunca daripada kegagalan pemegang pintu sepanjang tahun 2024, dan 82% daripadanya melibatkan rekaan tersembunyi. Sementara itu, Persatuan Pengguna China merekodkan peningkatan aduan sebanyak 132% berkaitan insiden jari tersepit disebabkan pemegang pintu tersembunyi, dengan beberapa kes serius menyebabkan patah tulang.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance with us

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services. You can also pay with instalment using Grab PayLater or Shopee SPayLater.

Renew Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required