Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengemaskini data pendaftaran kenderaan sehingga 31 Ogos 2025, dengan Perodua masih mengekalkan kedudukan di tempat teratas dengan 32,026 unit. Walaupun sedikit lebih rendah berbanding 33,486 unit yang direkodkan pada Julai 2025, angka bulan lalu masih melepasi paras 30,000 unit, sesuatu yang berjaya dicapai syarikat itu dalam tempoh lima daripada lapan bulan bagi tahun ini. Secara keseluruhan, jumlah tahunan setakat ini (YTD) mencatatkan Perodua telah melepasi paras 200,000 unit dengan 231,700 unit.
Berada di tempat kedua ialah Proton dengan 14,625 unit didaftarkan pada bulan Ogos 2025, menjadikan YTD sebanyak 97,578 unit. Kedudukan ketiga hingga ketujuh tidak berubah berbanding Julai 2025, dengan Toyota melengkapkan podium di tempat ketiga dengan 11,707 unit (80,491 YTD).
Honda pula berada di belakang di tempat keempat (6,169 unit; 46,757 YTD), diikuti oleh Omoda | Jaecoo di tempat kelima (1,898 unit; 12,519 YTD), Chery di tempat keenam (1,735 unit; 7,920 YTD) dan Mitsubishi di tempat ketujuh (1,317 unit; 9,707 YTD).
Di tempat kelapan, BYD melepasi paras 1,000 unit selepas tidak mencecah angka itu pada Julai 2025, dengan mencatatkan 1,119 pendaftaran pada Ogos 2025, menjadikan YTD sebanyak 7,389 unit. Melengkapkan senarai 10 teratas ialah Mercedes-Benz di tempat kesembilan (962 unit; 6,292 YTD), manakala Mazda mengatasi BMW dengan 822 unit (5,583 YTD).
Pengeluar kereta berpangkalan di Munich itu berada di tempat ke-11 dengan 713 unit bulan lalu, dengan jumlah YTD juga lebih rendah berbanding Mazda iaitu 5,085 unit. Di belakangnya ialah Great Wall Motor yang naik dari tempat ke-15 ke tempat ke-12 dengan 600 pendaftaran, jumlah tertingginya setakat tahun ini dengan YTD sebanyak 3,335 unit. Tempat ke-13 diduduki oleh Lexus dengan 597 unit (3,997 YTD), diikuti Isuzu di tempat ke-14 (517 unit; 4,202 YTD) dan Nissan pula di tempat ke-15 (512 unit; 4,340 YTD).
Bagi lima kedudukan terbawah, Tesla dengan 509 unit pada Ogos 2025 terpaksa berpuas hati di tempat ke-16, satu peningkatan berbanding kedudukan ke-18 pada Julai 2025. YTD bagi jenama EV sepenuhnya itu untuk lapan bulan pertama tahun ini kini mencecah 3,162 unit.
Seterusnya ialah Ford di tempat ke-17 (473 unit; 3,382 YTD), manakala Jetour kembali dalam senarai, kali ini turun satu tangga ke tempat ke-18 dengan 374 unit (1,175 YTD). Porsche di tempat ke-19 (221 unit; 1,726 YTD) dan MINI di tempat ke-20 (205 unit; 1,465 YTD) melengkapkan senarai 20 teratas.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.