Johor mengumumkan bakal membina lintasan hidupan liar pertama di negeri itu di sepanjang jalan utama FT50 yang menghubungkan Kahang ke Mersing. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon menerusi perkongsiannya di Facebook berkata jalan tersebut dikelilingi kawasan hutan dan merupakan laluan sempadan antara Hutan Simpan Labis ke Mersing serta Hutan Simpan Panti dan Kota Tinggi atau dikenali sebagai Central Forest Spine (CFS). Oleh itu, sering kali terdapat hidupan liar yang menyeberangi jalan ini bagi menghubungkan kedua-dua kawasan hutan tersebut.
“Kawasan hutan seluas 31,000 hektar ini merupakan habitat penting bagi hidupan liar. Malah sebelum ini, beberapa rakaman video yang memaparkan haiwan seperti Harimau Malaya, gajah, tapir Malaya, harimau bintang dan lain-lain ketika melintas di kawasan tersebut pernah tular.
“Terdapat juga insiden kemalangan jalan raya yang melibatkan kenderaan melanggar haiwan liar. Justeru, pihak berkuasa berpendapat pembinaan laluan khas ini adalah perlu bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya serta hidupan liar,” katanya.
Tambahnya, jalan yang dinaik taraf ini secara keseluruhan sepanjang 1.275 km, dengan 200 meter daripadanya merupakan jambatan jejambat setinggi lapan meter. Pihak berkuasa akan menanam tumbuhan khas di bawah jejambat tersebut bagi menarik dan “memandu” hidupan liar menyeberangi jalan melalui laluan tersebut.
“Kos keseluruhan projek ini adalah sebanyak RM66 juta, merangkumi kajian awal, tanah, geologi, reka bentuk, pemindahan infrastruktur, pembinaan jalan sementara serta kos pembinaan jejambat. Proses tender telah selesai dilaksanakan dan kerja-kerja pembersihan pokok di tepi jalan telah bermula. Projek ini dijangka siap pada Februari 2028.
“Hidupan liar merupakan komponen penting dalam ekosistem semula jadi, malah menjadi antara sumber alam yang diberi tumpuan untuk dilindungi di negeri Johor. Oleh itu, Kerajaan Negeri Johor akan terus menggerakkan pelbagai projek pemuliharaan ekologi semula jadi melalui jabatan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), bagi memastikan Johor mampu mengekalkan keseimbangan ekosistem semula jadi meskipun sedang pesat membangun dari sudut ekonomi,” katanya lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.