Selepas beberapa video tersebar di laman Youtube yang memaparkan bahawa Lancia kini sedang menguji sebuah kereta rali yang lebih berkuasa dari jentera Ypsilon Rally4 HF sebelum ini, jenama ikonik Itali dengan sejarah dalam sukan rali berkenaan akhirnya mengeluarkan kenyataan rasmi yang sangat pendek, hanya dalam satu perenggan.
“Lancia Ypsilon Rally2 HF Integrale telah membuat penampilan sulungnya, membawa semangat legenda kejayaan-kejayaan rali Lancia ke dalam sukan permotoran hari ini. Dan ini hanyalah permulaan,” tulis kenyataan berkenaan yang datang sekali bersama sembilan gambar serta satu video pendek, memaparkan jentera tersebut di uji oleh divisi perlumbaan rasmi Lancia iaitu Lancia Corse di sekitar Montvallon dan Pellafol, Perancis pada 3 dan 4 September lalu.
Walaupun kenyataan tersebut pendek, ia telah mengesahkan beberapa perkara. Pertama sekali, jentera berkenaan sah dibangunkan dalam spesifikasi kelas Rally2. Jadi jentera ini boleh bertanding dalam kategori tertinggi untuk Kejohanan Rali Eropah (ERC) serta banyak kejohanan rali peringkat nasional lain di benua tersebut apabila pembangunannya lengkap dan menerima homologasi penuh dari Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) kelak.
Jentera-jentera Rally2 ini juga layak untuk menyertai Kejohanan Rali Dunia (WRC) dalam kategori kedua tertinggi iaitu WRC2 buat masa sekarang. Namun FIA bakal merombak undang-undang WRC di mana bermula musim 2027, jentera Rally1 tidak lagi akan digunakan sebagai kategori tertinggi kejohanan tersebut, dan bakal digantikan dengan kelas baru yang dinamakan sebagai WRC27.
Regulasi rasmi bagi kelas WRC27 ini masih lagi belum diumumkan, tetapi secara ringkasnya ia akan menggabungkan casis spaceframe seperti jentera Rally1 sekarang dengan enjin, transmisi, sistem pacuan empat roda, suspensi dan lain-lain dengan spesifikasi diambil dari jentera Rally2. Dengan perubahan tersebut, kategori WRC2 akan dimansuhkan dan jentera-jentera dengan spesifikasi Rally2 layak untuk bertanding merebut kejuaraan utama WRC menentang kereta-kereta WRC27.

Tests Lancia Ypsilon Integrale Rally 2, at Montvallon and Pellafol, France, from September 3rd to 4th 2025 – Photo: André Ferreira / DPPI
Ini bermakna pada musim 2027 nanti Lancia Corse akan layak bertanding sebagai ‘Lancia Corse World Rally Team’ dengan jentera Lancia Ypsilon Rally2 HF Integrale ini untuk merebut gelaran juara dunia bagi kategori pemandu dan juga pengeluar – mungkin ini yang dimaksudkan pengenalan jentera Rally2 tersebut “hanyalah permulaan” untuk sesuatu yang lebih besar?
Lancia mula menyertai WRC sejak tahun 1973. Ia terkenal dengan pelbagai jentera rali yang berjaya seperti Lancia Stratos, Lancia Rally 037 Group B, Lancia Delta S4 Group B dan juga Lancia Delta HF Integrale Group A. Selepas dinobatkan sebagai juara kategori pengeluar sebanyak 10-kali dan merangkul lima juara dunia kategori pemandu, skuad dari Itali tersebut akhirnya mengundur diri dari WRC pada penghujung musim 1992.
- Tests Lancia Ypsilon Integrale Rally 2, at Montvallon and Pellafol, France, from September 3rd to 4th 2025 – Photo: André Ferreira / DPPI
- Tests Lancia Ypsilon Integrale Rally 2, at Montvallon and Pellafol, France, from September 3rd to 4th 2025 – Photo: André Ferreira / DPPI
- Tests Lancia Ypsilon Integrale Rally 2, at Montvallon and Pellafol, France, from September 3rd to 4th 2025 – Photo: André Ferreira / DPPI
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.