Bersempena dengan majlis sambutan ulang tahun syarikat yang ke-30, Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) melancarkan sebuah skuter yang membawa kembali nama yang pernah digunakan sebelum ini, iaitu Elit 150S untuk pasaran Malaysia.
Ia dijual pada harga RM7,877, dalam pilihan dua warna iaitu Riviera Blue dan Quantum Grey, bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km.
Menggerakkan skuter ini adalah enjin satu silinder penyejukan cecair SOHC 149 cc, bersama transmisi automatik CVT, mampu menghasilkan kuasa 14 hp pada 8,250 rpm dan tork 13.5 Nm pada 6,750 rpm. Dilengkapi tangki bahan api 12 liter, Elit 150S dikatakan boleh mencatat jarak perjalanan sehingga 480 kilometer dengan satu isian penuh.
Rim 13 inci pada Elit 150S dipegang oleh fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang, sementara fungsi penghentian dilaksana oleh tetapan brek cakera hadapan dan belakang. Meskipun cakera hadapannya mmpunyai ring, sistem ABS tidak disediakan.
Sebagai sebuah skuter, Elit 150S menyediakan beberapa kemudahan untuk pengguna termasuk ruang simpanan 23 liter di bawah tempat duduk, dua poket barangan di bawah bahagian pemegang, soket pengecas USB, sistem kunci pintar serta lampu kecemasan. Informasi penting dipaparkan melalui panel meter digital LCD.
Melihat kepada reka bentuk, Elit 150S tampil bergaya dan moden, dengan penggunaan lampu jenis LED di hadapan (berserta DRL) dan belakang, serta tempat duduk luas untuk dua orang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.