Diperkenalkan di pasaran Indonesia pada penghujung tahun lepas, Yamaha NVX 155 2025 (dipanggil Aerox Alpha di sana) kini tiba di pasaran Malaysia dalam dua varian, iaitu ABS pada harga RM11,998 dan SP pada harga RM14,998 (tidak termasuk insurans).
Untuk spesifikasi, jika mahu dibandingkan dengan pasaran Indonesia, NVX 155 ABS Malaysia ini boleh dikatakan sama seperti Aerox Alpha CyberCity (pertengahan), sementara NVX 155 SP pula sama seperti varian Turbo (bukan yang paling tinggi) di negara jiran itu.
Melihat pertamanya kepada penampilan, apabila diteliti anda akan nampak sebenarnya semua panel badan skuter ini adalah baru, termasuk juga lampu hadapan dan belakangnya. Kemudiannya, beza tinggi antara tempat duduk utama dengan penumpang juga nampak lebih sedikit.
Peningkatan penting berada pada varian SP. Enjinnya masih lagi unit satu silinder 155 cc Bluecore VVA, tetapi ia dipanggil sebagai serba baru kerana dipertingkat dengan teknologi Yamaha Electric CVT (Y-ECVT). Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 15.4 PS pada 8,000 rpm dan tork 14.2 Nm pada 6,500 rpm.
Di negara luar, varian ini dipanggil sebagai “Turbo”, tetapi sebenarnya tidak mempunyai sebarang pengecas turbo, dan sebaliknya ia merujuk kepada mod tunggangan yang disediakan dalam dua pilihan iaitu T-Mode (Town Mode yang lebih santai) dan S Mode (Sports yang lebih bertenaga).
Kemudiannya, ada pula Turbo Y-Shift, yang boleh digunakan jika penunggang mahukan lebih pecutan ataupun mahukan rasa engine braking yang lebih. Ia boleh diaktifkan melalui butang yang terdapat pada bahagian kiri pemegang dan disediakan dalam tiga tahap iaitu Low, Medium dan High.
Sistem keselamatan skuter ini juga dipertingkat, terutamanya pada varian SP, yang datang bukan sahaja dengan ABS, tetapi juga sistem kawalan cengkaman. Di bahagian kokpit, Aerox varian tinggi ini dilengkapi dengan panel meter TFT baru yang menyediakan tiga pilihan paparan dan boleh disambung kepada telefon pintar melalui aplikasi Y-Connect untuk fungsi tambahan.
Untuk NVX 155 baru ini, kedua-dua brek hadapan dan belakang sudah menggunakan tetapan cakera, dan datang sekali dengan fungsi ABS single-channel. Kemudiannya, bahagian meter varian ABS juga hanya diberikan dengan unit LCD biasa.
Menjadikan varian SP lebih unik untuk pasaran Malaysia adalah ia datang dengan beberapa aksesori termasuk penghadang angin hadapan sport, tapak nombor plat aluminium, winglet hadapan serta lapik getah pada pemijak kaki.
Kelengkapan lain pada NVX 155 masih kekal sama termasuk tetapan rim 14 inci dengan tayar 110/80 di hadapan dan 140/70 belakang, fork teleskopik, dua penyerap hentak di belakang (dengan tabung untuk varian SP), soket pengecas USB-A, sistem start/stop, ruang simpanan 24.5 liter bawah tempat duduk, kunci pintar dan tangki bahan api 5.5 liter.
GALERI: Yamaha NVX 155 ABS
GALERI: Yamaha NVX 155 SP
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.