Kementerian Pengangkutan (MoT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) telah mengumumkan bahawa siri Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI), GM, akan dibuka bidaan menerusi platform dalam talian JPJ eBid. Menurut JPJ, GM yang bermaksud ‘Gemilang Malaysia’ adalah sempena dengan sambutan Hari Malaysia dan bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme serta cintakan negara.
Untuk yang berminat untuk mendapatkan siri GM ini, ia dibuka bidaan mulai esok, 16 September. Seperti biasa, tempoh bidaan adalah selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 20 September. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 21 September 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.
Harga bidaan dalam JPJeBid adalah mengikut harga minima yang telah ditetapkan seperti berikut:
“Kaedah penawaran secara bidaan ini adalah tertakluk kepada terma dan syarat yang telah ditetapkan melalui sistem JPJ JeBid. Mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh dua belas bulan dari tarikh surat keputusan bidaan rasmi dikeluarkan,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Lebih menarik, pembida yang berjaya dalam bidaan GM ini akan ditawarkan dengan dua keping tiket Festival Super GT Malaysia 2026 dengan membuat penebusan tiket melalui alamat e-mel.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.