Masalah penggunaan nombor plat kenderaan haram di Malaysia kini memasuki fasa baru dengan kewujudan alat penukar nombor plat automatik boleh pusing. Menurut laporan akhbar The Star, alat yang mudah diperoleh melalui platform e-dagang ini membuka peluang kepada pemandu tidak bertanggungjawab dan penjenayah untuk menyembunyikan identiti kenderaan mereka hanya dengan menekan satu butang.
Apabila dipasang pada kenderaan, alat ini membolehkan pemilik menukar atau menutup plat nombor kenderaan dalam sekelip mata melalui alat kawalan jauh. Hasil semakan di tiga laman e-dagang popular menunjukkan bahawa alat ini dijual pada harga antara RM150 hingga RM350. Sekurang-kurangnya sedozen penjual menawarkan produk ini dalam dua variasi — diperbuat daripada logam dan plastik, dan boleh dipasang dalam masa kurang daripada 10 minit. Setiap pembelian turut disertakan dengan aksesori seperti kabel pemasangan dan kuasa, unit kawalan serta cara penggunaan.
Salah satu variasi berfungsi dengan motor binaan dalam yang boleh memutar nombor plat sebenar kepada nombor palsu mengikut kehendak pengguna. Satu lagi menggunakan panel kosong yang turun untuk menutup keseluruhan nombor asal kenderaan tersebut.
Dalam iklan yang dimuat naik, ada penjual yang mendakwa alat ini membantu melindungi nombor plat daripada kerosakan akibat cuaca atau permukaan jalan yang kasar, malah kononnya menawarkan “keselamatan dan privasi tambahan”. Namun di platform lain, alat ini terus terang dipromosikan sebagai “penutup plat untuk elak saman kamera,” yang jelas menunjukkan niat penyalahgunaan.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik kenderaan yang didapati memasang alat ini. Beliau menjelaskan bahawa perbuatan mempamerkan plat nombor yang mengelirukan atau palsu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan, yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun, denda sehingga RM5,000, atau kedua-duanya sekali.
Tambah beliau lagi, mana-mana kenderaan yang dikesan menggunakan alat ini akan disita serta-merta dan pemiliknya akan dikenakan saman dan tindakan mahkamah. Operasi khas akan dijalankan bagi mengesan kes-kes seperti ini. Pihak polis juga akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Digital untuk mengharamkan penjualan alat tersebut.
Pakar jenayah, Datuk Seri A. Thaiveegan turut memberi amaran bahawa penjualan alat ini memberi kesan besar terhadap keberkesanan penguatkuasaan lalu lintas dan menyukarkan pihak polis dalam menjejak penjenayah. Beliau mencadangkan agar pindaan undang-undang dilakukan untuk mengharamkan pengimportan, pengeluaran tempatan, penyimpanan dan pemasangan alat ini.
Pakar keselamatan jalan raya dari Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Law Teik Hua berkata alat ini direka khas untuk menyembunyikan identiti pemandu dan mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang. Menurutnya, walaupun sesetengah pembeli mungkin membelinya sekadar suka-suka, tujuan utama alat ini tetap untuk mengelak daripada dikesan sistem penguatkuasaan automatik seperti kamera had laju, kamera lampu isyarat dan sistem pembayaran tol.
Beliau memberi amaran bahawa penggunaan meluas alat seperti ini boleh merosakkan integriti sistem penguatkuasaan lalu lintas, mengakibatkan kehilangan hasil negara daripada kutipan tol dan saman, serta menghalang siasatan jenayah yang lebih serius. Beliau turut menyatakan bahawa keyakinan orang ramai terhadap keadilan dan keberkesanan undang-undang akan terjejas jika penggunaan alat ini tidak dibendung.
Perunding pengangkutan, Wan Agyl Wan Hassan pula menegaskan bahawa isu ini bukan sekadar perlu diharamkan, tetapi penjualannya secara dalam talian juga mesti dihentikan segera. Katanya, penggunaan alat ini jelas melanggar Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan peraturan JPJ yang melarang sebarang bentuk pengubahsuaian pada plat nombor. Pelaku boleh dikenakan denda sehingga RM3,000 atau hukuman penjara.
Menurut beliau, alat ini memberi risiko besar kerana ia boleh digunakan oleh penjenayah untuk melarikan diri selepas melakukan kecurian, penyeludupan atau kemalangan langgar lari tanpa dikesan. Jika alat ini terus berleluasa, sistem penguatkuasaan lalu lintas akan lumpuh dan keselamatan jalan raya akan tergugat. Kepercayaan awam terhadap undang-undang juga akan terhakis jika wujud kelompok yang boleh terlepas daripada tindakan undang-undang, sedangkan yang lain patuh.
Beliau juga menggesa platform e-dagang untuk bertanggungjawab. Di bawah Peraturan Perlindungan Pengguna (Transaksi Perdagangan Elektronik) 2024 dan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian, platform wajib menurunkan produk yang dilarang apabila diberi makluman. Jika mereka boleh membuang barangan tiruan, mereka juga boleh melaksanakan perkara sama terhadap alat penukar plat nombor ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.