Renault Clio 2026 diperkenal di Jerman – generasi keenam dengan badan lebih besar, gaya sporty

Renault Clio 2026 diperkenal di Jerman – generasi keenam dengan badan lebih besar, gaya sporty

Bukan setakat pengeluar dari Jerman sahaja yang menarik perhatian di IAA Mobility 2025 (juga dikenali sebagai Pameran Motor Munich). Renault juga mencuri tumpuan dengan pelancaran generasi keenam bagi Clio – model ikonik yang telah wujud sejak tahun 1990.

Sejak diperkenalkan lebih tiga dekad lalu, Renault Clio telah mencatat jualan hampir 17 juta unit di lebih 120 negara, termasuk Malaysia sebelum ini. Ia merupakan antara model terlaris di Eropah dan menjadi tunjang penting kepada Renault. Kini, Clio tampil dengan wajah serba baru bagi mengekalkan minat pembeli dan bersaing dalam segmen hatchback yang semakin sengit.

Clio generasi baru ini dibina atas platform CMF-B yang dipertingkatkan dan hadir dalam saiz lebih besar berbanding sebelum ini. Ia kini berukuran 4,116 mm panjang, 1,768 mm lebar, 1,451 mm tinggi dan mempunyai jarak roda 2,591 mm. Rekaan luarnya pula jauh lebih ekspresif dan dinamik, diinspirasikan daripada model konsep Embleme yang dipertontonkan tahun lalu.

Bahagian hadapan Clio menampilkan rupa agresif dengan lampu utama berbentuk tirus yang mengapit gril heksagon, serta lampu nyalaan siang berbentuk kurungan yang memberi sentuhan moden. Corak berlian kecil pada bukaan udara menjadi simbolik kepada logo Renault.

Renault Clio 2026 diperkenal di Jerman – generasi keenam dengan badan lebih besar, gaya sporty

Profil sisi pula menunjukkan bentuk yang lebih aerodinamik dengan bonet lebih panjang, serta bentuk tingkap sisi yang mengalir ke belakang dengan garis bumbung menurun. Pemegang pintu belakang disembunyikan, seperti pada model terdahulu, manakala legnkuk roda berwarna hitam menambahkan elemen visual sporty.

Di belakang, Clio hadir dengan cermin belakang yang condong, lampu belakang heksagon yang unik, spoiler bumbung serta permukaan berlekuk bagi nombor plat – semuanya direka untuk memberikan rupa yang lebih agresif dan moden.

Masuk ke dalam kabin, perubahan drastik turut dilakukan dengan susunan papan pemuka dua tingkat yang menempatkan corong pendingin hawa dan dua paparan digital 10.1 inci dalam susun atur bentuk “V”. Skrin infotainmen OpenR Link dengan sistem Google diletakkan di tengah, bersama kawalan pendingin hawa yang condong ke arah pemandu. Di bawahnya terdapat soket USB-C, pad pengecas tanpa wayar, pemegang cawan dengan penutup lipat serta butang brek tangan elektronik.

Stereng kompak diinspirasikan daripada model segmen lebih tinggi, manakala lampu suasana 48 warna menyinari pintu bagi memberikan suasana kabin yang lebih menarik. Sistem audio premium Harman Kardon turut ditawarkan bergantung kepada varian, bersama pelbagai pilihan warna dalaman.

Tiga varian ditawarkan iaitu Evolution, Techno dan Esprit Alpine. Kesemuanya hadir standard dengan ciri Adaptive Cruise Control dan brek kecemasan automatik. Varian lebih tinggi pula dilengkapi sehingga 29 fungsi keselamatan dan bantuan pemandu termasuk sistem Active Driver Assist yang mula diperkenalkan pada model Renault 5, amaran lintasan hadapan dan belakang, bantuan brek kecemasan semasa mengundur, amaran keluar selamat untuk penumpang, dan bantuan brek kecemasan automatik.

Dari segi penjana kuasa, pilihan utama untuk Clio adalah sistem hibrid penuh E-Tech dengan kuasa 160 PS dan tork 205 Nm. Diumumkan pada Mei lalu, sistem ini merupakan hasil usaha sama antara Geely dan Renault di bawah jenama Horse Powertrain.

Ia menggunakan enjin 1.8 liter empat silinder tanpa turbo dengan kitaran Atkinson, dipadankan dengan transmisi automatik hibrid empat kelajuan, bateri 1.4 kWh dan dua motor elektrik – satu untuk pacuan dan satu lagi sebagai starter-generator. Gabungan ini membolehkan Clio memecut 0-100 km/j dalam 8.3 saat dan mencatat penggunaan bahan api serendah 3.9 liter setiap 100 km.

Bagi pilihan bukan hibrid, terdapat enjin tiga silinder 1.2 liter turbo yang menghasilkan 115 PS dan 190 Nm, dengan pilihan kotak gear manual enam kelajuan atau automatik klac berkembar EDC. Satu lagi pilihan ialah enjin dwibahan api petrol-LPG dengan output 120 PS dan 200 Nm yang hanya ditawarkan bersama transmisi EDC. Kedua-dua varian ini mencatat masa pecutan 0-100 km/j sekitar 10.1 saat. Menariknya, ini merupakan generasi pertama Clio yang tidak lagi ditawarkan dengan enjin diesel.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance with us

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services. You can also pay with instalment using Grab PayLater or Shopee SPayLater.

Renew Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required