Setakat akhir Ogos lalu, kemajuan kerja sistem rel Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura sudah mencapai 61% dengan sebahagian besar ujian sistem selesai dijalankan, manakala tumpuan kini kepada kerja pemasangan dan ujian di tapak, ujar Ketua Pegawai Eksekutif RTS Operations Pte Ltd (RTSO) Dr Ahmad Marzuki Ariffin.
Selain itu, katanya, tren kedua RTS juga dijangka tiba di Depot Wadi Hana pada hujung September ini selepas selesai menjalani ujian di fasiliti CRRC Batu Gajah, Perak. Di mana tren berkenaan merupakan set pertama yang akan dibawa masuk ke depot itu bagi melalui siri ujian seterusnya, laporan Harian Metro.
“Tren pertama RTS kini masih berada di Singapura untuk menjalani Ujian Integrasi Sistem Luar Tapak (Offsite Systems Integration Test-OSIT) selepas diperkenalkan semasa majlis pelancaran pada hujung Jun lepas di Singapura. Tren itu dijangka dibawa ke Depot Wadi Hana pada separuh kedua November ini,” katanya.
Depoh Wadi Hana bakal menjadi fasiliti penyelenggaraan serta operasi tren RTS Link di Wadi Hana yang terletak kira-kira satu kilometer ke utara Stesen RTS Link Bukit Chagar, laluan utama menghubungkan Stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Stesen Woodlands North di Singapura.
Secara keseluruhan, projek RTS Link membabitkan lapan set tren, dengan tren kedua hingga kelapan dalam proses akhir pembuatan di fasiliti CRRC Batu Gajah sebelum dihantar secara berperingkat ke Johor Bahru menjelang hujung 2025.
Dilancarkan pada tahunn 2018, projek RT Link ini adalah perkhidmatan rel rentas sempadan sepanjang empat kilometer yang menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands North di Singapura. Ia dijangka siap pada Disember 2026 dan mula beroperasi awal 2027. Sistem pengangkutan rel itu mampu memuatkan kapasiti 10,000 penumpang sejam untuk setiap arah, dengan masa perjalanan sekitar lima minit antara dua stesen, satu di Bukit Chagar di Johor dan satu lagi di Woodlands di Singapura.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.