AUDI E5 Sportback dilancarkan di China – 10 ribu tempahan diterima dalam masa 30 minit, dari RM139k

AUDI E5 Sportback dilancarkan di China – 10 ribu tempahan diterima dalam masa 30 minit, dari RM139k

Selepas lima bulan diperkenalkan secara rasmi di Auto Shanghai, AUDI — sub-jenama baru Audi (ditulis dalam huruf besar sepenuhnya) — akhirnya melancarkan model E5 Sportback untuk pasaran China. Walaupun pelancarannya agak lewat, sambutan yang diterima amat luar biasa, dengan lebih 10,000 tempahan awal direkodkan hanya dalam tempoh 30 minit selepas pelancaran.

E5 Sportback merupakan model pertama hasil kerjasama Audi bersama rakan usahasama tempatan SAIC dan dibina menggunakan platform Advanced Digitised Platform (ADP) yang turut digunakan oleh model IM L6 dan LS6. Ia ditawarkan dalam empat varian, dengan harga bermula dari 235,900 yuan (kira-kira RM139,000) hingga 319,900 yuan (sekitar RM188,500), menjadikannya setara dengan harga Audi A5L di pasaran China.

Model asas hadir dengan pacuan roda belakang, menghasilkan 299 PS dan tork 420 Nm. Ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.1 saat, menggunakan bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 76 kWh yang memberikan jarak gerak sejauh 618 km mengikut kitaran CLTC.

AUDI E5 Sportback dilancarkan di China – 10 ribu tempahan diterima dalam masa 30 minit, dari RM139k

Bagi versi pacuan semua roda Quattro, motor belakang dinaik taraf kepada 314 PS dan 475 Nm, manakala motor hadapan menambah 211 PS dan 250 Nm. Gabungan ini menghasilkan kuasa keseluruhan 525 PS dan tork 725 Nm, membolehkan pecutan 0–100 km/j dalam hanya 3.9 saat. Bateri yang lebih besar, 83 kWh jenis NMC (nickel manganese cobalt), meningkatkan jarak kepada 623 km.

Varian RWD Plus pula dilengkapi bateri 100 kWh, membolehkan jarak pemanduan mencecah 773 km. Motor belakang pada varian ini juga ditingkatkan kepada 408 PS dan 500 Nm, membolehkan pecutan 0–100 km/j dalam masa 5 saat.

Varian paling berkuasa dalam barisan model ini ialah Long Range Quattro. Motor belakangnya menjana 515 PS, manakala motor hadapan pula menghasilkan 272 PS dan 300 Nm, memberikan jumlah kuasa keseluruhan 787 PS dan tork 800 Nm. Model ini boleh memecut ke 100 km/j dalam hanya 3.4 saat. Namun begitu, jarak pemanduan sedikit berkurang kepada 647 km, meskipun menggunakan bateri 100 kWh yang sama.

AUDI E5 Sportback dilancarkan di China – 10 ribu tempahan diterima dalam masa 30 minit, dari RM139k

Untuk pengecasan pantas DC, model asas boleh dicas dari 10 hingga 80% dalam masa kurang 13 minit, manakala model dengan bateri 100 kWh memerlukan sekitar 17 minit. Namun, varian Quattro pertengahan agak mengecewakan apabila mengambil masa hingga 35 minit — dipercayai menggunakan seni bina elektrik 400 volt berbanding sistem 800 volt pada varian lain. Pengecasan AC pula agak terhad, dengan model asas hanya menyokong hingga 6.6 kW, dan maksimum 11 kW untuk model dengan bateri terbesar.

Dari segi mekanikal, E5 menggunakan suspensi jenis double wishbone di hadapan dan five-link di belakang. Varian tertinggi didatangkan dengan suspensi udara, peredam adaptif dan sistem stereng gandar belakang. Ciri Vehicle-to-Load (V2L) 6.6 kW juga tersedia sebagai standard.

Reka bentuk E5 Sportback diilhamkan daripada konsep E yang diperkenalkan tahun lalu dan dibangunkan khusus untuk citarasa pengguna di China. Sebagai sub-jenama, AUDI tidak lagi terikat kepada elemen ikonik jenama Audi seperti gril Singleframe atau lengkungan “Quattro”.

Sebaliknya, ia tampil dengan elemen baru seperti Light Frame – bingkai hitam yang mengelilingi bahagian depan, merangkumi lampu utama LED nipis (dengan pilihan teknologi Matrix), logo AUDI, sensor bantuan pemanduan dan saluran udara. Pada varian tertinggi, Light Frame turut disertakan dengan corak pencahayaan beranimasi yang terdiri daripada lebih 1,000 elemen lampu.

Bahagian sisi menampilkan bumbung hitam, garis tingkap yang melengkung naik serta tiang-D yang besar dan berwarna sama dengan badan. Di belakang, rekaan Light Frame diteruskan dan membentuk lampu belakang. Ciri-ciri aerodinamik lain termasuk spoiler hadapan, pemegang pintu tersembunyi, sayap belakang panjang dan cermin sisi digital pilihan, yang bersama-sama memberikan kecekapan rintangan serendah 0.252.

Masuk ke dalam kabin melalui pintu berkuasa (juga pilihan), E5 menggabungkan reka bentuk yang popular di kalangan pembuat kereta China. Panel paparan bersaiz 27 inci merentangi papan pemuka dan menggabungkan paparan pemandu serta skrin infotainmen berkongsi antara pemandu dan penumpang hadapan. Pembesar suara di perehat kepala disambungkan kepada sistem audio Bose, manakala konsol tengah menyediakan ruang untuk dua telefon dan pengecas wayarles 50 watt.

AUDI E5 Sportback dilancarkan di China – 10 ribu tempahan diterima dalam masa 30 minit, dari RM139k

Pada kemasan kayu terdapat lampu suasana manakala bumbung kaca elektro-kromik disediakan sebagai pilihan. Tempat duduk hadapan direka dengan struktur sembilan lapisan untuk sokongan maksimum dan dilengkapi fungsi urut lapan titik dengan empat mod dan tiga tahap kelajuan.

Sistem infotainmen E5 menggunakan sistem operasi baru AUDI OS yang dipacu cip Qualcomm Snapdragon 8295. Ia menampilkan pembantu maya AUDI Assistant berasaskan AI, mampu memahami pelbagai arahan serentak. Visualisasi sistem ini dipaparkan melalui skrin sentuh AUDI Smart Island bersaiz 4.29 inci yang hadir dengan 24 “personaliti”. Terdapat juga kedai aplikasi dengan sokongan pengecaman wajah serta seni bina elektrik zonal yang membolehkan kemas kini OTA untuk semua sistem kenderaan.

Sebagai sebuah model untuk pasaran China, E5 juga menyokong pemanduan separuh autonomous di kawasan bandar dan lebuh raya melalui sistem AUDI 360 Assisted Driving. Dengan bantuan sensor lidar, sistem Adaptive Cruise Assist boleh mengelak halangan, mengenal pasti lampu isyarat merah, menukar lorong dan membuat pusingan U secara automatik. Ia juga mampu mengenal pasti kenderaan tiga roda dan penunggang penghantar barang. Ciri keselamatan lain termasuk brek kecemasan automatik, amaran lintasan trafik belakang dengan brek automatik serta amaran pintu terbuka.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance with us

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services. You can also pay with instalment using Grab PayLater or Shopee SPayLater.

Renew Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required