Jabatan Kastam Diraja Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) mengumumkan bahawa pihaknya telah menyita sebanyak 32 kenderaan import pelbagai model bernilai lebih RM8.45 juta kerana melanggar syarat gudang berlesen.
Kenderaan terbabit disita hasil operasi khas Ops Purple yang dijalankan dari 29 Julai hingga 7 Ogos 2025 di dua gudang berlesen di Setapak dan Sungai Penchala, Damansara, kata Pengarah Kastam WPKL Wan Norizan Wan Daud.
“Pemeriksaan mendapati pemilik gudang berlesen gagal mematuhi syarat lesen seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 65(2) dan Seksyen 65(5) Akta Kastam 1967. Sebanyak 32 kenderaan import disimpan melebihi tempoh 48 bulan yang dibenarkan.
“Nilai sitaan kenderaan dianggarkan sebanyak RM3.08 juta manakala jumlah duti import dan cukai yang terlibat pula dianggarkan berjumlah RM5.38 juta,” kata Wan Norizan menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Tambahnya, siasatan mendapati modus operandi yang digunakan adalah dengan menyalahgunakan kemudahan pengecualian duti yang diberikan di bawah Seksyen 4 Akta Kastam 1967 dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d), Akta Kastam 1967 kerana menyimpan atau memiliki barang tidak berkastam atau barang larangan import.
Wan Norizan turut menyeru orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang kegiatan penyeludupan yang bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara malah mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
“Orang awam digesa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam berhampiran,” katanya sambil menambah pihaknya akan merahsiakan identiti pemberi maklumat.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.