Seperti Volkswagen, Mercedes-Benz nampaknya turut akan menggunakan kembali rekaan suis-suis fizikal untuk kawalan pelbagai fungsi dalam kabin, berbanding menggunakan kawalan digital, lapor Autocar.
“Data menunjukkan kepada kami bahawa butang-buyang fizikal adalah lebih baik,” kata ketua pegawai perisian Mercedes-Benz Magnus Östberg kepada portal berkenaan. Hala tuju ini akan bermula dengan model EV terbaharu GLC dan CLA Shooting Brake, di mana kedua-dua model tersebut menerima roda stereng rekaan baharu yang menampilkan suis-suis dan butang-butang fizikal.
Rekaan roda stereng ini akan menjadi perincian standard untuk semua model Mercedes-Benz bermula sekarang, dan ia turut akan diperkenalkan pada model-model yang sedang dijual buat masa ini bermula pada CLA 178 lewat tahun ini. Menurut Östberg, ini adalah cara yang paling mudah dan menggunakan kos yang paling berkesan untuk memberikan kawalan fizikal kepada kabin yang sebelum ini direka dengan tumpuan terhadap kawalan-kawalan digital.
“Anda boleh lihat perbezaan jika anda beralih dari [sedan] CLA, di mana ia mempunyai skrin sesentuh dan kurang menggunakan butang fizikal, kepada GLC [baharu], di mana kami kembali gunakan butang-butang dan suis-suis guling, kerana kami melihat kepada data bahawa suis guling dan butang-butang fizikal ini adalah sangat penting untuk kumpulan usia tertentu dan populasi tertentu,” kata Östberg
“Jadi, mempunyai keseimbangan antara butang fizikal dan kawalan sesentuh adalah amat penting bagi kami. Kami didorong sepenuhnya oleh data, melihat apa yang sebenarnya sering digunakan, data menunjukkan kepada kami butang fizikal adalah lebih baik, dan itulah sebabnya kami meletakkannya semula,” tambahnya.
Mercedes-Benz GLC 2026 menampilkan skrin MBUX Hyperscreen 39.1-inci yang ditawarkan sebagai opsyen, di mana skrin tersebut juga merupakan yang paling besar ditawarkan oleh jenama automotif premium Jerman itu buat masa sekarang.
Data-data yang dimaksudkan adalah datang dari kenderaan-kenderaan tentuan-perisian (software-defined vehicles atau SDV) iaitu pada CLA dan GLC baharu. SDV sememangnya dibangunkan untuk memperhalusi perisian kenderaan untuk kemaskini akan datang, serta memberikan akses penuh kepada Mercedes-Benz terhadap data penggunaan pemandu kenderaan tersebut.
Östberg menyatakan data-data berkenaan adalah “sangat penting”, contohnya keputusan untuk mengembalikan penggunaan butang fizikal berkenaan adalah didorong dari data yang diperolehi tersebut. Beliau turut menyatakan bahawa rekaan roda stereng mungkin boleh dibuat berbeza untuk pasaran tertentu, contohnya di Eropah pengguna lebih sukakan lebih banyak butang fizikal, manakala di Asia pemandu lebih sukakan skrin sesentuh dan kawalan suara.
Beliau turut membayangkan bahawa Mercedes-Benz mungkin akan memberikan lebih banyak butang-butang fizikal semula pada bahagian-bahagian lain dalam kabin bagi model-model selepas ini. Ia berkemungkinan akan ditawarkan pada model-model SUV kerana beliau menyebut “pakej yang lebih bebas” pada kenderaan yang lebih besar dan “pembeli model-model seperti ini adalah lebih sukakan penggunaan butang,”.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.