Toyota GR Corolla facelift 2025 baru sahaja dilancarkan di Jepun Februari lalu. Namun baru beberapa bulan, hot-hatch tersebut kini diperkenalkan dalam satu lagi versi tingkat taraf prestasi yang didakwa dibuat menerusi pengetahuan yang ditimba pasukan Toyota Gazoo Racing dalam siri perlumbaan Super Taikyu Endurance di Jepun.
Tingkat taraf pertama yang diberikan hanya boleh dibuat di kilang iaitu dengan penambahan bahan perekat struktur pada bahagian cantuman kerangka badan. Tambahan berkenaan menjadi secara keseluruhan versi tingkat taraf GR Corolla ini menerima bahan perekat sepanjang 32.7 meter, atau 13.9 meter lebih panjang dari yang sebelumnya.
Tambahan bahan perekat struktur ini menjadi kerangka GR Corolla tersebut lebih tegar bagi menerima asakan daya-G sama ada secara menegak atau dari sisi yang biasanya dihasilkan ketika dipandu pada litar-litar tipikal sekitar Jepun. Kawasan yang menerima tambahan bahan perekat ini adalah termasuk pada bahagian badan hadapan, lantai dan juga di sekitar perumah roda belakang.
Menurut Toyota, tambahan bahan perekat ini dapat meningkatkan ketegaran badan dengan tambahan berat yang minima, seterusnya “menghasilkan struktur badan yang diperkuat bagi menambahbaik aspek hubungan yang menyatukan pemandu dan kereta dalam apa jua situasi, dari pemanduan bandar hingga ke litar.”
Kemudian GR Corolla ini turut menerima sistem kemasukan udara ke enjin yang direka semula, menampilkan pengalir udara sejuk yang diaktifkan oleh kelajuan tinggi enjin pada saluran ambilan udara sekunder. Ia terletak di bawah penapis udara dan berfungsi untuk menyedut udara dari luar ruang enjin menerusi gril hadapan, bagi mendapatkan udara lebih sejuk, di mana Toyota mendakwa kuasa enjin akan terus berada pada kadar optima walaupun suhu dalam ruang enjin meningkat ketika kereta ini dipandu pada kelajuan tinggi dalam tempoh masa yang lama.
Tingkat taraf seterusnya adalah di dalam kabin di mana sistem audio JBL yang dibekalkan kini menampilkan sembilan pembesar suara berbanding hanya lapan sebelum ini. Satu lagi pembesar suara tambahan berkenaan adalah subwoofer yang ditambah pada bahagian but belakang.
Penambahbaikkan ini bukan hanya untuk memberikan kualiti müzik lebih baik kerana sistem bunyi GR Corolla ini turut bersepadu dengan Active Noise Control (ANC) dan juga Active Sound Control. Untuk ANC, ia akan mengurangkan bunyi enjin yang menggangu dan bunyi-bunyi lain yang tidak diperlukan dalam kabin.
Manakala untuk ASC, sistem ini akan meberikan bunyi enjin lebih baik yang dikeluarkan menerusi pembesar suara bagi memberikan pengalaman pemanduan lebih mengujakan. Sistem ini menawarkan tiga mod bunyi yang boleh dipilih iaitu bunyi asli dengan mematikan sistem tersebut, normal dan juga bunyi seakan sistem anti-lag untuk pengecas turbo diaktifkan (GR Corolla JDM sememangnya mempunyi sistem anti-lag dalam mod pemanduan Circuit).
Tiada perubahan diberikan pada unit rangkaian kuasa dan ia masih lagi menggunakan enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan terus, dengan angka kuasa 304 PS dan tork maksima 400 Nm. Ia dipadankan dengan pilihan kotak gear manual enam-kelajuan atau transmisi automatik GR-DAT lapan-kelajuan.
Kuasa dari kotak gear berkenaan kemudiannya dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda GR Four yang diinspirasikan dari jentera rali. Sistem tersebut mengagihkan tork antara gandar hadapan dan belakang dalam tiga mod berbeza iaitu Normal dengan agihan 60:40 (60% untuk belakang, 40% untuk hadapan), Gravel dengan agihan 50:50 dan Track yang memberikan agihan tork sentiasa berubah antara 60:40 hingga 30:70 bergantung pada situasi pemanduan.
Jualan GR Corolla yang dipertingkat ini hanya akan bermula pada 3 November nanti – bukan semua orang dapat membeli kereta ini di Jepun kerana Toyota membuka sistem loteri bagi menentukan siapa yang layak membelinya. Namun ia mungkin akan dijual secara biasa selepas permintaan terhadap model berkenaan selari dengan jumlah produksinya di kilang.
Toyota GR Corolla RZ dengan kotak gear manual enam-kelajuan dijual pada harga 5.68 juta yen (sekitar RM162k), manakala varian RZ dengan kotak gear automatik pula dijual pada harga 5.98 juta yen (RM170k).
- Winter time in Slovenia, a lot of fresh snow, cold temperature, forest in snow.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.