Menurut laporan penyelidikan pasaran oleh Maybank Investment Bank, Bermaz Auto kini sedang merancang untuk meluaskan lagi barisan model Mazda yang dijual pada pasaran Malaysia. Ini termasuk bakal memperkenalkan model generasi baharu SUV Mazda CX-5 yang telah membuat kemunculan globalnya pada Julai lalu.
Model berkenaan bakal ditawarkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD) dengan pengeluaran dijangka akan dibuat pada Tahun Kewangan 2027 (TK27) syarikat itu yang akan berakhir pada 30 April 2028. Buat masa sekarang Bermaz berada pada Tahun Kewangan 2026 yang akan berakhir pada 30 April 2027.
Mazda CX-5 generasi ketiga ini dihasilkan lebih besar dari model generasi sedia ada dengan menampilkan dimensi panjang 4,690 mm, lebar 1,860 mm dan tinggi 1,695 mm. Ini bermakna model generasi baharu ini adalah 115 mm lebih panjang, 15 mm lebih lebar dan juga 15 mm lebih tinggi dari model sebelumnya.
Model generasi baharu ini masih menerima prinsip rekaan ‘kodo-design’ signatur Mazda serta tetapi menerapkan konsep “Wearable Gear” – walaupun nampak macam hampir sama seperti model sebelum ini, namun ia kini sebenarnya lebih besar untuk memberikan praktikaliti yang lebih baik, berbanding versi sebelumnya yang hanya mementingkan rupa sporty dan prestasi pemanduan semata-mata.
Manakala pada bahagian dalaman, CX-5 nampaknya cuba merapatkan jurang dengan saingan-saingannya dari China di mana ia diberikan skrin sesentuh gergasi dengan pilihan saiz 12.9-inci dan 15.6-inci yang diletakkan di tengah papan pemuka, manakala suis-suis fizikal sudah dikurangkan.
Bagi unit rangkaian kuasa, nampaknya masih belum ada teknologi baharu ditampilkan oleh Mazda untuk CX-5 generasi terkini ini. Buat masa sekarang model pasaran Eropah disahkan hanya ditawarkan dengan hanya satu pilihan penggerak iaitu e-SkyActiv-G yang menggandingkan enjin 2.5 liter empat silinder sebaris dan juga sistem hibrid ringkas 24-volt menghasilkan kuasa 141 PS dan tork maksima 238 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik SkyActiv-Drive enam kelajuan, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 10.5 saat.
Dalam laporan Maybank Investment Bank yang bertarikh 17 Spetember 2025 itu juga ada menyebut bahawa Bermaz akan melancarkan SUV CX-80 dan juga satu lagi SUV segmen-B ke pasaran tempatan. CX-80 sudahpun dilancarkan pada awal bulan ini, manakala SUV segmen-B tersebut disasarkan untuk dilancarkan pada TK28 yang berakhir pada 30 April 2029 dan ia turut dirancang untuk ditawarkan dalam versi CKD.
Tiada perincian lanjut berkenaan SUV kompak berkenaan, namun ia mungkin ada kaitan dengan pengumuman Mazda pada Februari lalu bahawa ia akan mengeluarkan modal pelaburan yang besar di Thailand bagi membangunkan hab pengilangan untuk SUV kompak baharu.
Terdapat juga laporan dari CIMB Securities pada September 2025 yang menyebut bahawa Bermaz bakal melancarkan Mazda 3 1.5L pada Oktober tahun ini. Ia mungkin merujuk kepada varian 1.5L High Plus di mana tempahannya sudah mula dibuka sejak Jun tahun ini.
Model berkenaan dijangka akan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM119,620. Sebelum ini Bermaz sudahpun menawarkan Mazda 3 dengan pilihan enjin 1.5 liter berkenaan, tetapi hanya dalam varian 1.5L Mid yang diberikan fungsi ADAS penuh.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.