Sejak 1 September lalu, JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) telah memeriksa sebanyak 8,225 kenderaan berat dan mengeluarkan sejumlah 1,672 notis saman menerusi Operasi Khas Gempur Kenderaan Perdagangan. Operasi berkenaan dijalankan bagi memperkukuh pematuhan undang-undang jalan raya, khususnya dalam sektor pengangkutan barangan dan perkhidmatan awam.
Menerusi operasi yang sama juga, dalam tempoh 17 hari pertama bulan ini, jumlah kenderaan yang dikenakan tindakan adalah sebanyak 575 buah dan lapan buah kenderaan telah disita iaitu sebuah lori tipper, dua buah lori roll-on roll-off dan lima lori kargo kecil yang didapati melakukan pelanggaran peraturan yang serius dan berulang kali.
Tambah JPJ WPKL lagi, operasi ini memberi fokus kepada empat kesalahan utama iaitu memandu berterusan di lorong kanan, memotong di garisan berkembar, lesen dan insurans tamat tempoh, ketidakpatuhan terhadap spesifikasi pembinaan dan penggunaan kenderaan (C&U).
“JPJ WPKL turut melaksanakan pendekatan advokasi di lokasi operasi, serta menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap pelanggaran undang-undang. Usaha ini bertujuan menjamin keselamatan pengguna jalan raya dan memperkukuh integriti sistem pengangkutan negara. Orang awam digalakkan menyalurkan aduan melalui aplikasi MyJPJ: e-Aduan atau E-mel: [email protected],” kata JPJ WPKL menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Akan dilaksanakan sehingga 31 Disember 2025, menurut JPJ, pelaksanaan operasi ini adalah susulan peningkatan kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan, berpunca daripada kegagalan mematuhi spesifikasi teknikal, penyelenggaraan lemah dan sikap pemandu yang cuai.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.