Orang ramai dinasihati segera memeriksa dan menggantikan cip kad pengenalan (MyKad) yang rosak bagi membolehkan mereka menikmati subsidi bersasar RON95 yang dijadual dilaksanakan kerajaan hujung bulan ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Jelas beliau, pelaksanaan subsidi itu memerlukan pengesahan identiti menggunakan MyKad ketika proses mengisi minyak di stesen.
“MyKad penting sebab nanti kita nak pi (pergi) beli minyak dengan harga RM1.99, tak sampai RM2. Wajib ada MyKad, pasal kita nak cucuk MyKad tu kat pam minyak…mengesahkan kita rakyat Malaysia dan beli minyak dengan harga RM1.99, kalau tak, kena bayar RM2.05. Jadi, penggantian cip MyKad kena buat hari ini, mulai sekarang. Rosak cip, tak boleh beli nanti…boleh beli tapi dengan harga RM2.05,” katanya menerusi video yang dikongsikan di Facebook rasminya.
Menerusi Facebook rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) turut berkongsi cara mudah untuk menukar MyKad yang rosak. Di mana orang ramai boleh memilih cara yang paling senang melalui pelbagai saluran yang disediakan JPN iaitu datang sendiri ke mana-mana cawangan JPN berhampiran yang mempunyai sejumlah 210 kaunter di seluruh negara, memohonnya di kemudahan bergerak yang disediakan iaitu bas atau van MEKAR, menghubungi talian MyPhone-In (03-8880 8066) atau melalui JPN e-Services.
Menurut JPN lagi, jika anda memilih untuk membuat permohonan di kaunter atau di Bas/Van MEKAR, anda perlu membawa MyKad rosak dan bil utiliti (sekiranya nak tukar alamat), serta datang dengan berpakaian kemas untuk kemaskini gambar MyKad. Sekiranya, permohonan melalui MyPhone-In dan JPN e-Services, gambar dan alamat MyKad tidak boleh dikemaskini. Dan anda dikehendaki membawa MyKad rosak sewaktu hadir ke JPN untuk kutipan MyKad baharu.
Sebelum ini, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa Kerajaan dijangka akan mengumumkan pelaksanaan subsidi petrol RON95 pada penghujung bulan ini. Selain Mykad, kerajaan juga mempertimbangkan pelbagai mekanisme pelaksanaan termasuk e-dompet dan aplikasi syarikat minyak bagi memastikan ikhtiar ini dilaksanakan secara efisien tanpa membebankan rakyat.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.