GMW Wey G9 dipertontonkan – sistem Hi-4 terkini, 442PS/642 Nm; lancar Q4, dijangka bawah RM300k

GMW Wey G9 dipertontonkan – sistem Hi-4 terkini, 442PS/642 Nm; lancar Q4, dijangka bawah RM300k

Seperti yang kami pernah uar-uarkan sebelum ini, GMW Malaysia nekad untuk melancarkan MPV PHEV mewahnya, Wey G9, sebelum tirai 2025 berlabuh. Namun bagi menambahkan lagi debaran menjelang pelancarannya kelak, Wey G9 atau sebelum ini lebih dikenali sebagai Wey 80 dipertontonkan secara eksklusif dan tempahannya juga telah dibuka secara rasmi.

GWM Malaysia berkata, nama G9 mempunyai makna simbolik yang tersendiri. Di mana ‘G’ melambangkan “ikatan kasih sayang yang menghubungkan generasi”. Bagi angka ‘9’ pula, mencerminkan “keutuhan dan impian perpaduan keluarga”. Manakala ‘WEY’ pula diilhamkan dari pengasas jenama ini iaitu Jack Wey dan ia digambarkan sebagai jaminan untuk kualiti premium, teknologi dan keselamatannya.

Untuk pasaran tempatan, GMW Malaysia juga telah mengesahkan Wey G9 ini akan hadir dengan unit pemasangan tempatan (CKD), yang akan diproduksi oleh EP Manufacturing (EPMB) di fasiliti di Hicom Pegoh Industrial Park, Melaka bermula hujung tahun ini. Malah negara kita juga akan menjadi hab pengeluaran MPV PHEV versi pemanduan sebelah kanan (RHD) yang turut akan diimport ke negara jiran iaitu Thailand dan Indonesia.

GMW Wey G9 dipertontonkan – sistem Hi-4 terkini, 442PS/642 Nm; lancar Q4, dijangka bawah RM300k

Bagi harganya, ia masih belum didedahkan, namun GMW Malaysia berkata, ia akan ditetapkan di bawah RM300k. Nampak gayanya harga yang kompetitif ini pastinya akan memberikan cabaran buat pesaing rapatnya dari barisan MPV EV termasuk Denza D9 yang berharga dari RM259k, Zeekr 009 (RM350k-RM360k), Xpeng X9 (dari RM271k), GAC M8 (dari RM333k) serta MPV mewah enjin pembakaran dalaman (ICE) sepenuhnya, Toyota Alphard (dari RM538k) dan Vellfire (dari RM438k).

Bagi ‘menghidupkan jantungnya’, Wey G9 disuapkan dengan enjin 1.5 turbo empat-silinder sebaris yang digabungkan bersama Hi4 plug-in hybrid system terkini dengan Dedicated Hybrid Transmission (DHT) empat-kelajuan. Ia juga dilengkapi Intelligent Electronically Controlled Four Wheel Drive (AWD) serta tiga pilihan mod kuasa iaitu EV, EV Priority dan Smart Hybrid.

Bagi angka prestasinya, enjin ICE ini mampu menghamburkan sehingga 150 PS (148 hp atau 110 kW) antara 5,500 hingga 6,000 rpm dan tork 240 Nm pada 1,800 hingga 4,000 rpm, ditambah lagi dengan kuasa elektrik cecah 109 PS (107 hp atau 80 kW)/170 Nm untuk motor hadapan dan 184 PS (181 hp atau 135 kW)/232 Nm bagi motor belakang. Sekaligus menghasilkan keseluruhan kuasa mencecah 442 PS (436 hp atau 325 kW) dan 642 Nm. Ia membolehkan Wey G9 ini dipacu dari 0-100 km/j dalam 5.7 saat dan mencapai kelajuan maksima pada 200 km/j.

GWM mendakwa penggunaan bahan api bagi Wey G9 adalah sekitar 1.2 liter bagi setiap 100 km. Manakala dengan bateri Ternary Lithium berkapasiti 44.2 kWh, motor elektriknya mampu memberikan jarak gerak dengan pacuan elektrik sepenuhnya sekitar 170 km mengikut kitaran NEDC, atau lebih kurang 145 km jika mengikut standard WLTP.

Jika bateri dicas menggunakan pengecas pantas DC, status pengecasan mengambil masa sekitar 26 minit untuk capai 30-80%. Atau jika mengecas dengan unit AC berkapasiti 6.6 kWh pula, status pengecasan antara 15-100% boleh dicapai dalam 6.5 jam.

Mengenai bateri, GWM berkata unit tersebut dilengkapi dengan perlindungan keselamatan bateri empat kali ganda dan telah melepasi tidak kurang daripada 89 ujian, termasuk 55 ujian prestasi (BMS, output kuasa, pengecasan pantas), 19 ujian kebolehpercayaan (getaran, hentakan mekanikal, remukan, hentakan bawah badan), dan 15 ujian keselamatan (terma, suhu berlebihan, arus berlebihan, terlebih cas, litar pintas), tanpa sebarang kegagalan direkodkan.

Untuk rekaan luarannya, Wey G9 ini bagaikan jelmaan Alphard versi China yang menampilkan wajah yang garang dan elegan terutamanya dengan gril radiator besar dengan kemasan krom yang menyerlah dan lampu utama LED yang unik. Ia juga diberikan rim aloi bersaiz 18-inci yang dibaluti tayar Michelin Primacy 5 245/50 R18, pemegang pintu krom yang selari antara pintu hadapan dengan pintu gelangsar elektrik, bumbung suria panoramik, rel bumbung dan tailgate kuasa.

Bagi pencahayaan MPV ini, GWM menterjemahkan konsep Crystal Lighting System WEY yang jelas pada bahagian belakangnya yang menggabungkan palang lampu melintang dan lampu tiga jaluran menegak yang menggunakan unit LED turut menambahkan rekaan mewah MPV PHEV ini.

Untuk bahagian kabinnya, ia menawarkan pilihan warna sama ada hitam atau pun coklat. Antara ciri kelengkapan baharu yang diberikan termasuklah roda stereng dua-jejari, paparan instrumen digital 12.3-inci, paparan skrin sesentuh infotaimen bersaiz 15.6-inci, sistem operasi terkini GWM iaitu Coffee OS 3.

GMW Wey G9 dipertontonkan – sistem Hi-4 terkini, 442PS/642 Nm; lancar Q4, dijangka bawah RM300k

Ia juga diberikan sistem kawalan suhu tiga-zon yang menawarkan ketetapan berasingan untuk penumpang hadapan dan belakang, sistem penapisan udara dan pensterilan UV serta ruangan penyejukan mini berkapasiti 12.5 liter pada bahagian perehat tangan hadapan.

Bagi tempat duduknya, ia dibaluti material kulit Nappa dan konfigurasi kedudukan 2-2-3 dengan barisan kedua Zero-gravity yang menampilkan kerusi kapten yang dilengkapi kawalan pelarasan tempat duduk fizikal yang terletak di bahagian hadapan tepi selain fungsi ventilasi dengan zon urut 10-poin.

MPV PHEV ini memiliki dimensi berukuran 5,050 mm panjang, 1,960 mm lebar, 1,900 mm tinggi dengan jarak roda cecah 3,085 mm dan disertakan dengan 155 mm bagi jarak kelegaan tanah. Jika tempat duduk di barisan kedua dan ketiga dibaringkan sepenuhnya, ia boleh meningkatkan kapasiti penyimpanan barang dari 233 liter menjadi 1,725 liter.

Bagi pasaran Malaysia, Wey G9 ditawarkan dengan tiga pilihan warna luaran iaitu kelabu, hitam dan putih. Buat masa ini, harga jangkaannya ditetapkan di bawah RM300k dan tempahannya juga telah dibuka, sementara menantikan pelancarannya yang dijadualkan berlangsung pada suku keempat (Q4) tahun ini. Adakah MPV PHEV pertama yang bakal dijual di Malaysia ini menarik perhatian anda terutamanya bagi yang belum bersedia memilih MPV EV? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance with us

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services. You can also pay with instalment using Grab PayLater or Shopee SPayLater.

Renew Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required