Subaru Forester 2026 dibuka tempahan di Malaysia – rekaan lebih menyerlah; 2.5L boxer, EyeSight 4.0

Subaru Forester 2026 dibuka tempahan di Malaysia – rekaan lebih menyerlah; 2.5L boxer, EyeSight 4.0

Subaru Forester generasi ke-enam telah pun dibuka pra-tempahan untuk pasaran Malaysia menjelang pelancaran rasminya tidak lama lagi. Menurut Motor Image Malaysia, SUV ini sedang dipertontonkan di Subaru Petaling Jaya sejak semalam (21 September) sebelum dipamerkan di beberapa bilik pameran terpilih di seluruh negara bermula 27 September ini.

Pertama kali didedahkan di peringkat global pada November 2023, Forester terbaharu ini masih mengekalkan bentuk asalnya tetapi diberikan sentuhan rekaan yang lebih segar dan berani. Ia jelas pada bahagian hadapan termasuk gril yang lebih besar dengan kemasan hitam, lampu hadapan dua tingkat dan bampar depan yang lebih ‘sarat’, sekali gus memberikan penampilannya yang lebih menonjol. Manakala bahagian sisinya pula menerima gerbang roda berbentuk segi empat dengan kemasan hitam.

Serlahan lain yang ditonjolkan termasuklah seksyen kecil pada tiang-A dan -D yang kini berwarna hitam sekali gus memberikan gaya ala “bumbung terapung”, manakala lampu belakang berbentuk-C sebelum ini digantikan dengan unit berbentuk tiga segi. Dengan binaan Subaru Global Platform yang terkini, Forester baharu ini dipertingkatkan ketegaran kilasannya sebanyak 10%. Dimensinya juga kini berukuran 4,656 mm panjang (+31 mm), 1,829 mm lebar (+14 mm), 1,730 mm tinggi (tidak berubah) dan jarak roda 2,670 mm (juga tidak berubah).

Di dalamnya, papan pemuka yang direka semula hampir sama dengan model-model baharu, dengan skrin sentuh infotainmen berorientasi menegak menjadi tumpuan utama. Ia turut menggabungkan kawalan suhu, sekali gus mengurangkan bilangan butang kawalan fizikal pada papan pemuka. Ciri lain seperti roda stereng dan tombol gear kekal seperti mana yang ada pada model terdahulu.

Berdasarkan ruangan pendaftaran minat, Forester spesifikasi Malaysia akan dijanakan oleh enjin boxer petrol 2.5 liter naturally-aspirated empat-silinder, dengan hamburan 185 PS (182 hp atau 136 kW) dan tork 247 Nm seperti mana yang ditawarkan di pasaran Indonesia. Kuasa disalurkan menerusi kotak gear CVT Lineartronic dan sistem pacuan semua roda (AWD). Pecutan dari 0 hingga 100 km/j dicapai dalam masa 9.7 saat, manakala kelajuan maksimum mencecah 205 km/j.

Ciri kelengkapan lain termasuklah Dual X-Mode, lapan beg udara, EyeSight 4.0 (merangkumi kamera stereo, kamera monokular sudut lebar dan penderia radar), kamera pandangan pelbagai sudut 360-darjah, alas pengecas tanpa wayar, pintu but belakang berkuasa dengan fungsi bebas tangan dan tempat duduk pemandu larasan kuasa.

GALERI: Subaru Forester di Gaikindo Indonesia International Auto Show 2025

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance with us

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services. You can also pay with instalment using Grab PayLater or Shopee SPayLater.

Renew Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required