143 ‘ulat teksi’ KLIA ditahan sejak Jan lalu hingga kini; kenderaan boleh dilucutkan hak milik – JPJ Selangor

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor makin mempergiat Operasi Ulat (Op Ulat) di KLIA dan KLIA2 susulan isu tular membabitkan pelancong asing yang dikenakan caj tidak munasabah oleh individu yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa haram.

Menurut Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan, sejak Januari lepas sehingga kini, seramai 143 ‘ulat teksi’ telah ditahan dan dikenakan kompaun berjumlah RM419,200, laporan Bernama.

Ini termasuklah operasi yang berlangsung semalam yang melibatkan penahanan seorang wanita yang disyaki bertindak sebagai ‘ulat teksi’ di Terminal 2, KLIA. Malah JPJ turut menyita sebuah Perodua Axia berwarna hitam yang digunakan oleh wanita terbabit yang dipercayai disewa daripada individu lain.

143 ‘ulat teksi’ KLIA ditahan sejak Jan lalu hingga kini; kenderaan boleh dilucutkan hak milik – JPJ Selangor

“Stesen Penguatkuasa JPJ KLIA telah berjaya menahan seorang suspek pada 22 September 2025 jam 1 pagi. Suspek dikenakan tindakan di bawah Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010), manakala kenderaan yang digunakan turut disita mengikut Seksyen 81(1) akta sama.

“JPJ Negeri Selangor juga akan memohon pelucuthakan kenderaan berkenaan di Mahkamah Majistret selaras dengan Seksyen 227 APAD 2010. Mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 205 (1) APAD 2010. Individu yang bersubahat juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243 (1) akta sama, selain kenderaan yang terlibat disita dan dilucuthak,” katanya menerusi sidang media semalam.

Sebelum ini, wanita sama tular di media antarabangsa apabila mengenakan caj RM836 terhadap pelancong dari China, sedangkan harga yang dipersetujui hanyalah RM83 bagi perjalanan ke Kuala Lumpur.

Tambah Azrin, “JPJ memandang serius kegiatan ini kerana ia mencemarkan imej negara, menjejaskan sektor pelancongan dan memberi kesan negatif terhadap pengangkutan awam. Orang awam dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di Terminal 1 dan 2 KLIA atau pun membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.”

Isu ini turut mendapat perhatian Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, yang berkata, selepas tular berita berkenaan, beliau telah mengarahkan JPJ untuk menjejaki kenderaan tersebut. “Selepas operasi samaran di KLIA, JPJ telah berjaya menahan kenderaan tersebut bersama pemandunya . Kereta tersebut telah disita serta merta dan kertas siasatan telah dibuka untuk tindakan selanjutnya. MOT tidak akan berkompromi dengan “ulat-ulat” yang merosakkan imej negara,” katanya menerusi perkongsian di Facebook rasminya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance with us

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services. You can also pay with instalment using Grab PayLater or Shopee SPayLater.

Renew Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required