Rapid Rail Sdn Bhd, selaku pengendali perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya mengumumkan bahawa enam stesen di laluan ini ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja baik pulih dijalankan berikutan gangguan bekalan kuasa elektrik.
Enam stesen yang terlibat ialah Stesen Taman Equine, Stesen Putra Permai, Stesen 16 Sierra, Stesen Cyberjaya Utara, Stesen Cyberjaya City Centre dan Stesen Putrajaya Sentral.
Menurut syarikat ini, gangguan bekalan kuasa itu telah bermula sejak jam 5.54 pagi tadi hingga menjejaskan beberapa kemudahan utama di stesen-stesen terlibat termasuk lampu, lif, eskalator, pintu masuk dan pam tandas.
“Stesen-stesen lain di Laluan Putrajaya beroperasi seperti biasa manakala bagi stesen-stesen yang ditutup sementara, perkhidmatan bas perantara tanpa henti dan ulang-alik percuma disediakan membolehkan penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.
“Bas perantara tanpa henti di antara Stesen UPM dan Stesen Putrajaya Sentral disediakan. Selain itu, bas perantara juga disediakan di UPM-Taman Equine-Putra Permai-16 Sierra-Cyberjaya Utara-Cyberjaya City Centre-Putrajaya Sentral. Kekerapan bas adalah setiap 15 hingga 20 minit bergantung kepada keadaan trafik semasa,” kata Rapid Rail.
Sepanjang penutupan stesen berkenaan, Rapid Rail turut memaklumkan tren dari Stesen Kwasa Damansara akan berpatah balik di Stesen UPM.
“Penumpang yang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA/KLIA2) melalui Stesen Putrajaya Sentral dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal dan disarankan menggunakan pengangkutan alternatif bagi mengelakkan kelewatan.
“Sekiranya memerlukan bantuan, penumpang boleh menghubungi petugas stesen atau polis bantuan yang bertugas. Rapid Rail memohon maaf atas kesulitan yang dialami dan menghargai kesabaran para penumpang. Penumpang dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal serta mengikuti perkembangan terkini melalui saluran media sosial rasmi Rapid KL dan aplikasi PULSE,” sambung Rapid Rail lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.