Chery Tiggo Cross 2025 di Malaysia — galeri penuh; Turbo RM89k lwn Proton X50; Hybrid RM99k termurah

Chery Tiggo Cross 2025 di Malaysia — galeri penuh; Turbo RM89k lwn Proton X50; Hybrid RM99k termurah

Chery Tiggo Cross 2025 yang dilancarkan untuk pasaran Malaysia merupakan sebuah SUV kompak yang hadir menduduki posisi agak unik dalam pasaran tempatan — ia menghuni ruangan pasaran di antara SUV kompak dalam segmen A (untuk harganya) — seperti Perodua Ativa dan Honda WR-V — dan SUV kompak dalam segmen B — dengan calon-calon seperti Proton X50 2025, Honda HR-V dan Mazda CX-30 (untuk saiz dimensinya). Model ini juga cuba mengintai pasaran sedan dalam segmen B, untuk menjadi penawaran alternatif kepada mereka yang berkesanggupan berbelanja untuk segmen kenderaan yang dinyatakan ini.

Chery Tiggo Cross 2025 dilancarkan Julai lalu, dan merupakan model pemasangan tempatan (CKD) yang ditawarkan dalam dua varian — Turbo dan Hybrid. Versi Turbo dijual dengan harga RM88,800, sementara versi Hybrid dengan harga RM99,800, menjadikannya model hibrid yang paling mampu milik di Malaysia ketika ini. Sebelum ini, Honda City RS e:HEV merupakan model hibrid termurah di sini dengan harga RM111,900. Satu lagi model pesaingnya, Nissan Kicks e-Power dijual dengan harga RM113,800 untuk varian VL paling asas.

Sistem Chery Super Hybrid (CSH) untuk Chery Tiggo Cross menggabungkan enjin 1.5 liter NA empat-silinder (96 PS/120 Nm) dengan Direct Hybrid Transmission (DHT) serta dua motor elektrik bersepadu, yang secara gabungan menjana sebanyak 204 PS/310 Nm. Ini dilengkapi juga oleh bateri lithium iron phosphate (LFP) 1.8 kWj yang terletak di bawah lantai but belakang untuk menyalurkan kuasa kepada motor. Jika anda berminat untuk tahu lebih lanjut tentang sistem ini — yang antara lain mampu memberikan jarak perjalanan lebih 1,000 km untuk Tiggo Cross ini — baca lanjut di sini.

Untuk versi hibrid, ruang but di belakang berkurangan sebanyak 30 liter menjadi 350 liter kerana memberi laluan untuk menempatkan baterinya — kedua-dua varian ini dilengkapi dengan tangki minyak yang sama kapasiti 51 liter. Kadar penggunaan minyak yang didakwa (tidak dinyatakan mengikut kitaran yang mana) ialah 5.4 liter bagi setiap 100 km untuk Hybrid, yang datang dengan 97 kg lebih berat (keseluruhannya 1,565 kg) berbanding model Turbo.

Varian Turbo pula menggunakan enjin 1.5 liter empat-silinder yang menjana sebanyak 147 PS dan 210 Nm tork. Kuasanya disalurkan ke roda depan oleh transmisi klac berkembar enam-kelajuan, dan membolehkan SUV kompak ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 10.3 saat dalam mod Sport (Hybrid dalam masa 8.9 saat). Gandingan Turbo-DCT yang ditawarkan di Malaysia adalah yang paling menarik, berbanding 1.5L NA-CVT di Australia dan Turbo-CVT di Indonesia.

Penampilan luaran dan dalaman antara kedua-dua varian ini juga agak mirip. Di dalam, skrin besar 10.25-inci untuk paparan instrumen dan sistem infotainmen menghiasi penataan papan pemuka. Antara fungsi yang ada ialah kamera panaromik 540 darjah, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta enam pembesar suara. Kedua-dua varian juga menerima tempat duduk pemandu larasan elektrik enam-hala tetapi varian petrol tidak menerima sokongan lumbar.

Kelengkapan lain yang dikongsi bersama untuk kedua-dua varian Tiggo Cross ini adalah roda stering pelbagai fungsi — dengan ejaan Chery untuk Hybrid, lampu suasana kabin, balutan kulit sintetik berwarna hitam, pengecas telefon pintar tanpa wayar 15W, penghawa dingin dua zon dengan liang udara kabin belakang, pengidup enjin jarak jauh, sistem Start/Stop 12V, pengelap cermin automatik dan lain-lain. Untuk rim, varian Hybrid diberikan saiz 17-inci, manakala untuk Turbo 18-inci.

Bagi aspek keselamatan, varian Hybrid mempunyai kelebihan dengan diberikan tujuh-beg udara berbanding hanya enam untuk varian petrol. Perincian asas keselamatan lain adalah sama termasuk bantuan mula mendaki, sistem pemantau tekanan tayar dan pengingat had laju.

Untuk sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) pula, kedua-dua varian diberikan fungsi brek kecemasan automatik bersama amaran pelanggaran hadapan, cruise control adaptif, amaran dan pengelak keluar lorong, amaran lintasan trafik belakang dan pemantau titik buta.

Bagaimanapun, Hybrid menerima beberapa tambahan fungsi ADAS termasuk amaran buka pintu, amaran pelanggaran belakang, brek lintasan trafik belakang, bantuan tukar lorong, kawalan melayar bersepadu bersama kelajuan pintar kenderaan.

Kedua-dua varian Chery Tiggo Cross di Malaysia ditawarkan dalam warna badan Carbon Black, Phantom Grey dan Khaki White. Manakala warna Blood Stone Red hanya eksklusif untuk varian 1.5L Turbo, dan warna Moonlight Silver hanya ditawarkan untuk varian 1.5L Hybrid.

Laporan tanggapan awal kami dengan Chery Tiggo Cross 2025 di sini.

Chery Tiggo Cross 2025 Turbo vs. Hybrid di Malaysia

Chery Tiggo Cross Turbo 2025

Chery Tiggo Cross Hybrid 2025

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance with us

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services. You can also pay with instalment using Grab PayLater or Shopee SPayLater.

Renew Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required