Geely telah mendedahkan Emgrand sedan generasi kelima, hanya empat tahun selepas pelancaran generasi keempat bagi model mampu milik ini. Model baru ini tampil jauh lebih premium, dengan reka bentuk dan spesifikasi yang membawa Emgrand ke tahap segmen lebih tinggi.
Dari segi penampilan, Emgrand baru ini kelihatan sangat mirip dengan Geely Galaxy Starshine 6 – lengkap dengan gril “waterfall” yang mengingatkan kepada model Mercedes-AMG. Ia turut mengekalkan reka bentuk tingkap enam panel, pemegang pintu tersembunyi serta rekaan belakang yang anggun seperti model Galaxy tersebut.
Namun, berbeza dengan Starshine 6 yang merupakan model plug-in hybrid, Emgrand kekal sebagai model enjin petrol sepenuhnya di bawah jenama utama Geely. Menurut laman Autohome, model ini dijangka dikuasakan oleh enjin turbo 1.5 liter empat silinder, iaitu enjin sama seperti yang digunakan pada Proton X50 versi facelift, dengan kuasa sekitar 181 PS dan tork 290 Nm, digandingkan bersama transmisi klac berkembar basah tujuh kelajuan.
Ini merupakan peningkatan besar berbanding Emgrand generasi terdahulu untuk pasaran China, yang hanya dilengkapi dengan enjin 1.5 liter NA berkuasa 120 PS/150 Nm dan CVT, atau versi hibrid 1.8 liter yang boleh menggunakan bahan api metanol.
Dari segi reka bentuk luaran, Emgrand ini dibezakan daripada Starshine 6 melalui beberapa elemen seperti gril berbentuk segi empat tepat, bampar hadapan berinspirasikan rekaan Volvo, lampu belakang berasingan (bukannya rekaan penuh lebar) dan dua tip ekzos berbentuk trapezoid – walaupun kedua-duanya adalah palsu.
Dokumen rasmi dari kementerian perindustrian dan teknologi maklumat China (MIIT) menunjukkan bahawa dimensi Emgrand baru adalah 4,815 mm panjang (9 mm lebih panjang daripada Starshine 6), 1,885 mm lebar dan 1,480 mm tinggi, dengan jarak roda 2,755 mm. Ini menjadikannya 177 mm lebih panjang, 65 mm lebih lebar dan 20 mm lebih tinggi berbanding model sebelumnya, serta menambah 105 mm pada jarak roda – secara tidak langsung menaikkan kelas model ini kepada segmen yang lebih tinggi.
Penambahan ini turut dijangka hadir bersama sistem suspensi belakang jenis multilink, menggantikan suspensi torsion beam terdahulu yang sering dikritik di pasaran eksport kerana tidak sepadan dengan pesaing segmen C seperti Honda Civic.
Bahagian dalamannya pula banyak berkongsi elemen dengan Galaxy Starshine 6, termasuk papan pemuka dengan corong udara berbentuk pil, konsol tengah luas yang memuatkan pemegang telefon pintar berkembar serta pengecas tanpa wayar Qi berkuasa 50W. Paparan digital untuk instrumen dan skrin infotainmen bersaiz 14.6 inci yang menggunakan sistem Flyme Auto juga dikekalkan.
Beberapa perubahan kecil turut diperkenalkan, antaranya stereng tiga jejari rata di bahagian bawah yang menggantikan unit dua jejari bujur seperti dalam model Galaxy dan Proton eMas 7. Pemilih gear berbentuk kristal kini diletakkan di konsol tengah, sekali gus menyebabkan kedudukan pemegang cawan hadapan dan belakang diubah. Satu lagi perubahan menarik ialah penggantian tombol kawalan pelbagai fungsi kepada barisan suis fizikal di bawah skrin – satu sentuhan yang pastinya dihargai oleh peminat butang sebenar, terutama untuk kawalan penyaman udara.
Apa yang menjadikan model ini menarik bagi pasaran Malaysia ialah hakikat bahawa Emgrand generasi keempat menjadi asas kepada Proton S70. Dengan Geely memperkenalkan Emgrand baru menggunakan enjin BHE15TD, ada kemungkinan Proton akan mengemaskini S70 dengan enjin empat silinder ini seawal tahun depan. Namun berdasarkan rekod Proton sebelum ini, lebih realistik jika enjin ini hanya ditambah ke dalam barisan S70 sedia ada tanpa perubahan rekaan sepenuhnya.
Tambahan lagi, Proton sebelum ini pernah mengeluarkan teaser model sedan eMas, yang berkemungkinan merupakan kembar kepada Galaxy Starshine 6. Jika Proton membangunkan versi petrol untuk model tersebut dan memasangnya di Tanjong Malim bersama versi hibrid, kos menggantikan S70 lebih awal mungkin dapat diserap.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.