Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memberi jaminan bahawa harga subsidi petrol RON95 pada RM1.99 seliter di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95) akan dikekalkan dalam tempoh terdekat selepas pelaksanaannya. Ini kerana kerajaan tidak berhasrat menyemak semula harga dalam masa terdekat memandangkan ia janji yang telah pun dibuat kepada rakyat.
Walau bagaimana pun, katanya, kerajaan tidak menjamin harga tersebut akan kekal sepanjang masa kerana ia bergantung keadaan semasa, laporan Berita Harian.
“Kadar RM1.99 adalah harga subsidi yang telah dipersetujui dan akan dikekalkan buat masa ini. Niatnya untuk mengekalkannya buat sementara waktu. Tetapi saya tidak boleh menjamin ia kekal sepanjang masa kerana ia bergantung keadaan semasa,” katanya pada taklimat media BUDI95 hari ini.
Jelas beliau, kerajaan sedang memperhalusi mekanisme had penggunaan harian BUDI95 kerana tidak mahu berlakunya risiko ketirisan. Bagaimanapun, katanya, mekanisme itu juga pada masa sama tidak boleh memberikan bebanan atau menimbulkan permasalahan kepada rakyat yang ingin menggunakan subsidi bersasar itu.
“Buat masa ini kerajaan masih mempertimbang mekanisme penggunaan harian. Kita tidak mahu berikan syarat yang ketat. Mungkin mekanisme penggunaan harian adalah seperti tidak membenarkan seseorang itu mengisi setiap 10 minit kerana berkemungkinan akan guna untuk kepentingan lain seperti bagi individu lain pakai yang timbulkan ketirisan.
“Atau mungkin dalam sehari ada had gunaan. Tapi yang itu nanti kita akan perhalusi bila kita dah selesa, dengan mekanisme ini tidak akan menyusahkan rakyat dengan cara yang sepatutnya,” katanya.
Amir Hamzah turut berkata, BUDI95 dilaksanakan untuk menikmati manfaat dengan pembelian petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter, lebih rendah daripada harga bersubsidi semasa iaitu RM2.05 seliter sekali gus membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Tambahnya, pelaksanaan BUDI95 ini juga dijangka memberikan penjimatan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun kepada kerajaan, sekali gus memperkukuh kedudukan fiskal negara serta membolehkan lebihan kewangan disalurkan kepada perbelanjaan pembangunan lain.
Katanya, penjimatan itu diperoleh melalui penyasaran semula subsidi RON95, memandangkan dianggarkan 22% daripada penggunaan bahan api tersebut selama ini dinikmati oleh golongan yang tidak layak. Selain itu, ia juga merupakan penjimatan sebenar kepada kedudukan fiskal kerajaan, selain mengurangkan jurang harga minyak antara Malaysia dengan negara jiran, sekali gus mengekang aktiviti penyeludupan bahan api yang sering berlaku sebelum ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.