Selepas dipertontonkan di peringkat global pada Mac lalu, dan sebulan kemudian, ia dipamerkan di Auto Shanghai 2025. Kemudian, ia dikesan sedang diuji di Glenmarie dan Ampang. Kini, Xpeng G6 facelift 2025 mula dibuka tempahan untuk pasaran Malaysia menjelang pelancarannya pada 1 Oktober ini.
Ia bakal menawarkan varian RWD Long Range Pro, AWD Performance dan AWD Black Edition. Nampak gayanya, tiada lagi varian Standard Range yang akan ditawarkan dan buat pertama kalinya, pasaran kita menerima versi AWD dua-motor.
Namun harga dan spesifikasi penuhnya masih belum didedahkan. Namun RWD Long Range Pro akan ditawarkan dengan pilihan warna Stellar Purple, Midnight Black, Graphite Gray, Silver Frost dan Arctic White.Manakala varian AWD Performance juga akan menerima kesemua pilihan warna itu kecuali Midnight Black.
Jika di pasaran Thailand, RWD Long Range dan AWD Performance ditawarkan pada harga masing-masing 1.349 juta baht (RM177k) dan 1.489 juta baht (RM196k). Di Indonesia pula, ia hanya ditawarkan dengan satu varian sahaja yang berharga 619 juta rupiah (RM156k). Thailand menerima bateri LFP berkapasiti 80.8-kWh (menawarkan jarak gerak hingga 525 km WLTP), satu motor elektrik 296 PS/440 Nm untuk RWD dan larasan dua-motor 487 PS/660 Nm untuk AWD.
Dijangkakan ciri kelengkapannya menampilkan palang lampu hadapan lebar sepenuhnya, rim aloi 20-inci, ducktail spoiler, tempat duduk hadapan dengan larasan 10-arah (berbanding 6-arah pada model sebelumnya), fungsi urut untuk tempat duduk hadpaan dan skrin yang sedikit lebih besar. Agak-agaknya, adakah ia akan dipasang secara tempatan (CKD) atau diimport sepenuhnya (CBU)?
GALERI: Xpeng G6 facelift di GIIAS 2025
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.