Budi95: Soalan lazim (FAQ) – Fungsi, kaedah dll
Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) telah mengeluarkan soalan lazim berserta jawapan berkaitan dengan penyasaran subsidi petrol RON95 seperti yang disiarkan menerusi laman web rasmi Budi Madani RON95 (Budi95). Bagi anda yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai objektif, fungsi, kaedah dan hal-hal yang berkaitan dengan Budi95, sila baca artikel jang panjang lebar ini hingga ke titik terakhir.
1.Apakah itu Budi Madani RON95 (Budi95)?
– Budi Madani RON95 (Budi95) ialah inisiatif Kerajaan Madani untuk menyasarkan subsidi petrol RON95.
– Budi95 menangani ketirisan disebabkan penyeludupan dan subsidi yang diberi kepada bukan warganegara, dengan menaikkan harga runcit RON95 kepada tahap tanpa subsidi, yang dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.
– Pada masa yang sama, rakyat Malaysia terus menikmati petrol RON95 pada harga bersubsidi yang lebih rendah iaitu RM1.99 seliter dengan menggunakan MyKad.
– Budi95 memanfaatkan rakyat melalui pengurangan harga RON95 kepada rakyat dan selain itu, penjimatan daripada menangani ketirisan akan diagihkan untuk program yang memanfaat rakyat seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
2. Apakah perbezaan sistem baharu Budi95 dengan sistem sedia ada?
– Sistem sedia ada merupakan subsidi pukal (blanket subsidy) di mana semua pengguna (termasuk syarikat dan bukan warganegara) membeli petrol RON95 pada satu harga pam bersubsidi (sebelum ini RM2.05 seliter).
– Budi95 merupakan subsidi bersasar (targeted subsidy) melalui pendekatan harga berperingkat (tiered pricing) di mana warganegara dengan menggunakan MyKad menikmati harga bersubsidi RON95 RM1.99 seliter sementara bukan warganegara akan dikenakan harga pam pada tahap tanpa subsidi, yang kini dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.
– Dari segi mekanisme, perbezaan utama untuk Budi95 berbanding sebelumnya adalah pembelian petrol RON95 dengan harga subsidi memerlukan langkah pengesahan kad pengenalan warganegara Malaysia (MyKad) di stesen minyak. Di samping itu, setiap individu mempunyai siling kelayakan bulanan iaitu sebanyak 300 liter sebulan, untuk membeli petrol RON95 pada harga bersubsidi. Sebelum ini, warganegara dan bukan warganegara menikmati manfaat yang sama tanpa sebarang siling. Ketirisan dan ketidakadilan ini membawa kerugian besar kepada Kerajaan dan rakyat.
3. Apakah manfaat utama Budi95 kepada rakyat?
– Budi95 akan memastikan hanya rakyat Malaysia yang layak menerima subsidi petrol RON95 daripada Kerajaan, berbanding subsidi pukal yang sebelum ini berisiko untuk ditiriskan oleh penyeludup dan warganegara asing.
– Dengan itu, Budi95 membolehkan rakyat menikmati harga petrol RON95 yang lebih rendah.
– Selain itu, penjimatan daripada Budi95 dapat diagihkan semula untuk manfaat rakyat Malaysia seperti melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA.
4. Mengapa pelaksanaan Budi95 penting untuk negara?
– Penyasaran semula subsidi untuk RON95 adalah penting dalam mengurangkan ketirisan dan dengan itu, sumber negara yang terhad dapat ditumpukan kepada manfaat rakyat.
– Penyasaran subsidi RON95 dengan mengurangkan berbilion ringgit hasil negara akan menyumbang kepada kedudukan kewangan negara yang lebih kukuh dan mampan.
– Penjimatan perbelanjaan dapat menyediakan ruang fiskal bagi meningkatkan daya tahan ekonomi negara apabila berhadapan cabaran ekonomi global.
5. Bagaimana Budi95 menyokong ekonomi negara?
Objektif utama Budi95 adalah untuk memanfaatkan rakyat. Namun, pada masa yang sama, pelaksanaan Budi95 menyokong ekonomi negara dalam aspek berikut:
– Peralihan daripada kaedah subsidi pukal kepada subsidi bersasar membantu mengurangkan ketirisan dan penyeludupan RON95, dengan itu menjimatkan perbelanjaan.
– Penjimatan tersebut dapat diagihkan semula kepada program yang memanfaat rakyat dan menjana aktiviti ekonomi.
– Penjimatan juga membantu mengurangkan defisit fiskal negara selaras dengan komitmen Kerajaan untuk pengurusan kewangan bertanggungjawab.
– Pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 dan pengurangan defisit akan membantu menyumbang kepada keyakinan pelabur supaya terus meningkatkan pelaburan dalam ekonomi negara.
– Kaedah penyasaran subsidi BUDI95 mengurangkan harga bersubsidi petrol RON95 kepada rakyat dan dengan itu, tidak akan menyumbang kepada inflasi atau kenaikan kos sara hidup rakyat. Di sebaliknya jika Kerajaan melaksanakan cadangan setengah pihak untuk menaikkan harga RON95 untuk semua dan diberi bantuan tunai, cadangan ini bakal meningkatkan kadar inflasi.
KELAYAKAN
1. Siapakah individu yang layak untuk menerima Budi95?
Semua warganegara Malaysia dengan lesen memandu aktif layak, iaitu:
a. mempunyai lesen memandu aktif bagi jenis lesen seperti berikut:
– Lesen Memandu Kompeten (CDL) (Kelas kenderaan A, A1, B, B1, B2, C, D dan DA);
atau
– Lesen Memandu Percubaan (PDL) (Kelas kenderaan A, A1, B, B1, B2, C, D dan DA);
atau
– Lesen Belajar Memandu (LDL) (Kelas kenderaan A, B, B1, B2 dan C);
DAN
b. pemegang Kad Pengenalan warganegara Malaysia.
Untuk maklumat lanjut mengenai jenis lesen memandu dan kelas kenderaan, sila layari portal rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di www.jpj.gov.my
2. Bagaimanakah cara untuk menyemak kelayakan sebelum program Budi95 berkuatkuasa?
Kelayakan boleh disemak di laman portal rasmi Budi Madani mulai 25 September 2025 (Khamis). Klik pada pautan Budi Madani RON95, kemudian klik “Semak Kelayakan Individu” dan masukkan nombor MyKad anda.
3. Adakah saya akan mendapat petrol percuma sekiranya tersenarai sebagai penerima Budi95?
Anda masih perlu membuat bayaran bagi pembelian petrol RON95. Kelayakan bermakna anda boleh membeli petrol RON95 pada harga bersubsidi yang lebih rendah iaitu RM1.99 seliter, berbanding harga petrol RON95 tidak bersubsidi untuk bukan warganegara dan golongan tidak layak.
Perbezaan antara harga RM1.99 seliter dan harga pam merupakan subsidi untuk rakyat yang akan ditanggung oleh Kerajaan. Bagi pengguna, tiada perubahan ketara dari segi pengalaman pengguna membeli petrol RON95. Jika sebelum ini anda membeli petrol RON95 sebanyak RM10, anda masih akan membelinya pada harga RM10, tetapi anda akan menerima tambahan liter bagi pembelian RON95 tersebut.
4. Adakah saya masih boleh menyemak kelayakan tanpa perlu pergi ke stesen minyak?
Ya. Anda boleh melayari laman portal rasmi www.budimadani.gov.my atau hubungi talian pusat khidmat Budi Madani melalui e-mel [email protected] atau nombor telefon 1300-88-9595 bagi semakan kelayakan. Anda juga boleh menghubungi talian WhatsApp +603-2631 4595 bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Selain itu, anda boleh menggunakan aplikasi TNG e-Wallet ataupun aplikasi syarikat minyak dan lakukan proses e-KYC dalam aplikasi berkenaan untuk semakan Budi95. Langkah-langkahnya adalah seperti berikut:
Muat turun aplikasi TNG e-Wallet / aplikasi syarikat minyak:
a. ikut arahan aplikasi berkenaan untuk mendaftarkan diri anda;
b. lakukan pengesahan identiti (e-KYC) dalam aplikasi berkenaan;
c. jika pengesahan berjaya, tekan ikon Budi95 dalam aplikasi tersebut; dan
d. kelayakan BUDI95 anda akan dipaparkan oleh aplikasi tersebut.
5. Bagaimana cara untuk menyemak kelayakan jika saya tiada komputer atau
telefon pintar?
Anda boleh menghubungi Pusat Khidmat Budi Madani melalui 1300-88-9595. Sebagai alternatif, anda juga boleh hadir ke mana-mana Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara untuk mengakses portal tersebut.
6. Apakah yang perlu saya lakukan jika semakan kelayakan di portal rasmi www.budimadani.gov.my menunjukkan saya tidak layak menerima Budi95?
Jika semakan menunjukkan anda tidak layak, sistem akan memaparkan kod tidak layak berserta sebab. Contohnya:
Setelah anda mengemaskini maklumat dengan agensi berkaitan, anda boleh membuat semakan semula kelayakan melalui portal rasmi www.budimadani.gov.my.
7. Adakah semua jenis kad pengenalan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara boleh digunakan untuk Budi95? Perlukah saya menggantikan kad pengenalan saya kepada versi yang terkini?
Warganegara Malaysia pemegang Kad Pengenalan dengan lesen memandu (kelas dan jenis yang dibenarkan) aktif adalah layak untuk Budi95. Data lesen memandu akan disemak silang dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Jika kad pengenalan anda berjaya digunakan untuk perbelanjaan SARA, ia tidak perlu diganti dan dapat digunakan untuk Budi95. Anda tidak perlu membuat penggantian Kad Pengenalan selagi anda memiliki Kad Pengenalan dengan cip yang telah diperkenalkan sejak tahun 2001.
Bagi mereka yang belum mempunyai kad pengenalan bercip, sila hadir ke cawangan JPN terdekat untuk mendapatkan Kad Pengenalan dengan cip tersebut. Sekiranya terdapat perubahan pada rupa paras berbanding MyKad yang dipegang, anda turut disaran membuat gantian MyKad bagi memastikan maklumat pengenalan diri sentiasa tepat dan terkini.
8. Apakah keadaan atau situasi yang memerlukan saya membuat pertukaran MyKad?
– kad gagal dibaca di mesin atau kios perkhidmatan layan diri
– bank / agensi Kerajaan menolak urusan menggunakan kad anda kerana
sistem tidak dapat mengesan data kad tersebut
– kad perlu diimbas berkali-kali kerana masalah cip
– kerosakan fizikal pada kad
– kad terlalu lama (dikeluarkan sebelum tahun 2001)
Gantikan MyKad anda di mana-mana cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) termasuk UTC, serta perkhidmatan bergerak oleh JPN seperti Bas MEKAR dan Van MEKAR. Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari laman sesawang www.jpn.gov.my/.
9. Saya baru sahaja menerima lesen memandu, adakah saya layak untuk mendapat Budi95?
Ya, anda layak untuk menerima BUDI95 sebaik sahaja sistem pangkalan data utama (CDB) dikemaskini. Jika anda menerima lesen memandu sebelum 15 hari bulan pada bulan tersebut, anda layak untuk BUDI95 pada 1 hari bulan, bulan berikutnya. Sekiranya anda menerima lesen memandu selepas 15 hari bulan pada bulan tersebut, anda akan layak menerima Budi95 pada 10 hari bulan, bulan berikutnya.
10. Jika saya mempunyai lebih daripada satu kenderaan, adakah kelayakan Budi95 saya akan digandakan?
Secara amnya kelayakan yang sama diberikan kepada setiap individu. Kelayakan tidak diambil kira berdasarkan jumlah kenderaan yang dimiliki oleh setiap individu. Memiliki lebih dari satu kenderaan tidak akan menambah
kelayakan Budi95 anda.
11. Adakah Kerajaan menetapkan sebarang had pengisian minyak harian bagi rakyat di bawah Budi95?
Tiada sekatan dikenakan terhadap pengisian minyak lebih daripada sekali sehari. Namun begitu, Kerajaan akan terus memantau corak penggunaan dengan teliti untuk mengelakkan penyalahgunaan.
12. Adakah terdapat had pembelian Budi95 dalam satu transaksi?
Setiap pengguna yang layak akan mempunyai jumlah Budi95 secara bulanan. Apabila anda membuat pembelian Budi95, jumlah pembelian akan ditolak daripada baki Budi95 anda, tertakluk kepada had maksimum RM250 bagi setiap transaksi. Sekiranya baki Budi95 anda telah habis, sebarang pembelian minyak seterusnya akan dikenakan pada harga pam.
13. Adakah jumlah Budi95 yang berbeza akan ditetapkan bagi individu yang berlainan? Berapa jumlah liter yang dilayak diterima oleh warganegara Malaysia yang menepati syarat kelayakan?
Jumlah yang sama ditetapkan oleh Kementerian Kewangan untuk setiap rakyat Malaysia yang layak. Semua pemegang kad pengenalan warganegara Malaysia dan mempunyai lesen memandu yang aktif layak membeli minyak RON95 dengan harga bersubsidi RM1.99 seliter sehingga 300 liter sebulan. Baki kelayakan Budi95 ini akan diperbaharui pada setiap awal bulan.
14. Apakah rasional di sebalik penetapan kelayakan bulanan sebanyak 300 liter dan bagaimana ia ditentukan?
Penerima Budi95 akan menerima kelayakan sebanyak 300 liter RON95 sebulan pada harga bersubsidi. Jumlah ini ditetapkan berdasarkan data Kerajaan yang menunjukkan ia mencukupi bagi lebih 99% pengguna kenderaan persendirian. Data Kerajaan turut menunjukkan bahawa purata penggunaan petrol oleh pemandu kenderaan persendirian adalah hanya sekitar 80 liter sebulan.
Namun, Kerajaan menetapkan siling kelayakan yang lebih tinggi bagi mengambil kira julat dan taburan penggunaan mengikut individu. Penetapan kelayakan ini juga penting untuk mengelakkan subsidi disalahguna oleh pihak yang tidak sepatutnya. Selama puluhan tahun, subsidi tanpa had telah menjadi sasaran penyeludupan ke negara jiran di mana harga minyak jauh lebih mahal.
Begitu juga penggunaan berskala besar oleh syarikat komersial yang menikmati subsidi murah untuk keuntungan perniagaan. Dengan mekanisme baharu, subsidi akan benar-benar sampai kepada rakyat Malaysia, dan tidak lagi bocor keluar dari sistem. Sekiranya diperlukan, penyesuaian akan dibuat termasuk pertimbangan menambah kelayakan untuk kumpulan tertentu.
15. Bolehkah saya memohon pertambahan kelayakan Budi95 yang diberikan?
Jumlah kelayakan Budi95 telah ditetapkan pada jumlah yang bersesuaian berdasarkan data penggunaan bulanan rakyat Malaysia. Jumlah tersebut akan diperbaharui pada setiap awal bulan.
16. Adakah kelayakan Budi95 pemandu e-hailing juga sama dengan rakyat Malaysia yang lain?
Kerajaan menyedari bahawa pemandu e-hailing terutamanya yang bekerja sepenuh masa, mungkin memerlukan kelayakan Budi95 tambahan. Sehubungan itu, Kerajaan kini sedang berbincang dengan syarikat pengendali e-hailing (EHO) untuk merangka penyelesaian yang mengambil kira keperluan pemandu e-hailing. Perincian bagi proses tersebut akan diumumkan dalam waktu terdekat.
17. Bolehkah saya tetapkan jumlah Budi95 yang saya mahu gunakan dalam satu pembelian?
Pembelian Budi95 akan menggunakan jumlah berdasarkan jumlah minyak yang anda isikan (berdasarkan liter), sehingga baki tersebut habis. Sekiranya anda hanya ingin menggunakan sebahagian sahaja daripada jumlah Budi95 anda, anda perlu membuat dua transaksi yang berasingan seperti
berikut:
a. membeli amaun yang dikehendaki melalui sistem Budi95; dan
b. membuat pembelian biasa pada harga pam.
18. Bolehkah jumlah Budi95 ahli keluarga saya (contoh: anak) dipindahkan kepada saya jika perlu?
Jumlah Budi95 yang diberikan adalah khusus untuk penggunaan individu yang layak dan tidak boleh dipindahkan kepada orang lain bagi mengelakkan ketirisan.
19. Adakah saya akan menerima notifikasi apabila baki bulanan saya habis digunakan?
Tiada sebarang notifikasi akan diterima apabila baki Budi95 anda telah habis digunakan. Namun, anda boleh melayari laman portal rasmi www.budimadani.gov.my untuk menyemak baki bulanan serta perincian transaksi penggunaan bulan semasa. Resit setiap transaksi pembelian RON95 secara Budi95 juga akan memaparkan penggunaan dan baki kelayakan anda.
20. Apakah harga RON95 tanpa subsidi setelah program ini berkuatkuasa?
Harga pam RON95 tanpa subsidi akan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan dengan merujuk kepada Mekanisme Harga Automatik (APM). Melalui formula APM, harga pam RON95 akan mengambil kira pergerakan harga pasaran dan
pada masa yang sama Kerajaan akan mengelakkan kesan turun naik harga pam yang berlebihan (excessive volatility).
21. Bolehkah saya dan isteri menggunakan MyKad masing-masing untuk mengisi kenderaan yang sama?
Ya, anda dan isteri anda (serta mana-mana individu lain) boleh menggunakan MyKad masing-masing untuk mengisi kenderaan yang sama, sekiranya pemilik MyKad hadir dan melakukan pembelian tersebut. Anda tidak dibenarkan menggunakan MyKad orang lain ataupun meminjamkan MyKad anda untuk tujuan pembelian Budi95. Memegang dan menggunakan MyKad orang lain juga merupakan kesalahan menurut Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Peraturan 25).
22. Bolehkah saya membeli Budi95 untuk kegunaan kereta orang lain?
Ya, anda boleh membeli Budi95 untuk kegunaan mana-mana kereta berpendaftaran tempatan sekiranya anda layak dan mempunyai baki yang mencukupi.
23. Apakah sumber maklumat atau bantuan yang boleh saya hubungi?
Sekiranya anda memerlukan maklumat atau bantuan berkenaan program
Budi95, sila hubungi talian khidmat pelanggan Budi Madani di 1300-88-9595. Anda juga boleh menggunakan bot sembang (chatbot) dengan menghubungi +603-2631 4595 melalui aplikasi Whatsapp. Anda juga boleh melayari laman web Budi Madani RON95 di www.budimadani.gov.my.
Bagaimana ia berfungsi?
1. Bagaimanakah saya akan menerima subsidi apabila membeli Budi95? Perlukah saya mendaftar atau menggunakan kad?
Tiada pendaftaran diperlukan untuk memanfaatkan subsidi Budi95. Jika anda merupakan individu yang layak, subsidi akan diberikan secara automatik semasa pembelian petrol. Terdapat dua kaedah pembelian:
a. MyKad: Masukkan MyKad anda (Kad Pengenalan warganegara Malaysia) ke dalam terminal pembaca di kaunter stesen minyak atau di pam minyak untuk menyemak kelayakan anda. Berdasarkan jumlah yang dibeli, sistem pangkalan data (CDB) akan meluluskan jumlah subsidi dan anda hanya perlu membayar jumlah pembelian BUDI95 berdasarkan harga bersubsidi.
b. Aplikasi mudah alih/e-dompet: Sebagai alternatif, anda boleh menggunakan aplikasi mudah alih yang disokong (contohnya: Touch ‘n Go eWallet atau aplikasi syarikat minyak) untuk mengesahkan kelayakan dan membuat pembelian. Dalam aplikasi tersebut, pilih modul subsidi RON95 dan masukkan maklumat stesen, nombor pam dan jumlah petrol. Aplikasi akan terus berhubung dengan sistem pangkalan data (CDB) untuk menyemak kelayakan anda. Di stesen minyak, anda akan menunjukkan kod QR daripada aplikasi untuk diimbas oleh juruwang, yang akan memberikan maklumat transaksi kepada sistem jualan. Pembayaran boleh dilakukan melalui aplikasi stesen minyak atau e-dompet, dan selepas itu anda boleh mengisi minyak seperti biasa. Dalam kedua-dua kaedah, pam minyak akan diaktifkan sebaik sahaja pembayaran disahkan, sama seperti transaksi biasa.
2. Apakah perbezaan antara program Budi95 dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS)?
Kedua-dua program ini merupakan inisiatif Kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi bahan api dari subsidi umum kepada subsidi bersasar.
3. Jika saya mempunyai lesen memandu sah tetapi tidak memiliki kereta sendiri, bolehkah saya membeli Budi95 apabila memandu kenderaan milik orang lain (contohnya: kenderaan milik keluarga)?
Jika anda layak, anda boleh membeli Budi95 untuk mana-mana kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia yang anda gunakan untuk tujuan penggunaan peribadi.
4. Mengapa bantuan tunai tidak diberikan secara langsung seperti program Sumbangan Tunai Rahmah (STR)?
Kaedah subsidi bersasar ini memastikan kecekapan pengurusan kewangan negara agar rakyat dapat terus menikmati subsidi secara mampan. Program Budi95 merupakan kesinambungan kepada kaedah bantuan bersasar seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan bertujuan untuk memastikan petrol bersubsidi RON95 disasar kepada rakyat Malaysia yang layak untuk digunakan dalam pengangkutan seharian dan mengelakkan ketirisan dalam perbelanjaan.
5. Bolehkah saya menggunakan MyKad orang lain untuk mengisi minyak dengan harga bersubsidi?
Tidak. Anda hanya boleh mengisi Budi95 menggunakan kad pengenalan anda atau aplikasi yang telah melalukan pengesahan identiti elektronik (e-KYC). Memegang dan menggunakan MyKad orang lain juga merupakan kesalahan menurut Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
6. Bagaimanakah pengguna yang tidak mempunyai akses kepada e-dompet akan dibantu?
Anda masih boleh membeli Budi95 seperti biasa di kaunter stesen minyak dengan mengesahkan kelayakan menggunakan MyKad dan membayar dengan tunai atau kad kredit/debit. Kakitangan stesen minyak sedia membantu sekiranya
diperlukan.
7. Bagaimanakah prosedur untuk membuat tuntutan elaun atau bayaran minyak daripada syarikat — adakah ia melibatkan minyak bersubsidi atau tidak bersubsidi?
Proses tuntutan elaun atau bayaran minyak dari majikan bergantung kepada panduan dalaman syarikat masing-masing. Anda dinasihatkan merujuk kepada majikan untuk maklumat lanjut.
Sistem dan teknologi
1. Bagaimanakah maklumat peribadi saya dalam MyKad dilindungi daripada sebarang penyalahgunaan?
Maklumat peribadi anda dalam MyKad dilindungi dengan tahap keselamatan yang tinggi melalui sistem yang terkawal dan teknologi pengesahan yang terkini. Proses padanan ini dikendalikan melalui pangkalan data berpusat (CDB) yang dimiliki oleh Kerajaan, dengan pematuhan ketat terhadap piawaian keselamatan dan prinsip perlindungan data.
2. Adakah syarikat minyak dan aplikasi pembayaran seperti Touch n Go dan aplikasi syarikat dapat akses kepada maklumat peribadi saya?
Berdasarkan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA), apabila anda melalui proses pengesahan identiti (e-KYC), anda telah memberi kebenaran untuk data anda diakses melalui aplikasi pembayaran. Aplikasi pembayaran ini tidak akan mendapat akses kepada maklumat peribadi anda, kecuali dengan kebenaran anda apabila anda menggunakan aplikasi tersebut untuk membuat pembayaran.
Kaedah pembelian dan transaksi
1. Adakah program Budi95 dilaksanakan di semua stesen minyak di seluruh negara?
Program Budi95 melibatkan semua stesen minyak di seluruh negara. Anda
boleh membeli Budi95 di stesen minyak pilihan anda.
2. Bagaimana cara membeli Budi95?
Proses pembelian Budi95 hanya memerlukan satu langkah tambahan berbanding kaedah pembelian minyak sedia ada. Langkah tersebut bertujuan mengesahkan kelayakan dan baki kelayakan Budi95 sebelum pembelian diteruskan.
Perincian cara pembelian adalah seperti berikut:
a. Terminal MyKad Budi95
b. Indoor Payment Terminal (IPT)
c. Outdoor Payment Terminal (OPT)
d. Aplikasi e-dompet TNG
e. Aplikasi syarikat pengeluar minyak
Semua stesen minyak berdaftar mempunyai keupayaan untuk melaksanakan
penjualan melalui Terminal MyKad Budi95. Penggunaan cara pembelian lain
pula tertakluk kepada kesediaan stesen minyak tersebut.
3. Bagaimanakah cara membeli Budi95 menggunakan pembayaran tunai atau kad kredit/debit?
Untuk pembelian menggunakan wang tunai, ianya memerlukan pengesahan MyKad di terminal pembaca kad pengenalan di dalam kedai stesen minyak. Pembelian secara kad kredit/debit mempunyai opsyen tambahan menggunakan terminal pembaca MyKad di pam. Perinciannya adalah seperti berikut:
Kaedah Terminal MyKad Budi95
a. Bagaimanakah proses pembelian Budi95 di stesen minyak dengan menggunakan Terminal MyKad Budi95? Langkah-langkah pembelian Budi95 menggunakan Terminal MyKad Budi95 adalah seperti berikut:
1. Kemukakan MyKad anda kepada kakitangan yang mengendalikan terminal MyKad.
2. Pengesahan kelayakan dibuat dengan mengimbas MyKad anda.
3. Sekiranya anda layak dan mempunyai kelayakan Budi95 yang mencukupi, anda perlu memaklumkan jumlah petrol RON95 yang ingin dibeli dalam Ringgit Malaysia (contoh: RM50) untuk diinput ke dalam terminal dan dihantar ke CDB untuk pengesahan.
4. Jika pengesahan berjaya, terminal akan memaparkan kod QR atau butiran transaksi yang perlu dimasukkan ke sistem tempat jualan (POS) stesen minyak tersebut (contohnya dengan mengimbas kod QR daripada terminal atau secara manual) supaya jualan tersebut direkodkan seperti biasa.
5. Anda perlu membayar menurut jumlah yang diingini dan resit akan dikeluarkan.
6. Pam diaktifkan dan anda boleh meneruskan untuk mengisi minyak. Keseluruhan proses ini dianggarkan mengambil masa selama 20 saat sehingga pam diaktifkan.
Terminal Pembayaran Dalam Kedai (Indoor Payment Terminal (IPT))
b. Bagaimanakah proses pembelian Budi95 di stesen minyak dengan menggunakan IPT?
Langkah-langkah pembelian Budi95 menggunakan IPT adalah seperti
berikut:
1. Kemukakan MyKad anda kepada kakitangan yang mengendalikan IPT.
2. Pengesahan kelayakan dibuat dengan mengimbas MyKad anda.
3. Sekiranya anda layak dan mempunyai kelayakan Budi95 yang mencukupi, pelanggan perlu maklumkan jumlah minyak RON95 yang ingin dibeli dalam Ringgit Malaysia (contoh: RM50) untuk dimasukkan ke dalam terminal dan dihantar ke CDB untuk pengesahan.
4. Jika pengesahan berjaya, anda akan membayar menurut jumlah yang diingini dan resit dikeluarkan.
5. Pam diaktifkan dan anda boleh meneruskan untuk mengisi minyak.
Terminal Pembayaran Luar Kedai (Outdoor Payment Terminal (OPT))
c. Bagaimanakah proses pembelian Budi95 di stesen minyak dengan menggunakan OPT?
Langkah-langkah pembelian Budi95 menggunakan OPT adalah seperti berikut:
1. Masukkan MyKad anda kepada pengimbas OPT untuk pengesahan.
2. Sekiranya anda layak dan mempunyai kelayakan Budi95 yang mencukupi, anda perlu masukkan/sentuhkan kad kredit/debit untuk proses prakebenaran.
3. Seterusnya, memasukkan jumlah minyak RON95 yang ingin dibeli dalam Ringgit Malaysia (contoh: RM50) untuk dimasukkan ke dalam terminal dan dihantar ke CDB untuk pengesahan.
4. Jika pengesahan berjaya, anda perlu sahkan pesanan dan membuat pembayaran di terminal OPT secara kad kredit atau debit.
5. Pam diaktifkan dan anda boleh meneruskan untuk mengisi minyak.
6. Resit dicetak di OPT dengan jumlah pengisian akhir. Proses mungkin berbeza di antara syarikat minyak di mana langkah masukkan MyKad akan dibuat sama ada sebelum atau selepas kad kredit atau debit.
Aplikasi TNG Digital
d. Bagaimanakah proses pembelian Budi95 di stesen minyak dengan menggunakan TNG Digital?
Langkah-langkah pembelian Budi95 menggunakan TNGD adalah seperti berikut:
1. Anda perlu melakukan e-KYC sekali sahaja untuk membenarkan fungsi Budi95.
2. Untuk transaksi seterusnya, anda disahkan layak dan mempunyai baki kelayakan Budi95 yang mencukupi.
3. Anda perlu memilih stesen minyak yang tepat dan nombor pam yang dikehendaki.
4. Anda perlu memilih jumlah minyak RON95 yang ingin dibeli dalam Ringgit Malaysia (contoh: RM50) dan dihantar ke CDB untuk pengesahan.
5. Anda perlu mengemukakan kod QR TNGD yang dipaparkan kepada juruwang untuk diimbas sebagai bukti pembayaran dan memasukkan butiran ke dalam sistem (jika disokong). Jika fungsi tersebut tidak disokong, juruwang hendaklah memasukkan butiran pembelian seperti tertera di aplikasi TNG Digital pelanggan.
6. Pam diaktifkan dan anda boleh meneruskan untuk mengisi minyak. Contoh paparan QR pesanan beserta jumlah pesanan dalam RM seperti berikut:

Untuk lain-lain jenis pembelian melalui kaedah ini, sila rujuk bahan panduan pembelian Budi95 TNGD.
Aplikasi syarikat minyak
e. Bagaimanakah proses pembelian Budi95 di stesen minyak dengan menggunakan aplikasi syarikat minyak?
Langkah-langkah pembelian menggunakan aplikasi syarikat minyak adalah seperti berikut:
1. Pelanggan perlu melalukan e-KYC sekali sahaja untuk membenarkan fungsi 4. Apakah yang perlu dilakukan sekiranya jumlah isian petrol RON95 kurang
daripada amaun yang telah dibayar melalui Terminal MyKad Budi95?
Jika jumlah pengisian adalah kurang daripada jumlah yang telah dibayar, sila
maklumkan kepada kakitangan stesen minyak. Mereka akan membantu untuk.
2. Untuk transaksi seterusnya, pelanggan disahkan layak dan mempunyai baki kelayakan BUDI95 yang mencukupi.
3. Pelanggan perlu memilih stesen minyak yang tepat dan nombor pam yang dikehendaki.
4. Pelanggan perlu memilih jumlah minyak RON95 yang ingin dibeli dalam RM (contoh: RM50) dan dihantar ke CDB untuk pengesahan.
5. Setelah pesanan disahkan, pengguna boleh teruskan pembayaran melalui aplikasi.
6. Aplikasi minyak akan aktifkan pam untuk pengisian jika ia disokong sistem stesen. Jika tidak, bukti pembayaran perlu ditunjukkan kepada kakitangan stesen untuk pengaktifan pam.
Untuk lain-lain jenis pembelian melalui kaedah ini, sila rujuk bahan panduan pembelian Budi95 RON95 aplikasi syarikat minyak berkenaan.
4. Apakah yang perlu dilakukan sekiranya jumlah isian petrol RON95 kurang daripada amaun yang telah dibayar melalui Terminal MyKad Budi95?
Jika jumlah pengisian adalah kurang daripada jumlah yang telah dibayar, sila maklumkan kepada kakitangan stesen minyak. Mereka akan membantu untuk memuktamadkan transaksi di Terminal MyKad Budi95 berdasarkan jumlah akhir pengisian (dalam liter) yang dipaparkan pada pam.
Baki amaun akan dipulangkan mengikut kaedah pembayaran asal, manakala baki Budi95 yang tidak digunakan akan dikembalikan secara automatik dalam sistem. Resit akhir akan dikeluarkan berdasarkan jumlah sebenar petrol yang diisi.
5. Apakah yang perlu dilakukan sekiranya saya mengisi kurang daripada jumlah yang dibayar melalui TNG Digital atau aplikasi syarikat minyak?
Jika jumlah pengisian kurang daripada jumlah dibayar, anda perlu maklumkan kepada kakitangan stesen minyak untuk membuat proses penyelesaian pembelian mengikut jumlah akhir minyak yang diisi dan lebihan akan dipulangkan kepada baki e-dompet anda dengan segera.
6. Perlukah MyKad diimbas bagi pembayaran melalui TNG Digital atau aplikasi syarikat minyak?
Tidak perlu, kerana anda telah melengkapkan proses e-KYC dan semakan kelayakan melalui aplikasi tersebut.
7. Perlukah saya mengisi minyak mengikut nombor pam seperti tertera di nota pengesahan e-dompet TNG Digital?
Tidak. Anda perlu mengisi minyak mengikut pam yang diaktifkan kakitangan stesen minyak setelah mereka mengimbas nota pengesahan TNG Digital anda.
8. Perlukah kad pengenalan saya disemak untuk mengisi minyak melalui aplikasi syarikat minyak (contoh: Setel, Shell App, CaltexGo)?
Tidak. Anda boleh membuat pesanan melalui aplikasi syarikat minyak setelah telah melalui proses wajib e-KYC yang mengesahkan kelayakan dan mempunyai baki kelayakan Budi95 yang mencukupi.
9. Bolehkah saya membayar pembelian saya secara separa TNG Digital, separa tunai (atau gabungan pembayaran lain)?
Tidak, buat masa ini sistem pembayaran TNG hanya membolehkan pembayaran sepenuhnya dilakukan.
10. Bolehkah pelanggan membayar secara tunai setelah memulakan pembelian melalui TNG Digital atau aplikasi syarikat minyak?
Tidak. Jika pelanggan telah memulakan transaksi menggunakan TTNG Digital atau aplikasi syarikat pengeluar minyak, pembayaran mesti dilakukan melalui aplikasi berkenaan.
11. Bolehkah saya menggunakan aplikasi e-wallet selain TNG Digital?
Anda boleh menggunakan aplikasi e-dompet pilihan selain TNG Digital jika anda membayar melalui terminal pembayaran dalam kedai (IPT) setelah pengesahan Terminal MyKad Budi95 atau terminal pembayaran luar kedai (OPT), bergantung kepada penerimaan pengusaha stesen minyak berkenaan. Buat masa ini, semakan, pembelian dan pembayaran dalam aplikasi hanya terhad kepada TNG Digital dan kaedah pembayaran yang disokong aplikasi syarikat minyak.
12. Mengapa harga RON95 di pam lain daripada harga RON95 yang dicetak di resit?
Harga yang dipaparkan di pam merupakan harga tanpa subsidi yang ditetapkan oleh mekanisme apungan harga (APM) manakala harga di resit (RM1.99/liter) merupakan harga Budi95 (dengan subsidi Kerajaan). Harga di pam adalah harga untuk dibayar jika tiada subsidi Budi95.
13. Bolehkah saya membeli kuantiti minyak lebih daripada baki Budi95 saya?
Ya. Anda boleh membeli kuantiti melebihi baki anda. Sekiranya baki anda telah habis digunakan, baki jumlah pembelian akan ditetapkan pada harga pam (iaitu harga minyak tanpa subsidi kerajaan).
14. Bolehkah saya isi penuh dan bayar kemudian?
Tidak. Sistem pembelian petrol Budi95 menetapkan pembayaran dahulu sebelum anda boleh mengisi minyak agar harga minyak dibeli dan nilai baki Budi95 yang digunakan jelas.
15. Jika kuantiti yang dibeli melebihi kapasiti kenderaan saya, adakah saya akan mendapat kembali lebihan jumlah baki Budi95 yang ditempah?
Ya, apabila anda membeli lebih dari jumlah yang diisi, baki amaun yang dibayar akan dipulangkan melalui cara pembayaran asal dan baki yang tidak digunakan akan dikembalikan kepada baki bulanan anda.
16. Mengapa jumlah minyak yang diisi di pam tidak sama dengan jumlah yang dipesan?
Terdapat kemungkinan jumlah minyak yang diisi (dalam liter) mungkin berbeza sedikit sebanyak 0.05 liter / RM0.02 kerana pembundaran sistem yang digunakan. CDB hanya mengambil kira jumlah yang ditempah dan dibayar
melalui kaedah-kaedah pembelian. Sekiranya perbezaan lebih besar dari julat di atas, sila hubungi kakitangan
stesen untuk mendapatkan bantuan.
17. Saya telah membeli dan mengisi minyak tetapi ada kesilapan antara kuantiti dibeli di resit dan kuantiti ditetapkan di pam. Bagaimana cara untuk saya dapatkan bayaran balik dan pengembalian baki?
Jika anda dapati terdapat kesilapan dalam jumlah RON95 yang diluluskan dipam dan jumlah yang dipesan sama ada kerana kesilapan manusia atau masalah pam, anda disaran untuk memaklumkan kakitangan stesen tentang perkara tersebut.
Di peringkat sistem CDB, jika jumlah yang dipesan lebih tinggi dari jumlah akhir RON95 yang diisi, hanya jumlah yang diisi akan ditolak dari baki anda. Jika jumlah akhir lebih tinggi dari jumlah yang dipesan dan dibayar, hanya jumlah yang dipesan akan ditolak dari baki Budi95 anda.
Apa yang perlu dilakukan jika menghadapi masalah?
1. Apa yang perlu dilakukan jika sistem atau pembaca kad di stesen minyak tidak dapat membaca MyKad saya?
Jika MyKad anda tidak dapat dibaca pada kali pertama, kakitangan stesen minyak akan cuba untuk mengimbas Mykad tersebut sebanyak tiga kali percubaan. Sekiranya ia masih tidak dapat dibaca, kakitangan tersebut akan menyemak kelayakan anda sekali lagi dengan memasukkan nombor kad pengenalan anda secara manual ke dalam terminal MyKasih atau indoor payment terminal (IPT) stesen minyak tersebut.
Anda dinasihatkan untuk mengemaskini MyKad anda sekiranya ia mengalami kerosakan atau belum diperbaharui selama lebih dari tempoh 10 tahun. Walau bagaimanapun, rakyat tidak perlu tergesa-gesa memperbaharui MyKad sekiranya mereka berjaya menebus bantuan SARA atau Penghargaan SARA, kerana itu membuktikan cip MyKad berfungsi.
2. Apa yang akan berlaku jika sistem semakan subsidi di stesen minyak tidak berfungsi atau stesen minyak tiada sambungan internet?
Setiap pengendali stesen minyak akan mempunyai perancangan kesinambungan perniagaan (BCP) tersendiri untuk membolehkan rakyat Malaysia terus membeli petrol RON95 pada harga bersubsidi (RM1.99 seliter) jika sistem mengalami gangguan atau sambungan internet tergendala.
3. Jika saya mahu membuat aduan atau laporan berkenaan pembelian Budi95, apakah maklumat yang diperlukan?
Anda boleh melakukan aduan melalui laman web www.budimadani.gov.my atau dengan menghubungi talian pusat khidmat Budi Madani di talian 1300-88-9595.
Sila pastikan anda mempunyai butiran-butiran berikut untuk membuat aduan yang lengkap dan memudahkan penyelesaian isu:
– resit pembelian (termasuk resit akhir jika ada)
– nombor rujukan
– nama dan alamat stesen
– gambar paparan jumlah di pam (jika berkenaan)
– gambar/tangkap layar mesej ralat di paparan pam/aplikasi
– lain-lain butiran yang berkenaan
4. Sekiranya saya kehilangan kad pengenalan, adakah surat pengesahan sementara atau laporan polis boleh digunakan sebagai pengganti untuk urusan pembelian minyak?
Bagi memastikan ketepatan dan keselamatan dalam sistem pengesahan identiti pelanggan, hanya kad pengenalan fizikal (MyKad) yang diterima pakai dalam urusan pembelian minyak. Anda dinasihatkan untuk mendapatkan penggantian MyKad daripada Jabatan Pendaftaran Negara secepat mungkin.
5. Sekiranya Kad Pengenalan saya hilang atau dicuri, apakah proses yang perlu saya ikuti?
Langkah-langkah untuk menguruskan MyKad yang hilang/dicuri:
a. Buat laporan polis
– Pergi ke balai polis terdekat untuk membuat laporan polis sebagai bukti kehilangan MyKad anda.
– Laporan ini penting untuk mengelakkan penyalahgunaan MyKad anda untuk tujuan jenayah.
– Simpan salinan laporan polis tersebut untuk tujuan permohonan gantian.
b. Mohon gantian MyKad di JPN
– Kaunter JPN: Hadir ke mana-mana cawangan JPN dengan membawa laporan polis dan dokumen pengesahan lain yang diperlukan.
– Permohonan dalam talian: Lawati laman web rasmi JPN di www.jpn.gov.my dan gunakan aplikasi Sistem Gantian MyKad.
– Untuk permohonan dalam talian, anda perlu mendaftar dan mengisi butiran yang diminta, membuat pembayaran dan kemudian mengambil kad di JPN yang dipilih.
Perkara Penting:
– Jangan tangguh proses ini kerana MyKad adalah dokumen yang sangat penting.
– Untuk kehilangan kali pertama, anda boleh terus ke kaunter JPN tanpa laporan polis.
– Untuk kehilangan kali kedua dan seterusnya, laporan polis adalah wajib.
– Permohonan gantian akan dikenakan bayaran mengikut penetapan JPN. Bagi kehilangan MyKad kali ketiga dan seterusnya, proses pengeluaran semula MyKad akan mengambil masa satu bulan kerana perlu dibawa dan diputuskan melalui Mesyuarat Panel Jawatankuasa berkaitan.
6. Berapa lamakah tempoh permohonan MyKad boleh disiapkan?
MyKad boleh disiapkan dalam tempoh 30 minit bagi pemohon yang memilih untuk membuat kutipan MyKadnya di Ibu Pejabat JPN dan JPN yang mempunyai mesin cetakan. Bagi pemohon yang memilih untuk membuat kutipan MyKadnya di mana-mana pejabat cawangan JPN di Semenanjung Malaysia,maka MyKad akan disiapkan dalam tempoh 5 hari bekerja.
Manakala 7 hari bekerja bagi pemohon yang memilih untuk membuat kutipan MyKadnya di mana-mana pejabat cawangan
JPN di Sabah, Sarawak dan Labuan. Piagam MyKad siap ini hanya melibatkan permohonan dari Warganegara Malaysia dan permohonan tidak bermasalah sahaja.
7. Saya telah kehilangan kad pengenalan untuk kali kedua. Apakah yang perlu saya lakukan?
Anda boleh hadir ke mana-mana pejabat JPN yang berhampiran dengan mengemukakan laporan polis yang menyatakan sebab kehilangan kad pengenalan tersebut dan ikut langkah-langkah seperti jawapan di Soalan 4.
8. Saya telah berumur 25 tahun dan masih belum memiliki kad pengenalan. Apakah yang perlu saya lakukan?
Bagi mereka yang belum memiliki kad pengenalan walaupun telah berumur lebih 16 tahun adalah dinasihatkan untuk datang ke mana-mana JPN yang berhampiran untuk memohon daftar lewat kad pengenalan. Pemohon dan penganjur perlu hadir bersama-sama untuk ditemuduga, dengan membawa bersama-sama dokumen berikut:-
• Sijil Lahir Pemohon/Sijil AnakAngkat/Borang W atau
• Kad Pengenalan Penganjur
9. Adakah apa-apa bayaran yang dikenakan sekiranya berlaku kerosakan terhadap cip di kad pengenalan saya?
Kerosakan cip yang bukan disebabkan oleh sengaja dirosakkan, salah guna dan sebagainya dalam tempoh satu tahun dari tarikh penyerahan kad adalah diberi gantian secara percuma, dan jika tempoh kad telah dipegang oleh pemohon melebihi satu tahun, bayaran sebanyak RM 10.00 dikenakan.
10. Apakah bayaran untuk penggantian bagi MyKad yang hilang atau rosak?
Jadual bayaran untuk penggantian Kad Pengenalan (MyKad) adalah berbeza mengikut situasi.
Bayaran Ganti MyKad Rosak
• Warganegara: RM10
• Permohonan Percuma: Tiada bayaran dikenakan jika permohonan gantian dibuat dalam tempoh 12 bulan dari tarikh kad rosak Bayaran Ganti MyKad Hilang
• Kehilangan Kali Pertama: RM110
• Kehilangan Kali Kedua: RM310
• Kehilangan Kali Ketiga dan Seterusnya: RM1,010
11. Dimanakah saya boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan MyKad?
Maklumat lanjut boleh diperolehi di laman web Jabatan Pendaftaran Negara di pautan https://www.jpn.gov.my/my/soalan-lazim/soalan-lazim-kad-pengenalan
Portal
1. Mengapakah MyDigital ID digunakan untuk log masuk portal rasmi Budi95?
MyDigital ID digunakan untuk memastikan kesahihan identiti digital disamping menjamin keselamatan transaksi dalam talian. Anda boleh dapatkan maklumat lanjut tentang MyDigital ID di https://www.digital-id.my/
2. Pendaftaran saya akan sah sehingga bila?
Buat masa ini, tiada tarikh tamat bagi pendaftaran di portal rasmi Budi95.
Soalan pelbagai
1. Bolehkah saya membeli petrol BUDI95 jika saya memandu kenderaan bernombor pendaftaran luar negara?
Tidak. Budi95 hanya dibenarkan untuk kegunaan warganegara Malaysia yang memandu kenderaan berpendaftaran Malaysia. Kenderaan yang tidak berpendaftaran Malaysia tidak dibenarkan mengisi minyak RON95 sama ada pemandunya rakyat Malaysia atau tidak.
2. Apakah tempoh pelaksanaan program ini?
Peralihan dari subsidi pukal kepada subsidi bersasar berkuatkuasa sepenuhnya mulai 30 September 2025.
3. Bolehkah saya membeli BUDI95 untuk kegunaan selain kenderaan (contoh: genset, bot memancing)?
Pada masa ini, pengguna dibenarkan membeli sehingga 20 liter petrol tanpa perlu membawa kenderaan. Kumpulan yang telah memohon permit khas daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pula boleh membeli lebih banyak bagi tujuan bukan kenderaan, seperti kegunaan pertanian.
Sehubungan itu, proses ini kekal sama di mana mereka yang layak menggunakan MyKad boleh mendapatkan harga bersubsidi dan seterusnya membeli sama ada sehingga 20 liter sehari atau, dengan permit khas, mengikut keperluan masing-masing.
Jumlah 300 liter yang diperuntukkan oleh Kerajaan juga telah mengambil kira kegunaan bukan kenderaan bagi kumpulan seperti petani, peladang dan perniagaan kecil lain.
4. Bolehkah saya membeli minyak sewaktu tempoh kemaskini harga mingguan (Rabu 11.45 malam ke Khamis 12 pagi)?
Anda tidak boleh membuat tempahan pembelian baharu dalam tempoh tersebut, manakala sebarang transaksi yang telah disahkan dan dibayar sebelum itu masih boleh diselesaikan dalam tempoh tersebut.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.