Program subsidi petrol RON 95 di bawah inisiatif Budi Madani (Budi95) akan mula dilaksanakan secara rasmi pada 30 September ini. Menjelang pelancarannya, Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) memberi jaminan bahawa bekalan petrol dan urusan jual beli di stesen minyak tidak akan terjejas, meskipun dijangka berlaku peningkatan permintaan, lapor Bernama.
Presiden PDAM, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, pengusaha stesen minyak di seluruh negara telah bersedia sepenuhnya dengan pelan sandaran bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program ini. Beliau menegaskan bahawa semua warganegara Malaysia yang memiliki lesen memandu yang sah layak menerima subsidi petrol RON 95 pada harga RM1.99 seliter.
“Pengusaha stesen minyak sudah ada pelan kesinambungan perniagaan sekiranya berlaku gangguan pada sistem transaksi. Kami tidak mahu menyusahkan orang ramai. Sebaliknya, kami mahu pastikan mereka tetap dapat menikmati harga RM1.99. Dengan persiapan yang telah dibuat, kami harap semuanya berjalan lancar menjelang 27 September,” katanya. Difahamkan, anggota polis dan tentera akan menjadi kumpulan pertama menikmati harga subsidi ini bermula 27 September.
Datuk Khairul turut menyeru orang ramai supaya bersabar sekiranya berlaku kelewatan atau gangguan ketika proses pelaksanaan. Beliau memberi jaminan bahawa pengusaha stesen minyak akan menjalankan tanggungjawab mereka untuk memastikan semua yang layak menerima subsidi tidak terpinggir.
Beberapa hari lalu, PDAM memaklumkan bahawa proses pengesahan kelayakan pelanggan adalah satu tugas yang kompleks, dan pihaknya berharap orang ramai dapat memberikan kerjasama kepada pengusaha stesen minyak dalam menguruskan cabaran awal pelaksanaan Budi95.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.