Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) akan menganjurkan Mini Karnival MOT: Hari Bertemu Pelanggan & Kerjaya MOT pada 28 dan 29 September 2025 (Ahad dan Isnin) bertempat di Terminal Bersepadu Gombak (TBG). Program dua hari ini terbuka kepada orang ramai dan menampilkan pelbagai aktiviti termasuk perkhidmatan agensi di bawah MOT serta peluang kerjaya.
Antara tarikan utama karnival ini ialah pertukaran topi keledar secara percuma bagi penunggang motosikal. Sebanyak 1,000 unit topi keledar disediakan untuk diberikan secara percuma kepada warganegara Malaysia yang hadir sepanjang tempoh program. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan tahap keselamatan jalan raya serta menggalakkan penggunaan topi keledar yang mematuhi piawaian.
Untuk menebus topi keledar baru, peserta perlu membawa topi keledar lama yang rosak atau tidak menepati spesifikasi SIRIM, bersama dengan kad pengenalan (MyKad) sebagai bukti kewarganegaraan. Setiap individu hanya layak menukar satu unit topi keledar sahaja sepanjang program berlangsung. Tawaran ini adalah berdasarkan konsep “siapa cepat, dia dapat”, kerana jumlah adalah terhad.
Program ini dianjurkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan sokongan Kementerian Pengangkutan, sebagai sebahagian daripada kempen kesedaran keselamatan jalan raya. Ia juga memberi peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan maklumat terus daripada agensi kerajaan serta meneroka peluang pekerjaan dalam sektor pengangkutan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.