SUV EV kedua Proton yang bakal dilancarkan tak lama lagi iaitu Proton eMas 5 turut bakal ditawarkan dengan kabin berwarna hitam, selain dari pilihan dalaman putih seperti yang ditunjuk ketika pratonton model tersebut kepada media Ogos lalu.
Menurut Proton, tema warna kabin lebih gelap berkenaan ditunjuk ketika acara jelajah MISI 5 Tour yang berlangsung hujung minggu lalu. Acara jelajah tersebut membawa eMas 5 berkenaan menjelajah ke 13 negeri dalam Malaysia yang akan berakhir pada Oktober nanti, di mana ia turut dirancang untuk dilancarkan pada bulan yang sama.
Proton masih belum mendedahkan perincian penuh berkenaan kabin hitam tersebut. Namun berdasarkan video yang disiarkan di laman Instagram rasmi Proton eMas, kabin berkenaan menampilkan upholsteri leatherette berwarna hitam dengan corak yang sama dengan versi berwarna putih. Kemasan-kemasan hitam turut diberikan pada roda stereng, papan pemuka, konsol tengah dan juga panel dalaman pintu.
Kami jangkakan eMas 5 dengan dalaman berwarna hitam ini merupakan pilihan bagi varian lebih rendah kerana unit yang didedahkan kepada media menampilkan dalaman berwarna putih sebelum ini merupakan model varian tertinggi yang digelar sebagai varian Premium. Dan berdasarkan nama varian pada eMas 7, kami turut jangkakan eMas 5 varian lebih rendah ini akan digelar sebagai Prime.
Proton eMas 5 diasaskan dari Geely Star Wish/Geome Xingyuan yang dibina berasaskan platform Global Modular Architecture (GMA) Geely. Tak kira varian, ia hanya ditawarkan dengan motor elektrik tunggal, dan ia diletakkan pada gandar belakang untuk memacu roda belakang sahaja.
Bagi varian Premium yang telah didedahkan, motor berkenaan menjana 116 PS (85 kW) dan tork maksima 150 Nm yang digerakkan oleh bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 40.16-kWj. Padanan berkenaan membolehkan SUV EV kompak tersebut bergerak sejauh 325 km dalam kitaran ujian WLTP (410 km CLTC).
Manakala bagi varian Prime, ia menerima motor elektrik dengan kuasa hanya 79 PS (58 kW) dan tork 130 Nm, bersama bateri lebih kecil berkapasiti 30.12 kWj yang memberikan jarak gerak sejauh 250 km WLTP (310 km CLTC).
GALERI: Pratonton Proton eMas 5
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.