Polis Klang Selatan memaklumkan bahawa 10 laluan utama di sekitar Klang akan ditutup bermula esok (27 September) hingga 29 September, serta 1 Oktober hingga 2 Oktober 2025 sempena Istiadat Perkahwinan Diraja, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, di Istana Alam Shah, Klang.
Penutupan laluan terbabit berkuatkuasa jam 8 pagi hingga selesai bagi melancarkan perjalanan istiadat serta menjaga keselamatan semua pihak.
Jalan yang ditutup sepenuhnya ialah Jalan Tengku Diaudin ke Jalan Istana, Jalan Istana ke Bulatan Simpang Lima, Jalan Istana ke Jalan Stadium Sultan Suleiman, Jalan Istana ke Lorong Tingkat, Jalan Istana ke Jalan Pegawai, Jalan Istana ke Jalan Tengku Kelana 2, Jalan Bulatan Simpang Lima dan Jalan Bukit Istana.
Manakala dua jalan yang ditutup secara berperingkat pula ialah Jalan Dato’ Hamzah ke Jalan Tengku Kelana, dan Jalan Raja Jumaat ke Jalan Istana.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal serta menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas. Polis Klang Selatan turut memohon kerjasama pengguna jalan raya agar mematuhi arahan anggota bertugas demi kelancaran majlis diraja ini,” kata Polis Klang Selatan menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.