Chery Tiggo 7 & Tiggo 8 PHEV sudah boleh ditempah, diuji di bilik pameran sebelum dilancar tak lama lagi

Chery Tiggo 7 & Tiggo 8 PHEV sudah boleh ditempah, diuji di bilik pameran sebelum dilancar tak lama lagi

Chery Malaysia hari ini mengumumkan bahawa tempahan bagi model Tiggo 7 PHEV dan Tiggo 8 PHEV kini sudahpun dibuka, dan pelanggan yang berminat boleh memandu uji kedua-dua model berkenaan di bilik pameran Chery terdekat. Model-model kemaskini tersebut bukan sahaja menerima rupa facelift terbaharu, malah ia bakal menampilkan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) generasi baharu Chery iaitu Chery Super Hybrid (CSH).

Kedua-dua model ini sebenarnya telah pun dipamerkan di Malaysia Autoshow 2025 di MAEPS Serdang pada Mei lalu. Kedua-duanya juga berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama, menampilkan enjin petrol kitaran Miller 1.5 liter turbo baharu dengan sistem suntikan bahan api terus yang dibina khas untuk digandingkan bersama sistem hibrid, menghasilkan keberkesanan suhu mencecah 44.5% dan mampu menjana kuasa 154 hp dan tork maksima 220 Nm.

Ia digandingkan dengan transmisi khas hibird DHT tiga-kelajuan dan juga dua motor elektrik dengan kuasa 201 hp dan tork 310 Nm, yang menerima tenaga elektrik dari bateri LFP 18.3 kWj. Berdasarkan spesifikasi yang ditunjuk oleh Chery Malaysia, Tiggo 7 dan Tiggo 8 PHEV pasaran tempatan ini dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 347 PS dan tork maksima 525 Nm, memacu sepenuhnya roda hadapan.

Dengan sistem PHEV bermakna bateri yang dibekalkan boleh dicas semula seperti EV sebenar. Ia boleh menerima cas dari Wallbox AC (tidak dinyatakan kapasiti) di mana bateri boleh dipenuhkan dalam masa tiga jam. Manakala dengan sistem pengecas pantas DC, kuasa dari 30% hingga 80% boleh dipenuhkan dalam masa 19 minit. Sistem ini turut boleh menerima cas dari plag tiga-pin biasa, di mana ia memerlukan masa selama 8.5 jam untuk memenuhkan cas bateri tersebut.

Dengan satu tangki petrol penuh berkapasiti 60 liter, Tiggo 8 PHEV ini didakwa boleh bergerak lebih dari 1,200 km dalam kitaran ujian WLTP. Manakala dengan satu cas bateri penuh, ia boleh bergerak sejauh 95 km tanpa enjin petrol dihidupkan langsung. Sekiranya kadar cas bateri berada pada tahap 25%-100%, penggunaan bahan api yang dicatatkan adalah pada 1.3L/100 km, manakala dengan kadar cas bateri rendah iaitu di bawah 25%, penggunaan bahan api masih boleh mencapai 4.9L/100 km.

Chery juga mengumumkan bahawa bateri LFP yang diberikan menampilkan perincian keselamatan tinggi, antaranya akan menyekat sistem bervoltan tinggi sekiranya berlaku kemalangan, ia kalis habuk dan kalis air dengan menerima penarafan IP68 membolehkan ia meredah laluan air pada kedalaman 500 mm, boleh bertahan dalam cuaca panas sehingga 95 darjah selsius, serta boleh beroperasi dalam sela suhu yang luas bermula -35°C hingga 60°C.

“Chery Malaysia dengan bangganya memperkenalkan Tiggo 7 PHEV dan Tiggo 8 PHEV ke pasaran Malaysia, dikuasakan oleh teknologi Chery Super Hybrid (CSH) kami yang canggih. Model-model ini memberikan rangkaian, keselamatan dan prestasi terkemuka kelas. Kami percaya kedua-dua model kenderaan akan menetapkan standard baharu untuk SUV hibrid plug-in di Malaysia,” kata Lee Wen Hsiang, Naib Presiden Auto Malaysia.

Sebelum ini Chery telah mengumumkan perincian kelengkapan pasaran Malaysia bagi kedua-dua model tersebut dengan Chery Tiggo 7 PHEV boleh anda baca pada PAUTAN INI, dan Tiggo 8 PHEV pula boleh anda baca pada PAUTAN INI. Harga bagi kedua-dua model ini juga hanya akan diumumkan ketika pelancarannya yang dijangka akan dibuat dalam waktu terdekat.

GALERI: Chery Tiggo 7 PHEV CSH di MAS 2025

GALERI: Chery Tiggo 8 PHEV CSH di MAS 2025

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance with us

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services. You can also pay with instalment using Grab PayLater or Shopee SPayLater.

Renew Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required