Model generasi kedua bagi SUV segmen-D Chery Tiggo 8 telahpun didedahkan di China, dan pelancarannya di sana djadualkan akan di buat pada suku keempat tahun ini. Di sana Tiggo 8 2026 ini akan ditawarkan dalam dua muka yang berbeza, dan salah satu daripadanya adalah seiras dengan Lepas 8, iaitu SUV keluaran satu lagi sub-jenama Chery yang baru dilancarkan pada peringkat global pada April lalu.
Menurut laporan CarNewsChina, Tiggo 8 generasi baharu ini dihasilkan lebih besar berbanding model sebelum ini dengan ukuran panjang 4,749 mm, lebar 1,880 mm, tinggi 1,710 mm dan jarak roda sejauh 2,825 mm. Jadi berbanding versi sebelumnya, Tiggo 8 2026 ini adalah 27 mm lebih panjang, 20 mm lebih lebar, jarak roda roda 115 mm lebih jauh. Namun ia 35 mm lebih rendah seterusnya memberikan stance yang nampak lebih sporty.
Rupa versi utama Tiggo 8 ini menampilkan bentuk yang berevolusi dari model generasi sebelumnya. Ia masih diberikan lampu hadapan utama pada sebelah atas dengan jalur lampu nyalaan siang LED bina dalam, mengapit gril hadapan berbentuk heksagon bersaiz besar dengan elemen pin krom di tengahnya. Manakala kedua-dua sisi bampar hadapan menampilkan tirai udara dengan kemasan yang agak besar.
Manakala bagi versi rupa kedua, ia adalah seiras sepenuhnya dengan Lepas 8, menampilkan lampu rekaan siang yang nipis bersama grafik LED yang kelihatan seperti mata harimau bintang yang sedang menumpukan pandangan terhadap sesuatu, manakala lampu utama terletak pada bahagian bampar. Ini kerana Lepas bermaksud “Leap” dan “Passion”, dan ia turut merujuk kepada asas rekaan luaran barisan model jenama ini iaitu “Leopard Aesthetic” atau estetika harimau bintang.
Selain dari muka, bahagian badan lain nampaknya dikongsi sepenuhnya antara Tiggo 8 dan Lepas 8. Bahagian sisinya tampil dengan tiga garis lengkung utama yang diambil dari otot-otot lengan kaki hadapan dan paha belakang serta bahagian bawah perut seekor harimau bintang. Dan permukaan badan model-model lepas ini nampak licin dan ringkas serta melengkung dengan inspirasi diambil dari barangan tembikar.
Begitu juga di belakang, kedua-dua versi tampil dengan rekaan sama menampilkan lampu belakang nipis dengan bar menyala merentangi sepenuhnya pintu tailgate, serta bampar dengan reflektor diletakkan pada kedua-dua sisi seakan liang aliran udara, bersama kemasan seakan diffuser di bawah yang turut menempatkan dua perumah tip ekzos berbentuk leper.
Tiada sebarang perincian teknikal SUV ini didedahkan buat masa sekarang, namun ketika pengenalan Lepas L8 sebelum ini mengesahkan ia berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama dengan Chery Tiggo 8 dengan menawarkan versi enjin petrol penuh serta Chery Hybrid System (CSH) yang menampilkan sistem plug-in hybrid (PHEV).
Kita di Malaysia masih menunggu pelancaran bagi versi facelift Chery Tiggo 8 generasi sedia ada yang akan menampilkan unit rangkaian kuasa PHEV CSH yang akan dibuat tidak lama lagi. Mungkin masih lambat untuk kita menerima model generasi kedua berkenaan, tetapi versi yang menerima lencana Lepas mungkin akan dilancarkan di sini tidak lama lagi.
Ini kerana laman-laman media sosial termasuk Facebook dan Instagram Lepas Malaysia sudahpun diaktifkan bulan lalu, dan sebelum ini Lepas sudahpun memaklumkan bahawa Lepas L8 akan menjadi model pertamanya akan dijual pada pasaran global.
Lepas juga sudah bertapak di Indonesia, dan model L8 tersebut telah dipamerkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2025 yang berlangsung Julai lalu. Di pasaran itu, Lepas L8 disahkan akan menerima unit rangkaian kuasa PHEV yang menampilkan enjin 1.5 liter turbo, dan hanya memacu roda hadapan.
GALERI: Lepas L8 di GIIAS 2025
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.