Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan peningkatan ketara transaksi pembaharuan Lesen Memandu Kompeten (CDL) di seluruh negara sebanyak sebanyak 53% setakat 25 Sept 2025 susulan pengumuman Subsidi BersasarPetrol Budi Madani RON95 (Budi95) oleh Kerajaan pada 22 Sept lalu.
Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berdasarkan rekod pihaknya, sejumlah 23,125 transaksi telah dicatatkan pada 23 Sept di seluruh negara dan ia meningkat sedikit iaitu 0.15% kepada 23,160 transaksi pada 24 Sept, sebelum melonjak secara signifikan kepada 33,714 transaksi pada 25 Sept, menerusi saluran JPJ sedia ada dan rakan-rakan strategik JPJ seperti Pos Malaysia dan MyEG. Di mana purata harian bagi pembaharuan lesen memandu adalah sekitar 17,000 transaksi.
Sementara itu, setakat 26 Sept, negeri-negeri yang bercuti hujung minggu pada hari Jumaat iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu telah merekodkan jumlah urusan pembaharuan lesen memandu yang tinggi berbanding negeri-negeri lain. Peningkatan ini menunjukkan bahawa inisiatif pembukaan kaunter pada hari cuti memberi impak positif dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat setempat.
“Trend ini membuktikan bahawa semakin ramai pemegang lesen memandu mengambil langkah proaktif untuk memperbaharui lesen masing-masing bagi menikmati manfaat Budi95, selain mencerminkan tahap kesedaran pengguna jalan raya terhadap kewajipan memiliki lesen memandu yang sah seperti termaktub di dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
“JPJ komited untuk memastikan keberkesanan pengurusan operasi di seluruh negara dengan memantau keperluan lapangan secara berterusan bagi mengekalkan tahap kecekapan yang optimum. Langkah ini turut disokong melalui kerjasama strategik dengan agensi-agensi berkaitan, khususnya Kementerian Kewangan bagi memastikan setiap proses pembaharuan lesen memand dan pelaksanaan subsidi Budi95 berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan di seluruh negara,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.