Kawasaki KLX 230 dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia, dengan pengenalannya dibuat sewaktu acara Kawasaki Megatrail di Jerantut, Pahang. Motosikal jenis pelbagai guna ini ditawarkan dalam dua versi, iaitu S pada harga RM23,000 dan SM pada harga RM23,600 (tidak termasuk insurans).
KLX 230 baru ini membawa pembaharuan yang menyeluruh, termasuk di bahagian casis dan penampilan. Enjin juga adalah baru, iaitu unit satu silinder empat strok 233 cc, suntikan bahan api berkemampuan 18 PS pada 7,600 rpm serta 18 Nm tork pada 6,100 rpm.
Transmisi menggunakan unit enam kelajuan, sementara kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk meter jenis digital yang boleh disambung kepada aplikasi Rideology, lampu hadapan LED, brek cakera hadapan dan belakang serta tangki bahan api 7.6 liter.
Membezakan antara versi S dan SM adalah di bahagian roda, suspensi serta brek, dengan S menggunakan rim 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, serta fork teleskopik bersama cakera brek 240 mm di hadapan. Versi SM pula mendapat rim 17 inci di hadapan dan belakang, fork USD 37 mm serta cakera brek 300 mm di hadapan.
Secara keseluruhan, KLX 230 S mencatat berat 135 kg dan tinggi tempat duduk 830 mm, sementara varian SM pula mencatat 138 kg dan 845 mm. KLX 230 juga dilengkapi dengan sistem ABS dan ia boleh ditutup secara mudah dengan butang yang terdapat di bahagian kiri pemegang.
GALERI: Kawasaki KLX 230 S
GALERI: Kawasaki KLX 230 SM
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.