Hari ini bermulalah program subsidi bersasar Budi Madani (Budi95) untuk petrol RON 95 bagi semua warga negara Malaysia. Dan pagi tadi, kami telah berkunjung ke semua jenama minyak utama untuk membuat isian petrol dengan kadar bersubsidi RM1.99 seliter. Ini apa yang sempat kami perhatikan.
Untuk sekatakan semua perbandingan, setiap daripada kami mengisi petrol RON 95 sebanyak RM30 daripada kuota penuh 300 liter dengan menggunakan MyKad sendiri di stesen Petronas, Shell, BHPetrol, Caltex dan Petron. Di semua stesen yang kami kunjungi, hanya harga tanpa subsidi RM2.60 seliter yang terpapar di pam.
Bahkan selepas mengesahkan Mykad dan membuat pilihan pembelian RM30, harga yang dipaparkan masih belum bertukar, dan selepas isian dibuat pun, meter masih menunjukkan seolah-olah kita membeli RON 95 dengan harga RM2.60 seliter, dan berhenti pada angka RM39.20 dengan bacaan menghampiri 15.08 liter.
Bagaimanapun, resit akhir menunjukkan jumlah subsidi RM9.20 (selari dengan bayaran RM30 yang dibuat, dan bukannya RM39.20 yang tertera) serta baki sebelum dan selepas untuk kuota bulanan (dalam kes ini, masing-masing 300 liter dan juga 284.925 liter). Ini bermaksud, paparan pada meter pam untuk jumlah jualan dalam RM itu tidak lagi mencerminkan jumlah bayaran sebenar — yang mana semua ini ditunjukkan di atas resit.
Perlu juga disebut, ada sekurang-kurangnya dua daripada stesen terbabit mempunyai masalah dengan pengimbas MyKad di pam. Dalam kes ini, kami terpaksa pergi ke kaunter untuk pengesahan MyKad oleh petugas. Selepas membuat pembelian petrol untuk RM30, kami diberikan satu resit awal dan boleh teruskan mengepam minyak. Setelah selesai, resit akhir akan diberikan di kaunter.
Kenapa ada dua resit? Ini adalah kerana ketika kita membuat pembelian di kaunter, kita membayar terlebih dahulu sebelum mengisi. Jika jumlah pengisian tersebut lebih daripada apa yang tangki kereta anda boleh tampung, maka resit awal tadi boleh dikemukakan di kaunter untuk mendapatkan semula baki wang, dengan jumlah ini yang akan terpapar dalam resit akhir.
Sistem dua resit ini pula kelihatannya hanya terpakai untuk pembelian yang dilakukan di kaunter, tidak kisah sekiranya anda menggunakan tunai atau kad. Bagi mereka yang berjaya mengesahkan MyKad di pam dan meneruskannya dengan bayaran melalui kad kredit/debit, akan menerima satu sahaja resit sahaja kerana pembayaran di buat sebelum pengisian (kad dicaj berdasarkan jumlah akhir pengisian).
Jika anda sudah mengisi petrol RON 95 menggunakan Budi95, bagaimana pengalamannya setakat ini? Sekiranya masih ada sebarang keraguan berkaitan hal ini, baca juga Soalan Lazim (FAQ) Budi95 di sini.
Petronas
Shell
BHPetrol
Caltex
Petron
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.