Geely Galaxy Starshine 6 PHEV diperkenal di China – model segmen C bakal jadi sedan Proton eMas?

Geely Galaxy Starshine 6 PHEV diperkenal di China – model segmen C bakal jadi sedan Proton eMas?

Geely terus mengembangkan barisan sedan plug-in hybrid (PHEV) menerusi pelancaran rasmi Galaxy Starshine 6 di pasaran China, kira-kira dua bulan selepas ia terdedah melalui dokumen Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat negara itu. Model segmen-C ini diletakkan di bawah Galaxy A7 dan ditawarkan pada harga permulaan sama seperti model terdahulu, Galaxy L6.

Dijual bermula 79,800 yuan (sekitar RM47,200), Starshine 6 kini menjadi antara model paling mampu milik dalam rangkaian kenderaan tenaga baru (NEV) Geely, setanding dengan Galaxy L6 dan hanya 11,000 yuan (kira-kira RM6,500) lebih mahal daripada crossover elektrik kecil Xingyuan/EX2 (juga dikenali sebagai eMas 5). Menariknya, model ini menggunakan rangkaian kuasa EM-i Geely versi terkini yang lebih fokus kepada kecekapan.

Seperti Galaxy A7, Starshine 6 menggunakan motor elektrik P1 dan P3 – yang mana motor P3 bertindak sebagai motor pacuan utama dengan kuasa 163 PS dan 210 Nm tork. Sistem ini dipadankan dengan transmisi hibrid khusus satu kelajuan (11-to-1 DHT), bersama enjin empat silinder 1.5 liter NA (BHE15PFI) baru yang mampu mencapai kecekapan haba tertinggi dunia pada 47.26%. Enjin ini menjana 111 PS dan 136 Nm tork, dengan kelajuan maksimum ditetapkan pada 180 km/j.

Geely Galaxy Starshine 6 PHEV diperkenal di China – model segmen C bakal jadi sedan Proton eMas?

Keistimewaan sistem hibrid ini adalah pengurusan tenaga berasaskan AI generasi kedua yang disokong Pusat Pengkomputeran Pintar Xingrui 2.0 milik Geely, dengan kuasa pemprosesan mencecah 23.5E FLOPs. Sistem ini dikatakan telah dilatih dalam lebih 1,000 senario pemanduan berbeza untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga petrol dan elektrik tanpa memerlukan bantuan peta.

Namun begitu, dari segi penggunaan bahan api, Starshine 6 sedikit kurang cekap berbanding Galaxy A7 – mencatatkan 2.8 liter bagi setiap 100 km berbanding 2.67 l/100 km oleh A7, mengikut kitaran ujian CLTC China. Bateri LFP bersaiz 8.5 kWh pula menawarkan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sejauh 60 km, sedikit kurang daripada 70 km yang ditawarkan A7.

Untuk varian lebih tinggi, bateri 17 kWh digunakan, membolehkan jarak pemanduan EV meningkat ke 125 km, namun dengan penggunaan bahan api sedikit lebih tinggi iaitu 2.9 l/100 km. Varian ini juga menyokong pengecasan pantas DC sehingga 35 kW, membolehkan pengecasan dari 30% ke 80% dalam masa hanya 20 minit. Pengecasan AC pula dihadkan kepada 3.3 kW, namun model ini turut menyokong fungsi V2L (vehicle-to-load) dengan kuasa keluar 3 kW.

Geely Galaxy Starshine 6 PHEV diperkenal di China – model segmen C bakal jadi sedan Proton eMas?

Dari segi reka bentuk dan saiz, Starshine 6 hampir sama dengan baru Emgrand baru. Ia berukuran 4,806 mm panjang, 1,886 mm lebar dan 1,490 mm tinggi, dengan jarak antara roda 2,756 mm – lebih besar berbanding pesaing seperti Honda Civic.

Namun, kekurangannya ialah sistem suspensi belakang masih menggunakan jenis torsion beam, sesuatu yang dilihat agak ketinggalan bagi sebuah sedan segmen-C. Perkara ini turut menimbulkan persoalan tentang kemungkinan ia bakal menjadi asas kepada Proton S70 generasi baru dan sama ada model tersebut benar-benar layak digelar sebagai sedan segmen-C. Walaupun begitu, penggunaan suspensi jenis ini menjadikan ruang but sangat luas – mencecah 609 liter, lebih besar daripada kebanyakan pesaing.

Reka bentuk luaran menyerlah dengan gril hadapan berbentuk trapezoid gaya “waterfall” dan bampar gaya “A-wing” yang mengingatkan kepada model Mercedes-AMG. Bahagian sisi menampilkan garisan bahu mendatar yang kemas, susunan tingkap enam panel serta lampu belakang penuh lebar. Walaupun dalam gambar ia kelihatan bergaya, rim paling besar yang ditawarkan hanya bersaiz 17 inci.

Geely Galaxy Starshine 6 PHEV diperkenal di China – model segmen C bakal jadi sedan Proton eMas?

Di bahagian dalam, Starshine 6 berkongsi banyak elemen dengan Emgrand, termasuk papan pemuka dengan corong pendingin udara berbentuk lonjong, konsol tengah lebar yang menempatkan pemegang telefon pintar berkembar dan pengecas tanpa wayar Qi 50-watt. Panel instrumen digital 10.2 inci dan skrin infotainmen 14.6 inci menggunakan sistem operasi terkini Flyme Auto.

Bezanya, versi PHEV ini tidak lagi menggunakan tuil gear kristal ringkas, dan diganti dengan tuil di batang stereng, manakala butang kawalan fizikal di bawah skrin infotainmen ditukar dengan tombol kawalan pelbagai fungsi seperti Proton eMas 7.

Bagi kabin, dimensi besar Starshine 6 memberikan ruang penumpang yang luas – 970 mm ruang kepala di hadapan, 65 mm ruang lutut di belakang dan 1,480 mm ruang siku di belakang. Tempat duduk hadapan pula menggunakan reka bentuk sembilan lapisan ala ‘marshmallow’, dengan pilihan larasan kuasa, pemanas dan pengudaraan, tetapi tiada fungsi urutan disediakan.

Geely Galaxy Starshine 6 PHEV diperkenal di China – model segmen C bakal jadi sedan Proton eMas?

Sebagaimana kebanyakan kereta keluaran China kini, Starshine 6 turut hadir dengan teknologi pemanduan autonomous tahap 2 melalui sistem bantuan pemandu G-Pilot Geely. Enam beg udara dan sistem kawalan kestabilan ditawarkan sebagai ciri standard.

Melihat kepada spesifikasinya, tidak mustahil Starshine 6 akan dilancarkan di Malaysia sebagai sebahagian daripada barisan model Proton eMas, memandangkan model sedan telah pun digambarkan sewaktu pelancaran sub-jenama tenaga baru itu tahun lalu. Mungkin Starshine 6 dan Emgrand bakal menjadi penawaran selari kepada Proton S70, berkongsi reka bentuk asas dan komponen demi menjimatkan kos pengeluaran.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance with us

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services. You can also pay with instalment using Grab PayLater or Shopee SPayLater.

Renew Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required