Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal menyenaraihitamkan hampir dua juta pengguna jalan raya sekiranya gagal menjelaskan saman tertunggak atas pelbagai kesalahan lalu lintas sebelum 31 Dis 2025.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata jumlah itu merangkumi 1,458,577 saman kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS), 296,684 notis 114 (temu siasat berkaitan ubah suai kenderaan) dan 164,598 notis 115 (pemeriksaan kenderaan), menjadikan keseluruhan 1,919,859 notis saman tertunggak, laporan Bernama.
“Sepanjang tempoh Januari hingga kelmarin, sebanyak 855,300 notis saman telah diselesaikan menerusi tawaran kadar istimewa atau flat rate RM150 yang diperkenalkan kerajaan bermula 1 Januari lepas. Namun, angka saman tertunggak masih tinggi dan menunjukkan tahap kesedaran pengguna jalan raya masih rendah,” katanya.
Tambahnya, selain berisiko disenaraihitamkan, kompaun yang dikenakan juga akan dinaikkan kepada RM300 selepas 31 Disember 2025 selain berhadapan pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA).
Muhammad Kifli berkata saman AwAS merupakan kategori paling banyak direkodkan, dengan lokasi tertinggi di Terowong Menora, Perak, yang mencatat purata 3,000 saman sehari pada musim cuti persekolahan dan perayaan.
“Negeri paling tinggi jumlah saman ialah Selangor, Perak dan Johor, iaitu antara negeri yang mempunyai paling banyak kamera AwAS. Setakat ini, terdapat 49 kamera AwAS yang beroperasi di seluruh negara bagi penguatkuasaan had laju dan lampu isyarat,” katanya yang turut memaklumkan terdapat saman yang masih tertunggak sejak lebih 10 tahun, khususnya melibatkan notis 114 dan 115.
Justeru, beliau menyeru semua pengguna jalan raya untuk segera melangsaikan saman tertunggak bagi mengelakkan tindakan lebih tegas selepas tamat tempoh tawaran.
“Masih ada lebih kurang tiga bulan lagi. Ambil peluang ini untuk menyelesaikan saman dengan kadar istimewa dan elak daripada dikenakan tindakan lebih berat selepas ini,” katanya
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.