Kerajaan Melaka memohon agar satu jajaran baharu yang menghubungkan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipertimbangkan segera dalam pembentangan Belanjawan 2026 bulan depan, laporan Bernama.
Menurut Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, laluan yang dicadangkan itu ialah bermula dari Banting, Selangor melalui Port Dickson Negeri Sembilan sebelum memasuki Melaka dan seterusnya ke Muar, Johor sekali gus menyediakan akses terus ke KLIA.
“Ini adalah antara perkara yang ditekankan oleh pemain industri di sini dan perkara ini telah dibawa kepada perhatian kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri menerima baik cadangan tersebut. Kita berharap kelulusan dapat diumumkan dalam pembentangan bajet nanti.
“Kewujudan jajaran baharu WCE itu penting bagi mengurangkan kesesakan jalan masuk ke Melaka selain merancakkan lagi perkembangan ekonomi negeri. Ia juga akan memberi impak besar terutama dari aspek pelaburan, pelancongan serta menjadikan Melaka lebih berdaya saing,” katanya.
Pada Oktober tahun lalu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari turut mencadangkan agar WCE diperluaskan hingga ke KLIA. Katanya, cadangan tersebut dilihat mampu memberi manfaat, bukan setakat di Selangor bahkan sehingga ke Port Dickson di Negeri Sembilan.
Dalam Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan Projek Lebuh Raya WCE Banting-Gelang Patah, yang akan mengguna pakai pendekatan Kerjasama Awam Swasta (PPP) akan diberi keutamaan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.