Bagi pengguna kenderaan elektrik (EV) di daerah Muallim, selain dari pengecas pantas DC yang boleh anda gunakan di R&R Ulu Bernam (JomCharge), hentian tepi Behrang arah Selatan dan Utara (Gentari) dan juga di Politeknik Sultan Azlan Shah (TNB Electron), kini ada satu lagi tempat pengecas yang boleh anda gunakan – ini dia Hab Pengecasan DC di kilang Proton Tanjung Malim milik anak syarikatnya iaitu Proton New Energy Technology Sdn Bhd (Pro-Net) sudahpun dilancarkan.
Hab pengecasan ini terletak di bangunan pentadbiran kilang berkenaan, menyediakan dua pengecas DC dan empat petak pengecasan, dengan jumlah kuasa output stesen sebanyak 120kW yang membolehkan empat EV dicas serentak.
Menurut Pro-Net kemudahan baharu ini merupakan fasiliti miliknya sendiri, tidak seperti kemudahan terdahulu yang dikendalikan penyedia pihak ketiga. Dan selepas mendapat kelulusan Lesen ST EVCS fasiliti ini akan dibuka untuk semua EV tanpa mengira jenama.
Fasiliti ini juga merupakan hab pengecas EV pertama Pro-Net yang boleh digunakan tanpa aplikasi. Pengguna boleh membuat pembayaran dengan mudah menerusi laman web yang boleh diakses hanya dengan mengimbas kod QR. Manakala bagi pemilik Proton eMas dan smart, aplikasi e.Mas dan Hello smart masih lagi boleh digunakan untuk membuat pembayaran.
Bagi kadar bayaran pengecasan pula ia telah ditetapkan pada RM0.80 bagi setiap kWj. Dan sempena pelancaran ini diskaun sebanyak 50% akan diberikan sepanjang bulan pertama operasinya, dan hanya RM0.40 setiap kWj bermula 1 hingga 31 Oktober 2025.
“Hab pengecasan ini merupakan satu langkah yang amat bermakna bagi kami, bukan hanya sebagai sebuah kemudahan, tetapi juga sebagai sebahagian daripada usaha kami membangunkan ekosistem EV yang lebih kukuh di Malaysia. Dengan menawarkan perkhidmatan pada kadar yang berpatutan serta mudah digunakan, kami berharap dapat menjadikan pemilikan EV lebih menarik dan mudah diakses oleh semua. Tanjung Malim ialah tempat bermulanya perjalanan Pro-Net, maka amatlah sesuai untuk kami memulakan bab baharu ini di sini,” kata CEO Pro-Net, Zhang Qiang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.