Volvo Cars Malaysia (VCM) hari ini mengumumkan bahawa SUV EV Coupe Volvo EC40 Ultra dalam versi Single Motor kini sudahpun dilancarkan pada pasaran tempatan. Seperti namanya, model ini hanya dibekalkan dengan sebuah motor elektrik berbanding versi Twin Motor dengan dua motor elektrik memacu semua roda, tetapi masih dibekalkan dengan pakej kelengkapan Ultra yang sama.
Model ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM248,888, atau RM40,000 lebih rendah berbanding versi Twin Motor sedia ada. Motor yang dibekalkan menjana kuasa 238 hp (175 kW) dan tork maksima 420 Nm, diletakkan pada gandar belakang dan memacu roda belakang sahaja. Ia sudah cukup untuk membolehkan EC40 ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat.
Motor berkenaan menerima bekalan elektrik dari pek bateri nikel mangan kobalt (NMC) berkapasiti 70 kWj (boleh digunakan pada kadar 67 kWj), membolehkan ia bergerak sejauh 488 km dalam kitaran ujian WLTP (554 km bagi varian Twin Motor).
Bateri tersebut boleh menerima sistem pengecas pantas DC sehingga 200 kW, membolehkan cas dipenuhkan dari 10-80% dalam masa hanya 26 minit. Sistem pengecas AC juga boleh digunakan di mana dengan 11 kW, cas boleh dipenuhkan dari 0-100% dalam masa tujuh jam.
Sebagai model pacuan roda belakang sebenar, EC40 Single Motor pasaran Malaysia ini datang dengan rim aloi 19-inci lima jejari yang dibalut dengan tayar yang lebih lebar di belakang iaitu 255/45R19, berbanding tayar hadapan dengan ukuran 235/50R15.
Pakej kelengkapan Ultra pada model ini juga memberikan perincian-perincian seperti paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh sembilan-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem Google bina-dalam serta Volvo Connect Plus, dihubungkan kepada sistem bunyi Harman Kardon.
Ia juga menerima lampu hadapan LED Pixel, pad pengecas telefon pintar tanpa wayar, sistem penghawa dingin dua zon bersama penderia PM2.5, bumbung kaca panaromik, kamera 360-darjah, tempat duduk hadapan kawalan kuasa dengan fungsi memori untuk pemandu dan pintu tailgate belakang berkuasa dengan bukaan tanpa sentuhan.
Manakala untuk keselamatan, ia diberikan tujuh beg udara, brek kecemasan automatik, Pilot Assist, bantuan kekal lorong, amaran dan pengelak pelanggaran belakang, pemantau titik buta serta amaran lintasan trafik belakang dengan brek automatik.
Untuk warna badan, pembeli EC40 juga kini sudah boleh memilih warna baharu Sand Dune yang sebelum ini diperkenalkan menerusi SUV EV lebih besar iaitu EX90. Warna lain yang turut disediakan termasuk Aurora Silver, Onyx Black dan Crystal White. Kesemua pilihan warna badan ini boleh dipadankan bersama dalaman sama ada balutan tekstil sued Charcoal Connect atau Charcoal Microtech
Pembelian Volvo EC40 ini datang dengan perlindungan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan, dan juga waranti untuk bateri selama lapan tahun atau 160,000 km. Khas sempena pelancaran EC40 Ultra Single Motor ini, VCM menawarkan insuran tahun pertama bernilai RM5,600 secara percuma dan juga baucar pengecas wallbox bernilai RM5,000.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.