Kementerian Kewangan bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dijangka memuktamadkan proses permohonan bagi had kelayakan tambahan kepada pemandu e-hailing di bawah program subsidi bersasar Budi Madani RON 95 (Budi95) dalam minggu ini.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, kerajaan sedang bekerjasama rapat dengan syarikat pengendali e-hailing (EHO) untuk mengenal pasti pemandu yang layak menerima peruntukan tambahan tersebut, lapor Bernama.
Program Budi95 mula dilancarkan secara rasmi kepada orang ramai pada 30 September. Melalui inisiatif ini, semua warganegara Malaysia yang memiliki lesen memandu sah layak membeli petrol RON 95 pada harga subsidi RM1.99 seliter, dengan had penggunaan sebanyak 300 liter sebulan. Subsidi sebanyak RM0.61 seliter ini diberikan berdasarkan harga pasaran RM2.60 seliter, menjadikan jumlah subsidi individu sebanyak RM183 sebulan.
Namun begitu, kuota 300 liter sebulan ini dijangka tidak mencukupi bagi pemandu e-hailing sepenuh masa yang menggunakan kenderaan secara intensif untuk menjana pendapatan harian mereka. Laporan sebelum ini menunjukkan bahawa purata penggunaan petrol harian bagi pemandu e-hailing adalah antara 25 hingga 30 liter sehari, bermakna kuota 300 liter itu hanya mampu bertahan sekitar 10 hari sahaja.
Secara umumnya, pemandu e-hailing sepenuh masa memerlukan antara 700 hingga 800 liter petrol sebulan bagi memenuhi keperluan kerja mereka. Oleh itu, satu mekanisme pengesahan yang ketat dijangka akan diperkenalkan bagi menyokong pemberian kuota tambahan ini dan mengelakkan sebarang penyalahgunaan
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.