Hampir tiga juta pengguna telah membeli petrol RON95 bersubsidi sejak program Budi Madani RON95 (Budi95) dilaksanakan mulai semalam (30 September) untuk semua rakyat Malaysia (27 September untuk anggota polis dan tentera serta 28 September untuk penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR)). Dalam tempoh itu, jumlah keseluruhan jualannya mencecah RM91 juta, menurut Kementerian Kewangan (MoF).
Bagi hari pertama pelaksanaan Budi95 untuk semua rakyat Malaysia, sebanyak 21.8 juta liter petrol RON95 telah dijual dengan nilai RM43.7 juta setakat jam 7 malam semalam, laporan Malay Mail.
Rakyat Malaysia yang layak menerima subsidi petrol RON95 akan membayar RM1.99 seliter untuk bahan api itu dengan kuota 300 liter sebulan, manakala harga tanpa subsidi pula ialah RM2.60 seliter sepanjang bulan Oktober, menurut pengumuman MoF awal minggu ini.
Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, harga petrol RON95 tanpa subsidi iaitu RM2.60 seliter ditetapkan untuk tempoh sebulan bagi memberi ruang kepada rakyat Malaysia menyesuaikan diri dengan mekanisme Budi95 sebelum harga petrol tersebut diapungkan mengikut harga pasaran global. Namun, pelaksanaan harga apungan itu tidak akan menjejaskan harga petrol RON95 bersubsidi.
Beliau berkata, harga apungan bagi petrol RON95 tanpa subsidi akan bergerak mengikut turun naik pasaran global, sepertimana mekanisme yang digunakan untuk bahan api diesel.
Program subsidi petrol Budi95 untuk rakyat Malaysia dijangka dapat menjimatkan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun dengan mengehadkan subsidi bahan api kepada rakyat Malaysia yang memiliki MyKad dan lesen memandu sah, dan tidak lagi diberikan kepada warga asing serta sektor kenderaan komersial, menurut kenyataan kerajaan Malaysia sebelum ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.