Dengan pelaksanaan Budi95 yang bermula semalam, ada satu kelompok warga negara Malaysia yang berada dalam kes yang unik — mereka yang memegang lesen memandu Singapura untuk tujuan kerja.
Hal ini adalah kerana pekerja Malaysia di Singapura yang berkerja misalnya sebagai pemandu bas, lori dan trak pelabuhan perlu menyerahkan lesen memandu Malaysia bagi membolehkan mereka mendapatkan lesen memandu Singapura, seperti yang termaktub di bawah peraturan negara itu, lapor Malay Mail.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan sedar tentang perkara ini, dan sedang mengambil langkah untuk mengatasinya. Menjelaskan perkara itu, beliau berkata undang-undang Singapura melarang individu daripada memegang dua lesen memandu dalam satu masa, menyebabkan warga Malaysia yang bekerja sebagai pemandu di sana terpaksa menukar lesen mereka untuk tujuan itu.
Beliau juga menjelaskan bahawa perkara terbabit telah dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet minggu lalu, dan umumnya bersetuju bahawa pekerja-pekerja yang terlibat layak menikmati subsidi memandangkan mereka adalah warga negara. “Kelompok ini adalah warga negara, tinggal di Johor dan melakukan perjalanan setiap hari untuk bekerja di Singapura. Ketika kembali, mereka memandu kenderaan sendiri yang didaftar dan dicukaikan di sini. Untuk itu, mereka juga layak menerima Budi95,” ujar beliau.
Bagaimanapun, beliau menambah, pelaksanaan untuk itu akan mengambil masa berikutan kekangan oleh undang-undang data peribadi. Beliau menjelaskan, penguatkuasa pengangkutan darat (LTA) Singapura tidak berkongsi data peribadi mereka yang terlibat dengan Malaysia, menjadikan pengesahan automatik adalah mustahil. Untuk menyelesaikan hal ini, JPJ kini sedang membangunkan sistem pendaftaran online untuk warga Malaysia yang memegang lesen memandu Singapura.
“Data Singapura tidak disepadukan dengan kita di sini. Dan itu juga di luar bidang kuasa kami serta melibatkan akta perlindungan data peribadi. Kita memerlukan sistem untuk mendaftarkan kelompok ini, dan JPJ memerlukan dua hingga tiga minggu untuk membangunkannya,” ujar beliau.
Jumlah warga Malaysia yang memegang lesen memandu Singapura ketika ini tidak diketahui, walaupun ada di antara 200,000 hingga 250,000 warga yang melintasi sempadan Johor-Singapura setiap hari.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.