Sejak 1 September lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 124,700 notis saman atas pelbagai kesalahan melalui Ops Khas Gempur Perdagangan di seluruh negara.
Menurut Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Malaysia, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, sepanjang tempoh sebulan itu, 544,403 kenderaan diperiksa, yang mana 50,629 daripadanya diambil tindakan termasuk tindakan menyita 1,060 kenderaan.
Antara kesalahan tertinggi direkodkan JPJ ialah tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada insurans, laporan Harian Metro.
“JPJ terus melaksanakan penguatkuasaan secara konsisten, tegas dan tanpa kompromi terhadap pemandu serta pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987.
“Ops Khas Gempur Perdagangan memberi tumpuan menyeluruh terhadap pemeriksaan, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan ke atas kenderaan perdagangan. Selain itu, operasi juga sebagai salah satu usaha melindungi pengguna dan mengekang risiko kemalangan jalan raya serta memastikan keselamatan, kelancaran dan integriti sistem pengangkutan negara,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru agar orang ramai melaporkan aduan berkaitan kesalahan kenderaan perdagangan secara terus menggunakan aplikasi MyJPJ di e-Aduan@JPJ atau e-mel ke [email protected] beserta dengan butiran lengkap aduan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.