Kummute dengan kerjasama persatuan teksi rentas sempadan di Malaysia dan Singapura bakal melancarkan perkhidmatan tempahan teksi digital yang disifatkan sebagai penyelesaian berasaskan aplikasi pertama seumpamanya yang memudahkan pengguna teksi berlesen di antara dua negara ini.
Perkhidmatan tersebut, yang sedang menunggu kelulusan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), akan membolehkan pengguna menempah teksi rentas sempadan yang berlesen melalui aplikasi Kommute. Pegguna juga boleh menempah lebih awal, atau secara on-demand, dengan kadar tambang yang telus akan dipaparkan dari awal. Bayaran dibuat secara dalam talian menerusi aplikasi berkenaan, dan teksi yang terlibat dijamin didaftarkan sebagai pengendali berdaftar untuk merentas sempadan dengan pemandu yang sah.
Di bawah peraturan semasa, teksi rentas sempadan dengan lesen dari Malaysia boleh mengambil penumpang di mana-mana kawasan dalam Malaysia, tetapi perlu menurunkan mereka di Ban San Street Terminal di Singapura. Teksi Singapura dengan lesen rentas sempadan pula boleh mengambil penumpang di mana-mana di pulau tersebut, tetapi perlu menurunkan mereka di Larkin Sentral di JB. Tertera papan tanda “CB Taxi” di lokasi berkenaan.
Kummute menjelaskan, pendekatan berfasa yang dilakukan pihaknya ini membolehkan tempahan dari Malaysia dibayar dalam RM dan Singapura dalam SGD. Fasa kedua pula akan menambah ciri dan inovasi lain untuk mempertingkat serta memudahkan perjalanan penumpang antara dua negara ini, yang akan diumumkan nanti.
Kummute yang dikuasakan oleh Kumpool menyifatkan entiti tersebut sebagai platform mobiliti yang menyediakan penyelesaian perkongsian pengangkutan yang boleh diharap dan berpatutan. Dilancarkan pada 2021 sebagai perkhidmatan Bus-on-Demand (BoD)/Demand Responsive Transit (DRT) yang pertama di Malaysia, Kummute sejak itu telah memperluaskan jangkauannya meliputi bidang penghantaran, dan kini, operasi teksi rentas sempadan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.