Selepas tempahannya dibuka minggu lalu, model kemaskini Xpeng G6 facelift secara rasminya telahpun dilancarkan di Malaysia hari ini. Xpeng G6 baru sahaja berada dalam pasaran tempatan pada Ogos tahun lalu, manakala versi facelift ini baru membuat kemunculan sulungnya di China pada Mac 2025 – hanya selepas sekitar tujuh bulan, Bermaz Xpeng telah membawa model ini ke pasaran tempatan.
Masih datang sebagai model yang diimport sepenuhnya dari China (CBU), Xpeng G6 facelift ini ditawarkan dalam tiga varian berbanding hanya dua sebelum ini. Varian asas adalah G6 Long Range RWD dijual pada harga RM179,708, diikuti G6 Performance AWD dijual pada harga RM190,708, dan yang paling tinggi adalah Performance AWD Black Edition dijual pada harga RM194,708. Semua harga yang dinyata adalah harga atas jalan tanpa insuran.
Xpeng G6 diasaskan platform SEPA 2.0 dengan asas elektrikal 800-volt, dengan tetapan suspensi hadapan double wishbone dan suspensi belakang bebas jenis 5-link. Bagi versi facelift ini ia diberikan beberapa peningkatan unit rangkaian kuasa, dengan semua varian kini diberikan bateri litium iron fosfat (LFP) 80.8 kWj. Sebelum ini varian Standard 2WD menerima bateri LFP 66 kWj, manakala Long Range RWD pula diberika bateri nikel mangan kobalt (NMC) 87.5 kWj.
Dengan bateri LFP baharu ini, varian Long Range boleh bergerak sejauh 525 km dalam kitaran ujian WLTP, sedikit lebih rendah berbanding varian Long Range dengan bateri NMC terdahulu. Namun ia disertakan dengan motor elektrik yang lebih berkuasa yang menjana 296 PS (218 kW) dan tork 440 Nm memacu sepenuhnya roda belakang, berbanding hanya 259 PS/440 Nm sebelum ini.
Walau bagaimanapun, versi terbaharu ini mencatatkan masa 6.7 saat untuk pecutan 0-100 km/j, sedikit lebih perlahan dari versi sebelumnya dengan catatan 6.2 saat. Tetapi model baharu ini diberikan kelajuan maksima lebih tinggi pada 202 km/j berbanding 200 km/j sebelumnya.
Menerusi versi facelift ini G6 buat pertama kali ditawarkan dalam versi pacuan semua roda pada pasaran Malaysia dengan diperkenalkan dalam varian Performance AWD dan Performance AWD Black Edition. Varian ini masih menerima motor elektrik belakang yang sama seperti pada Long Range RWD, tetapi ditambah dengan satu lagi motor elektrik berkuasa 190 PS (140 kW) dan tork 220 Nm bagi memacu roda hadapan.
Secara keseluruhan kedua-dua varian ini menghasilkan kuasa 487 PS (358 kW) dan tork maksima 660 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.13 saat. Walaupun dengan tambahan kuasa dan pecutan lebih pantas, jarak gerak versi prestasi ini kekal tinggi dengan 510 km WLTP dengan satu cas penuh bateri.
Dengan bateri yang sama, kesemua varian yang kini menyokong pengecas 5C di mana kadar cas boleh dipenuhkan 10-80% dalam masa hanya 12 minit dengan pengecas DC 451 kW. Manakala pengecas AC masih kekal pada kadar 11 kW membolehkan kadar cas 5-100% dipenuhnya dalam masa 9.2 jam.
Lima mod pemanduan disediakan termasuk Eco, Comfort, Sport, Individual, Launch dan Escape. Sistem vehicle-to-load (V2L) adalah standard untuk semua variant dengan kadar 3.3 kW, membolehkan ia mengoperasikan pelbagai peralatan elektrik lain.
Menurut Xpeng, bateri LFP pada G6 ini turut berada pada tahap “kalis peluru” dengan struktur kerangka keselamatan dilindungi oleh pelindung gred balistik. Ini membolehkan pek tersebut boleh bertahan dengan suhu melebihi 1,000 darjah selsius dan tekanan impak sisi pada kadar 80 tan. Jangka hayat bateri ini juga didakwa kini boleh bertahan 30% lebih lama.
Sekali pandang G6 facelift ini masih nampak sama seperti versi sebelumnya. Namun jika anda lihat dengan teliti, logo ‘X’ yang sebelum ini berada pada jalur lampu tengah telah di’keluarkan’ dan diletakkan pada posisi lebih ke atas. Bar lampu nyalaan siang LED ‘Starlight Wing’ berkenaan kini menyala sepenuhnya dan dibina sekali dengan lampu isyarat membelok.
Pada bahagian sisi, perapi pada setiap ruang roda yang sebelum ini berwarna hitam telah diberi kemasan warna badan pada versi facelift ini. Manakala di belakang, pintu taligate kini dipadankan dengan spoiler ‘ekor itik’ bersaiz kecil.
Masuk ke kabin, sebahagian besar perincian juga masih nampak sama, tetapi dapat dilihat rekaan pada liang penghembus udara pada papan pemuka dan juga pemegang cawan ada berbeza dari sebelum ini. G6 facelift ini masih diberikan roda stereng dua jejari, tetapi ia telah dikemaskini dengan pemadanan butang suis kapasitif.
Skrin sesentuh untuk sistem infotainmen juga kini lebih besar untuk semua varian dengan saiz 15.6-inci dari 14.59-inci sebelum ini. Skrin berkenaan turut menyokong bantuan arahan suara ‘Hey Xpeng’, sistem navigasi pintar, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay serta App Store.
Varian Long Range RWD dan Performance AWD menampilkan kelengkapan-kelengkapan yang sama. Kedua-duanya diberikan perincian termasuk rim aloi 20-inci, lampu hadapan LED, pengelap cermin hadapan dengan penderia, bumbung panaromik, paparan instrument dengan skrin 10.25-inci, sistem telematik, sokongan kad kunci NFC, kunci pintar, sokongan kunci pintar menerusi telefon bimbit, lampu suasana 256-warna, upholteri kulit Nappa dan juga pelapik bumbung sued.
Dua varian ini juga diberikan sistem penghawa dingin dua-zon dengan penapis kabin N95 dan liang penghembus kabin belakang, sistem bunyi surround XOpera dengan 16-pembesar suara bersama dua lagi pembesar suara pada tempat duduk pemandu, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi pemanas, aliran udara dan pengurut, pemantau tekanan angin tayar, cermin pandang belakang digital, dan juga pad pengecas tanpa wayar 50-watt.
Pembeli boleh memilih tema dalaman sama ada dalam warna gelap atau kelabu cerah untuk semua varian. Manakala untuk varian Black Edition, ia ditambah dengan logo Xpeng berwarna hitam, rim aloi 20-inci dan angkup brek kemasan hitam berkilat.
Untuk keselamatan pula, Xpeng G6 ini menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) XPilot dengan fungsi termasuk cruise control adaptif dengan kawalan kelajuan pada selekoh, kawalan kekal tengah lorong, tukaran lorong automatik. bantuan parkir, kamera 360-darjah dengan paparan casis telus cahaya, amaran pelanggaran hadapan dan belakang, brek kecemasan automatik, bantuan kelajuan, lampu tinggi automatik, pemantau pemandu, pengenal tanda trafik, pemantau titik buta, amaran buka pintu, bantuan kekal lorang dan pelbagai lagi.
Xpeng G6 facelift pasaran Malaysia ini ditawarkan dengan warna badan Arctic White, Graphite Gray, Midnight Black dan Silver Frost. Ia turut ditambah dengan pilihan warna baharu Stellar Purple yang menggantikan warna Fiery Orange sebelum ini.
Pembelian SUV EV ini datang dengan perlindungan waranti selama lima tahun atau 120,000 km, manakala bateri LFP yang dipadankan diberikan waranti selama lapan-tahun atau 160,000 km. Ia juga diberikan pakej servis percuma selama lima tahun atau 100,000 km. Bagi pembeli yang mahukan pengecas AC di rumah, ia ditawarkan dalam dua jenis iaitu versi 7-kW berharga RM4,300 dan juga versi 11-kW berharga RM5,000 – harga kedua-duanya sudah termasuk cas pemasangan.
GALERI: Xpeng G6 RWD Long Range Pro 2025
GALERI: Xpeng G6 AWD Performance 2025
GALERI: Xpeng G6 AWD Performance Black Edition 2025
GALERI: Gambar rasmi Xpeng G6 facelift 2025
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.