Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan sejumlah RM132 juta hasil bayaran saman pelbagai kesalahan antara bulan Januari hingga September 2025. Menurut Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, ini termasuk atas kesalahan memandu melebihi had laju yang direkodkan di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS), laporan Kosmo.
Muhammad Kifli turut berkata, pelaksanaan inisiatif Budi Madani RON95 (Budi95) turut memberi kesan langsung terhadap pesalah trafik apabila ramai yang sebelum ini culas melunaskan saman akhirnya tampil menyelesaikannya. Berdasarkan syarat program itu, hanya rakyat Malaysia yang memiliki lesen memandu sah layak menikmati subsidi petrol RON95. Jika pesalah trafik masih belum melunaskan saman, mungkin berhadapan dengan risiko disenaraihitamkan (blacklist) daripada memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan.
Tambahnya, pada hari terakhir September sahaja, pihaknya berjaya mengutip bayaran saman berjumlah RM1.3 juta hasil penyelesaian 8,300 notis saman oleh pesalah trafik.
Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata pihaknya bakal menyenaraihitamkan hampir dua juta pengguna jalan raya sekiranya gagal menjelaskan saman tertunggak atas pelbagai kesalahan lalu lintas sebelum 31 Dis 2025.
Katanya, jumlah itu merangkumi 1,458,577 saman kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS), 296,684 notis 114 (temu siasat berkaitan ubah suai kenderaan) dan 164,598 notis 115 (pemeriksaan kenderaan), menjadikan keseluruhan 1,919,859 notis saman tertunggak.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.