Bentley memperluaskan barisan Continental GT dengan memperkenalkan dua varian prestasi baru dikenali sebagai Continental GT S dan GT Convertible S. Kedua-dua model ini diletakkan di antara varian asas GT dan model berprestasi tinggi Speed, sekaligus menawarkan pilihan pertengahan kepada pelanggan yang mahukan gabungan prestasi dan keselesaan.
Untuk penggerak, Continental GT S menggunakan enjin petrol V8 4.0 liter dwi-turbo dengan konfigurasi crossplane yang digandingkan bersama sistem plug-in hybrid. Gabungan ini menghasilkan kuasa 680 PS dan tork setinggi 930 Nm.
Menurut Bentley, sistem ini dipadankan dengan transmisi klac berkembar lapan kelajuan serta pacuan semua roda, dan menawarkan peningkatan kuasa sebanyak 130 PS berbanding GT S generasi terdahulu. Hasilnya, pecutan dari 0 hingga 100 km/j dapat dicapai dalam masa 3.5 saat, iaitu setengah saat lebih pantas, dengan kelajuan maksimum melebihi 305 km/j.
Bentley turut menjelaskan bahawa pakej penggerak “High Performance Hybrid” ini bukan sahaja mengatasi prestasi enjin W12 yang telah dihentikan, malah mampu menawarkan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 80 kilometer. Sebagai pembeza berbanding varian GT asas, model ‘S’ ini turut dilengkapi sistem ekzos sport bagi menghasilkan bunyi V8 yang lebih garang.
Dari sudut pengendalian, Continental GT S didatangkan standard dengan sistem Performance Active Chassis yang sebelum ini hanya ditawarkan pada model Speed dan Mulliner. Sistem ini merangkumi penyerap dua-injap, fungsi torque vectoring dari hadapan ke belakang dan merentasi gandar, sistem anti-olengan aktif Bentley Dynamic Ride 48V, perisian kawalan ESC generasi baru, serta buat pertama kali dalam barisan GT S, limited slip differential elektronik dan sistem stereng semua roda.
Penampilan luaran pula diserlahkan melalui Blackline Specification yang menambah elemen berwarna gelap untuk imej lebih sporty. Antaranya ialah spoiler bawah hadapan berwarna gelap, gril matriks hitam berkilat, logo dan tulisan Bentley berwarna hitam, serta unit lampu dengan kemasan gelap. Roda bersaiz 22 inci dengan rekaan sepuluh jejari hadir standard dalam warna perak, namun pelanggan boleh memilih kemasan hitam berkilat sebagai pilihan tambahan.
Bahagian dalaman menampilkan kombinasi upholsteri dua tona yang eksklusif untuk model GT S, lengkap dengan reka bentuk tempat duduk berjalur, penggunaan fabrik Dinamica dan kemasan hitam berkilat. Seperti kebiasaan bagi Bentley, pelbagai pilihan kemasan lain turut ditawarkan termasuk gentian karbon berkilat, upholsteri kulit penuh serta kemasan logam cerah yang digelapkan, bagi memenuhi citarasa pelanggan yang mahukan tahap personalisasi tinggi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.














