Suzuki Fronx Sport di Malaysia – ciri luaran lebih bergaya; dari RM131k; varian standard kini RM119k

Suzuki Fronx Sport di Malaysia – ciri luaran lebih bergaya; dari RM131k; varian standard kini RM119k

Selepas dilancarkan pada pertengahan November tahun lalu, kini barisan Suzuki Fronx Hybrid ditampilkan dengan varian baharu yang diberi nama Fronx Sport. Ia ditawarkan dengan harga atas jalan bermula RM130,888 tanpa insurans. Dalam masa yang sama, Suzuki Malaysia turut mengumumkan bahawa Fronx standard kini ditetapkan dengan harga baharu iaitu dari RM118,888, tanpa insurans.

Diimport (CBU) dari Indonesia, rekaan luaran Fronx Sport diberikan elemen yang lebih bergaya dan ‘nampak muda’. Ia diserlahkan dengan lips hadapan, skirting sisi, pelekat sisi khas di kedua-dua bahagian kiri dan kanan, bumbung hitam, spoiler belakang, kit bampar belakang, roda aloi rona hitam 17-inci (varian standard hanya 16-inci) yang dibaluti tayar Continental UltraContact UC7 dan cat khas untuk bahagian lip hadapan, diffuser belakang, lip sisi dan spoiler belakang. Selain itu, ia juga diberikan Digital Video Recorder (DVR) dan visorpintu.

Fronx Sport diberikan penjana kuasa yang sama dengan varian standard iaitu enjin K15C 1.5 liter hibrid ringkas petrol empat-silinder yang mampu menghamburkan kuasa hingga 103 PS (101 hp atau 77 kW) pada 6,000 rpm dan tork 138 Nm pada 4,400 rpm. Digandingkan dengan transmisi automatik enam-lajuan, dan bagi sistem hibrid, Fronx diberikan bateri lithium-ion 12 volt dan generator pemula bersepadu (ISG) yang menyediakan bantuan tork serta fungsi start-stop automatik. Mengikut kitaran standard WLTP, dengan tangki penuh berkapasiti 37 liter, Fronx mampu mencapai jarak gerak lebih 700 km.

Melengkapkan lagi prestasinya, bagi sistem suspensinya, ia diberikan topang MacPherson di hadapan dan torsion beam di belakang. Untuk sistem breknya pula, ia menerima brek cakera hadapan berliang serta brek dram di belakang.

Fronx yang juga mempunyai model kembarnya yang dikeluarkan oleh Toyota untuk pasaran India dan dikenali sebagai Urban Cruiser Taisor, merupakan SUV kompak bawah empat meter yang berukuran 3,995 mm panjang, 1,765 mm lebar, 1,550 mm tinggi dan jarak roda 2,520 mm. Menjadikannya 70 mm lebih pendek tapi 55 lebih lebar berbanding Ativa. Dibina dengan struktur badan TECT ciptaan Suzuki sendiri, Fronx direka bentuk untuk ketahanan dan penyerapan tenaga hentaman, manakala jarak kelegaan tanah cecah 170 mm memberikan keyakinan ketika melalui permukaan tidak rata.

Juga sama seperti varian standard yang telah menerima penarafan lima-bintang dari ASEAN NCAP, Fronx Sport juga diberikan ciri keselamatan dan bantuan pemandu ADAS. Ia diberikan enam beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, Hill Hold Control (HHC), Electronic Stability Program (ESP®), High Beam Assist (HBA), Rear Parking Sensor, Dual Sensor Brake Support II (DSBS II), Adaptive Cruise Control (ACC), Blind Spot Monitor (BSM), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Lane Change Assist (LCA), Lane Departure Warning (LDW), Lane Departure Prevention (LDP), Lane Keep Assist (LKA), Vehicle Sway Warning, High Beam Assist (HBA) dan sistem kamera 360-darjah.

Untuk Fronx Sport ini, ia diberikan dua pilihan warna luaran eksklusif iaitu Pearl Snow White dan Cool Black. Dengan harga atas jalan bermula RM130,888 tanpa insurans, Fronx Sport turut didatangkan dengan waranti kenderaan tiga-tahun atau 100,000 km dan juga waranti bateri lima-tahun atau 100,000 km.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Sell your car, get paid in 24 hours

Renew your car insurance with us, 10% discount!

Use the promo code 'PAULTAN' when you checkout for 10% discount!

Renew Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required