Proton-COE-press-conference-5_BM

My New Proton. Merupakan janji terbaharu Proton mulai hari ini dan akan datang, seperti mana yang telah diumumkan pagi tadi. “Proton telah melalui pelbagai perkara, sama ada yang menggembirakan dan mengecewakan. Bukan mudah untuk mengakui kelemahan dan kesalahan yang telah kami lakukan, tetapi saya berpendapat ini adalah satu cara untuk kami memulihkan semula jenama kami,” ujar CEO Proton Datuk Harith Abdullah.

Sasaran strategi baharu ini adalah untuk mempertingkatkan pengalaman pemilikan secara keseluruhan bagi para pelanggan Proton. Harith turut mengakui bahawa jenama ini tidak berada pada tempat yang tepat buat masa ini. “Saya memang ada mendengar orang komplen tentang servis Proton teruk! Saya setuju. Sesetengah daripada servis kami memang teruk,” tambahnya lagi.

Bukan sekadar jenama kereta baharu, para pelanggan juga mahukan pengalaman pemilikian yang bagus, beliau menjelaskan, “Ia bukan setakat membuat kereta berteknologi tinggi semata-mata. Hubungan dengan para pelanggan juga adalah keutamaan bagi kami. Kini kami mahu memperoleh dan mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap jenama kami, sesuatu yang gagal kami lakukan sejak sekian lama.

“Kini adalah masa untuk memenuhi dan melebihi jangkaan, iaitu menerusi sikap yang mengutamakan pelanggan dan merangkumi segala sudut aspek. Tugas kami bukan berakhir setakat apabila kereta keluar dari bilik pameran sahaja. Sebaliknya adalah menjadi tanggungjawab kami untuk membantu menguruskan kereta tersebut (merujuk pada perkhidmatan selepas jualan), itulah cara yang betul untuk menjual kereta. Pengalaman pemilikan adalah yang paling penting,” jelas Harith lagi.

Proton-quality-improvement-1_BM

Menurut Harith, dengan perkongsian pasaran Proton di Malaysia yang menurun dari lebih kurang 60% pada peringkat awal ke sekitar 16% sekarang, Proton perlukan perubahan. Selepas lebih 30 tahun, Proton telah menjual lebih daripada empat juta kenderaan di seluruh dunia, dengan 3.7 juta di Malaysia, di mana tiga juta lagi masih berjalan.

“Mereka ini perlukan perhatian yang khusus daripada kami,” ujar Harith.

Beliau menambah, menjelang musim perayaan, kita dapat saksikan banyak kenderaan tersadai di tepi jalan. “Kebanyakannya mungkin adalah kereta Proton. Mungkin ada yang melibatkan model Proton yang berusia 20 tahun, mungkin ada yang masih baharu lagi, sekitar setahun. Jadi itulah tanggungjawab kami.

“Menerusi rating Indeks Kepuasan Jualan (SSI) oleh JD Power, kami sentiasa berada di tangga terbawah biar pun banyak usaha yang telah dijalankan. Sama juga dengan Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI). Ia telah berlaku sekian lama,” Itulah refleksi yang sebenarnya yang perlu Proton lakukan perubahan, beliau menambah. “Ramai yang menyukai jenama kami, tetapi berasa kecewa kerana kami tidak mengotakan janji.

Proton-quality-improvement-2_BM

“Tetapi kami akan berubah. Bagi kekal relevan,” janji Harith.

Beliau juga mendedahkan Proton telah bekerjasama dengan JD Power sejak tahun 2015 bagi mempertingkatkan situasi sekarang. Di mana JD Power menggambarkan Proton sebagai pengalaman pemilikan yang tidak konsisten dan sering menerima persepsi negatif. “Jika kita tidak melakukannya sekarang, kemungkinan besar kita akan tewas pada masa akan datang,” ujarnya.

Sebagai langkah perubahan, Proton akan memperkenalkan beberapa penambahan, termasuklah 121 “cawangan premium,” iaitu pusat panggilan sentral (1800 888 398), servis mengambil dan menghantar di kawasan-kawasan utama, Servis Pantas 80-minit, Bantuan Bergerak Proton, kereta ihsan, program servis ‘My Taxi’ dan beberapa lagi. Kami akan bercerita mengenai penambahan ini pada artikel yang berasingan.

Jadi, apakah pendapat anda mengenai misi dan azam baharu Proton ini? Malah CEO Proton juga secara jujurnya memohon maaf di atas segala isu yang timbul. Sila nyatakan komen anda untuk dikongsikan bersama.